Penambahbaikan Pasukan Polis – Daripada agensi bersenjata kepada Rakan Komuniti

Tanggal 25 Mac merupakan Hari Ulang Tahun penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia juga menandakan telah lebih setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan PDRM memainkan peranan sebagai badan penguatkuasa utama disamping angkatan tentera. 

Pengendalian sekatan jalan raya dan pemeriksaan, serta usaha penguatkuasaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuh adalah tugasan yang tidak semestinya dihargai ramai dan cenderung mengundang kontroversi. 

Lebih merumitkan lagi, hanya beberapa hari sebelum itu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Seri Panglima Abdul Hamid bin Bador telah mendedahkan terdapat ‘kartel’ yang terdiri daripada pegawai muda PDRM yang cuba menjatuhkan beliau. Beliau kemudiannya meluahkan kenyataan yang tidak pernah didengari ramai mengenai sikap tidak profesional anggota polis, daripada anggota pangkat rendah sehingga mantan KPN terdahulu yang membawa budaya ‘Blue Code of Silence” yang bermaksud budaya anggota polis melindungi kesalahan anggota polis yang lain untuk menjaga kepentingan diri.  

Seimbas lalu, isu-isu ini selari dengan desakan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), suatu akta Parlimen yang memberi mekanisme untuk memastikan anggota polis bertanggungjawab ke atas sebarang salah laku seperti rasuah, salah guna kuasa dan kes kematian dalam tahanan. 

Satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh Ramkarpal Singh sudah membuat perancangan untuk memastikan RUU ini dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun 2019. Bacaan pertama di Parlimen telah dijadualkan pada bulan Ogos tahun lalu, tetapi ia kemudian telah ditarik balik dan diubah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang memperuntukkan kuasa yang amat terhad dan memerlukan suruhanjaya melaporkan salah laku anggota kepada Menteri Dalam Negeri berbanding Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang). 

Desakan untuk membentangkan semula RUU asal IPCMC telah bermula sekali lagi berikutan pendedahan Hamid.  

Perbincangan mengenai IPCMC dan salah laku polis hanya salah satu elemen dalam usaha penambahbaikkan polis. Hakikatnya, RUU IPCMC hanyalah satu daripada 10 teras strategik yang dikemukakan dalam laporan Tun Mohamed Dzaiddin, bekas Hakim Negara, pada tahun 2005 berkenaan penubuhan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. 

Walaupun data yang dikemukakan dalam laporan itu berusia lebih 16 tahun, kebanyakan cadangan dan kesimpulannya tetap tuntas dan relevan sehingga hari ini, mungkin ini menjadi bukti betapa sedikitnya kemajuan yang dicapai untuk mengatasi masalah ini sejak dua dekad yang lalu.

Peranan dalam masyarakat 

Dalam apa jua perbincangan mengenai penambahbaikan sistem polis dan penguatkuasaan, penting bagi kita mempertimbangkan prinsip asas terlebih dahulu. Apakah peranan PDRM dalam masyarakat kita? Bagaimana PDRM melihat diri mereka dalam konteks masyarakat kebanyakan?

Pada awalnya, mungkin jawapan kepada persoalan ini agak senang. Namun, kita tidak boleh lupa bahawa sejarah PDRM pada era pasca-penjajahan membentuk ia menjadi satu organisasi yang cukup berbeza dengan jangkaan kita pada hari ini. 

Ancaman utama ke atas ketenteraman dan keselamatan awam pada masa itu adalah kegiatan subversif komunis. Oleh itu, pasukan polis ketika itu menggunakan pendekatan separa tentera dan pengintipan.  

Pasukan Medan Polis dilatih seperti unit infantri ringan untuk melaksanakan operasi serangan dalam hutan dan kinetik bagi melemahkan pasukan komunis. Pada masa yang sama, Cawangan Khas PDRM memainkan peranan sebagai perisikan balas (counterintelligence) memerangi kegiatan rahsia penyusupan komunis. 

Peninggalan daripada pengalaman ini masih wujud sehingga hari ini.  

Kini terdapat sebanyak lima briged Pasukan Gerakan Am (yang sebelum ini dikenali sebagai Pasukan Medan Polis), dan setiap briged tersebut terdiri daripada dua hingga empat batalion.

Ketika pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, mereka adalah pasukan pertama yang bergerak ke lapangan. Cawangan Khas PDRM pula terlibat secara langsung dalam pengawasan politik yang sering menimbulkan kontroversi dan lapuk. Walaupun begitu, Cawangan Khas memainkan peranan yang penting dalam aspek keselamatan negara khususnya dalam usaha mengatasi keganasan dan kumpulan ekstremis. 

Jelas sekali bahawa struktur awal PDRM adalah sebagai pasukan bersenjata pada peringkat awalnya, tetapi kini ia perlu melalui fasa perubahan kepada sebuah pasukan perkhidmatan yang pintar dan berunsurkan komuniti bagi memenuhi cabaran yang dihadapi Malaysia hari ini.  

Sebenarnya, ini adalah cadangan yang diketengahkan oleh Dzaiddin dalam laporannya, di bawah teras strategik pertama untuk memodenkan peranan, fungsi dan organisasi PDRM.  Dengan penerimaan asas ini dan pemahaman berkenaan konteks yang lebih besar mengapa suatu penambahbaikan itu diperlukan, barulah kita akan lebih menghargai mengapa IPCMC sahaja tidak mampu mengatasi cabaran hari ini.  

Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan semenjak tamatnya Perang Dingin dengan meletakkan anggota dan sumber yang ada kepada fungsi selain separa tentera.

Jabatan berkaitan tugas polis seperti Siasatan Jenayah, Narkotik, Trafik, Keselamatan komuniti dan jenayah komersial mempunyai  64 peratus atau 41,256 orang anggota, lebih besar daripada unit pasukan separa tentera PDRM seperti Pasukan Gerakan Am, Unit Tindak Khas (UTK), Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), dan Pasukan Gerakan Udara yang mempunyai 25,837 orang anggota. 

Perkara ini amat penting memandangkan pada 2004, nisbah ini adalah sebaliknya; terdapat 30,514 orang anggota dalam pasukan separa tentera PDRM berbanding 11,319 orang anggota dalam siasatan jenayah, narkotik dan jabatan baharu yang ditubuhkan untuk jenayah komersial.  

Namun, kita perlu ingat bahawa nisbah antara polis dan rakyat di Malaysia masih lagi tidak memuaskan. Dalam satu taklimat pada bulan Oktober 2019 oleh PDRM kepada Jawatakuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, nisbah di peringkat nasional adalah seorang pegawai polis kepada 356 orang dengan mengambil kira seluruh kontingen polis di seluruh negara (tidak termasuk Bukit Aman). Sebagai perbandingan, Polis Antarabangsa (INTERPOL) mencadangkan nisbah yang paling ideal adalah 1:250.  

Untuk meletakkan statistik ini dalam perspektif, pada tahun 2017, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria melihat pegawai penyiasat yang sama terpaksa menghadiri tiga kes mahkamah yang berbeza secara berturut-turut dalam satu hari.  

Pada tahun 2013, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan dalam satu contoh beliau, seorang pegawai penyiasat (IO) terpaksa mengendalikan 100 kes. Prinsip asasnya adalah, sekiranya IO mengendalikan kes yang sedikit, kualiti siasatan akan bertambah baik.  

Pegawai polis tidak mungkin mampu mengendalikan siasatan dan menyelesaikan kes secara memuaskan dengan kekangan sebegini. Kerajaan perlu memikirkan inisiatif yang lebih berani. Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan usaha pemodenan PDRM dengan mengetengahkan pendekatan berdasarkan data dan mengadaptasi penggunaan teknologi yang dapat mengoptimumkan proses operasi yang lebih efektif.  

Langkah rasionalisasi antara jabatan-jabatan PDRM untuk memberikan lebih banyak jumlah dan sumber kepada penyiasatan dan unit yang berpusatkan masyarakat.

Khususnya dalam isu narkotik, kerajaan perlu menggunakan pendekatan berbeza. Mereka perlu mempertimbangkan pendekatan berunsurkan pemulihan buat mereka yang ketagih dadah.  Pendekatan ini dapat mengatasi masalah kesesakan penjara. 

PDRM tidak seharusnya meminggirkan kemampuan separa tentera dan perisikan balas. Cawangan Khas dan unit separa tentera perlu dikurangkan dari segi jumlah tetapi ditingkatkan kemampuan menjadi sebuah unit elit yang menjalankan tugasan khas. 

Kemampuan tersebut perlu dikekalkan dan diuruskan secara spesifik, memandangkan ancaman bukan tradisional yang sedang berkembang dan berlaku hari ini di sempadan negara (di darat dan laut) dan peningkatan jenayah keganasan dan kegiatan ekstrimis.  

Tambahan pula, kemampuan ini perlukan integrasi dan penyelarasan dengan agensi keselamatan yang lain seperti Angkatan Tentera, Bahagian Penyelidikan, dan Majlis Keselamatan Negara bagi mengembangkan lagi pendekatan menyeluruh kerajaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah.  

Pada masa yang sama, terutamanya bagi Cawangan Khas, peranan dalam pengawasan dan pemantauan politik dalam negeri perlu diketepikan untuk memberi fokus kepada tugas-tugas yang lebih penting. Ahli politik tempatan bukan pengganas dan musuh negara. Mereka tidak seharusnya dilayan seperti musuh negara. 

Akhirnya, PDRM yang disuntik nafas baharu akan dilihat sebagai rakan komuniti – pegawai polis dan kereta perondanya dialu-alukan dan dikenali penduduk setempat ketika mereka menjalankan tugas.  Kita inginkan PDRM yang mampu menjalankan siasatan jenayah dengan efektif, cekap dan menegakkan undang-undang dengan adil dan saksama. Kita mahu PDRM menjadi sebuah perkhidmatan yang menjaga masyarakat dan melindungi rakyat, bukan sekadar pasukan berpakaian seragam yang membawa senjata.  

Pegawai polis seperti Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal adalah contoh yang terbaik dalam hal ini. Sikap berbesar hati yang ditonjolkan oleh beliau ketika megendalikan kes curi seorang ibu miskin dengan memilih untuk membantunya berbanding menangkapnya, adalah selari dengan konsep kepolisan berdasarkan kepentingan komuniti yang seharusnya menjadi satu kebiasaan. Beliau cukup dikenali dalam kalangan komuniti kerana melayani dan memahami keperluan dan keadaan masyarakat.  

Kuasa kepolisan 

Terdapat juga soalan yang lebih mendalam tentang bagaimana Malaysia menguruskan institusi di peringkat persekutuan dan negeri. Kuasa kepolisan di kebanyakan negara tertumpu kepada daerah atau kerajaan negeri atau kerajaan tempatan.  

Contohnya, adakah kita perlukan sistem polis trafik berpusat atau kita boleh peruntukkan kuasa tersebut kepada polis di peringkat negeri? Dengan adanya peranan kerajaan negeri yang bertambah penting untuk masa hadapan, pengagihan kuasa polis yang kurang kritikal perlu menjadi agenda rundingan antara kerajaan persekutuan dan negeri.  

Bertepatan dengan harapan kita supaya PDRM dapat menjalankan misi berlandaskan prinsip melindungi dan berkhidmat kepada komuniti, kita juga perlu mempertimbangkan implikasi logistik berdasarkan matlamat ditetapkan. Laporan Dzaiddin menjelaskan sebahagian besar peralatan PDRM, seperti kenderaan peronda dan juga komputer, pada masa itu, sudah usang dan memerlukan penambahbaikan yang serius kerana kekurangan dana.

Tambahan pula, keadaan perumahan anggota polis perlu ditambahbaik kerana kebanyakan struktur bangunan telah terabai dan tidak selamat untuk dihuni. Seperti mana Angkatan Tentera memerlukan perancangan pembangunan bersama yang menetapkan bagaimana, bila dan berapa jumlah peruntukan untuk membangunkan kekuatan pasukan, PDRM tidak terkecuali daripada memerlukan perancangan yang sama. 

Jika tiada sebarang perancangan pembangunan yang menyeluruh, masalah-masalah ini akan berterusan dan akan mengekang kemampuan PDRM beroperasi secara optimum. Pegawai polis juga mempunyai keperluan dan keluarga seperti kita semua. Sekiranya keperluan ini tidak dapat ditangani dengan baik, bagaimanakah dapat mereka mengekalkan semangat yang tinggi dalam melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat?

Dalam kata lain, jika kita dapat atasi isu-isu ini, kita juga dapat meleraikan faktor-faktor yang menjadi punca kebimbangan buat pihak polis dan rakyat selama ini. Sepertimana pihak polis perlu bertanggungjawab terhadap salah laku, kita juga perlu mempertimbangkan keperluan perkhidmatan polis dan bagaimana kita dapat mewujudkan persekitaran yang membolehkan anggota polis dapat berkhidmat sehabis baik.  

Membayangkan semula PDRM sebagai anggota perkhidmatan berbanding pasukan bersenjata memerlukan perubahan doktrin, struktur organisasi dan peruntukan sumber kepada operasi kepolisan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat. Begitu juga diharapkan agar usaha untuk memastikan PDRM dibangunkan, dilatih dan dilengkapkan selari dengan matlamat ini dapat menyelesaikan kebimbangan logistik untuk beberapa tahun akan datang sementara mereka menyesuaikan diri dengan misi dan moto baharu mereka.

Persoalan mengenai salah laku polis tidak boleh dipinggirkan. Pegawai polis yang bertindak di luar batasan akan mencalarkan imej polis dan perlu dikenakan tindakan disiplin sewajarnya.  Secara idealnya, pembaharuan yang meluas seharusnya diperkenalkan bersama-sama RUU IPCMC supaya kita dapat mewujudkan perkhidmatan polis yang pintar (bertunjangkan data dan teknologi), berdasarkan keperluan komuniti, berdaya tahan dan bersih. 

Namun, jika fokus hanya diberikan kepada IPCMC tanpa mengambil kira kebajikan polis, logistik dan dorongan mengapa wujudnya pasukan ini, usaha penambahbaikan ini akan menjadi seperti melepaskan batok di tangga. Jika kita mahu perubahan tersebut memberikan keuntungan kepada pegawai polis dan rakyat, kita perlukan perancangan kerjasama dwi-partisan yang bertujuan untuk membina semula kepercayaan rakyat kepada polis dan pada masa yang sama mengambil berat keperluan anggota polis. 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan