???????? ?????? ???? ??????? ????? ?? ??????

Ketika pandemik Covid-19 melanda hidup kita, Malaysia telah melalui fasa krisis politik yang sangat berbisa dan penuh keributan sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Tujuh belas bulan selepas ‘rampasan kuasa’ tersebut, kini kita mempunyai sebuah lagi kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang kesembilan, dan yang ketiga dalam masa tiga tahun, iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Memang saya seorang ahli parti pembangkang, namun saya tidak rela melihat negara kita sentiasa huru-hara semata-mata kerana para pemimpin politik gabungan pemerintah sentiasa bergelut antara satu sama lain untuk merebut kuasa.

PM yang baharu ini berpeluang untuk menyusun kerangka kerja dengan lebih baik melalui pelantikan anggota kabinetnya yang dibuat dengan penuh hemah dan cermat.

Sistem parlimen Westminster Britain yang diamalkan sedikit-sebanyak oleh Malaysia memperlihatkan tugas sebenar parlimen ialah untuk menyemak dan mengimbang kabinet.

Pada masa yang sama, para menteri perlu menyemak dan mengimbang antara satu sama lain melalui mesyuarat kabinet serta persaingan sihat antara-kementerian, di samping menyokong sesama kementerian melalui konsep tanggungjawab bersama.

Bagi memastikan kerajaan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan besar zaman Barisan Nasional, Ismail Sabri sepatutnya mengambil iktibar daripada pelaksanaan-pelaksanaan kerajaan Pakatan Harapan yang telah berjaya dalam usaha mereformasikan pentadbiran.

Antara punca utama krisis skandal gergasi 1MDB boleh berlaku ialah kerana PM keenam Dato’ Sri Najib Razak turut memegang jawatan Menteri Kewangan. Dengan itu, apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan, PM ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melantik dirinya menjadi Menteri Kewangan atau mengambil sebarang portfolio tambahan. 

Malah, beliau ‘menarik keluar’ Unit Perancang Ekonomi (UPE) daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk dijadikan sebuah kementerian yang dipimpin oleh seorang menteri yang tidak mewakili parti pimpinan Mahathir.

Peranan Menteri Kewangan amat penting dan ia tidak sepatutnya dipegang oleh mana-mana lantikan daripada parti pimpinan PM. Dengan memastikan keadaan ini, ia akan membantu mengekalkan perpaduan dalam gabungan yang rapuh.

Satu daripada sebab mengapa kerajaan Muhyiddin Yassin rapuh dan dibenci oleh sekutu-sekutunya sendiri ialah kerana beliau masih mahu mempimpin dengan cara lama di mana PM berlagak seperti seorang Presiden. 

Sedangkan impian itu merupakan amalan era lama yang sudah tidak wujud lagi. Sudah tidak boleh ada lagi keadaan di mana seseorang PM boleh menjadi Menteri Kewangan atau menjadi dalang kepada Menteri Kewangan melalui proksi/wakil, dan menguasai UPE melalui JPM.

UPE mengawal belanjawan pembangunan yang merangkumi segmen peruntukan kewangan yang besar untuk pelbagai projek yang biasanya dianggap oleh PM sebagai haknya untuk diagihkan. Ini mesti dihentikan. Kita patut mempunyai Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi, dan menterinya tidak boleh diwakili parti yang dipimpin oleh Ismail Sabri.

Saya berharap agar PM baharu tidak tergoda dengan cadangan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki untuk melantik timbalan presiden UMNO Dato’s Seri Utama Mohamad Hasan sebagai Menteri Kewangan. Jika ini berlaku, ia akan meruncingkan lagi krisis politik semasa.

Sewaktu Muhyiddin menjadi PM, beliau tidak mempunyai timbalan, sehinggalah pada bulan terakhirnya menerajui kerajaan. Namun, sepanjang kepimpinannya, beliau mewujudkan empat jawatan ‘menteri kanan’ untuk menguruskan kluster ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur, dan pendidikan dan sosial.

Amalan ini elok diteruskan, dengan sedikit pembaharuan. Mereka yang memegang jawatan ini tidak perlu lagi digelar ‘menteri kanan’, sebaliknya dipanggil ‘menteri penyelaras’ atau ‘menteri koordinator’ seperti di Indonesia untuk mencerminkan bidang tugas mereka dengan lebih jelas.

Persaingan sihat antara-kementerian memang baik jika ia boleh menjamin proses semak dan imbang. Namun, persaingan tanpa penyelarasan akan menyebabkan tadbir urus pincang yang memberi kesan buruk kepada negara.

Sektor-sektor ekonomi boleh diselaraskan oleh Menteri Kewangan dengan mengadakan mesyuarat kabinet kecilnya di Majlis Tindakan Ekonomi manakala Majlis Keselamatan Negara boleh menyelaraskan dasar-dasar keselamatan dan luar negara.

Bidang kuasa pembangunan infrastruktur pula perlu mememasukkan sasaran menangani iklim sebagai matlamat asasnya manakala Menteri Kesihatan patut menjadi menteri penyelaras yang menguruskan sektor sosial yang besar kesan dan pengaruhnya dalam kehidupan rakyat Malaysia.

PM juga tidak perlu lagi mempengerusikan semua hal dalam semua jawatankuasa kabinetkabinet dengan tajuk-tajuk pelik dan terlalu spesifik. Beberapa perdana menteri sebelum ini mempengerusikan terlalu banyak jawatankuasa, ada yang hingga 25 jawatankuasa. Ini hanya membuang masa dan memenatkan PM yang sememangnya tidak akan mampu memberi tumpuan kepada semua isu tersebut.

PM sepatutnya mempengerusikan setiap satu daripada empat kluster mesyuarat “kabinetkabinet mini” pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat sahaja. Pada hari Rabu, beliau mempengerusi mesyuarat kabinet penuh. Semua mesyuarat kluster tidak boleh mengatasi fungsi dan keputusan kabinet penuh.

Sememangnya kita tidak berharap sangat dengan Ismail Sabri untuk membawa sebarang pembaharuan. Namun, saya percaya jika beliau dapat mengambil iktibar, malah meniru apa yang baik daripada kerajaan Pakatan Harapan, kita sekurang-kurangnya boleh menghormati beliau sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab serta bukan lagi PM yang berlagak sebagai presiden. 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan