Agenda Utama Reformasi Parlimen

Ucapan Liew Chin Tong dalam Forum “Agenda Reformasi Parlimen” anjuran Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) pada 7 September 2021 (diterbitkan pada 9 September 2021)

Saya berbesar hati kerana dijemput untuk memberi pandangan dalam forum ini bersama mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menerajui Dewan Rakyat sepanjang dua penggal ketika saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera (2008-2013) dan Kluang (2013-2018). Seorang lagi panelis ialah aktivis muda, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin. 

Parlimen  sistem Westminster British yang menjadi acuan parlimen Malaysia mempunyai tiga fungsi utama:

Pertama, membentuk kerajaan dan menguji keabsahannya

Tidak seperti sistem presiden Amerika Syarikat, pengundi Malaysia tidak mengundi Perdana Menteri secara langsung. Perdana Menteri dilantik sekiranya memperoleh kepercayaan majoriti di Parlimen. 

Oleh itu, fungsi utama Parlimen Westminster adalah membentuk kerajaan dan membolehkan keabsahan kerajaan diuji dengan undi percaya atau melalui undian meluluskan undang-undang dan usul. 

Parlimen yang berfungsi dan bebas akan memberi ruang kepada Ahli Parlimen menguji keabsahan kerajaan. Mantan Perdana Menteri Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi telah menguji keabsahan masing-masing sejurus selepas mengambil alih jawatan perdana menteri. 

Malangnya, kerajaan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob enggan membawa usul undi percaya bagi menguji keabsahannya.  

Kedua, menggubal undang-undang 

Parlimen adalah tempat membuat undang-undang. Namun, di Malaysia, Ahli Parlimen diibaratkan seperti “cop getah” yang hanya meluluskan undang-undang yang dirangka oleh Pejabat Peguam Negara setelah diluluskan oleh Jemaah menteri.

Ahli-ahli Parlimen tidak diberi secukup masa untuk membaca dan mengkaji rang undang-undang yang hanya diserahkan kepada mereka pada saat-saat akhir, biasanya sekadar beberapa hari sebelum dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Reformasi Parlimen perlu ditumpukan kepada usaha memperluaskan ruang bagi wakil rakyat dan institusi Parlimen dapat melaksanakan fungsi membuat undang-undang secara menyeluruh. Beberapa perkara yang boleh dibuat segera termasuk: 

  • Meletakkan penggubal undang-undang di bawah perkhidmatan Parlimen, dan bukannya Pejabat Peguam Negara;
  • Menggubal undang-undang melalui perbincangan antara Menteri, Pengerusi Jawatankuasa, dan Ahli Parlimen menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dibentuk mengikut struktur “jabatan/kementerian”; 
  • Membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menjalankan sesi libat urus bersama pemegang taruh serta orang awam di seluruh negara dan menerusi platform atas talian bagi mendapatkan maklumbalas sebelum undang-undang tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen;
  • Menyediakan pegawai-pegawai penyelidik yang dibiayai sepenuhnya oleh Parlimen bagi setiap Ahli Parlimen (berbanding dengan amalan sekarang di mana sekumpulan kecil penyelidik perlu berkhidmat untuk kesemua 222 orang Ahli Parlimen)

Kita tidak boleh lagi membiarkan Ahli Parlimen menjadi cop getah untuk menyokong undang-undang yang disediakan oleh  pihak Eksekutif. Setiap perkara dalam rang undang-undang yang dirangka perlu dibincang bersama Ahli Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas dan diteliti secara menyeluruh sebelum ia diluluskan. 

Ketiga, fungsi semak dan imbang 

Parlimen juga berfungsi untuk menyemak dan mengimbangi tindakan pihak Eksekutif. Peruntukan masa dan pendekatan sewajarnya perlu disediakan agar Parlimen dapat menjalankan fungsi ini. Berikut adalah antara cadangan yang boleh dilaksanakan: 

  • Menambah hari persidangan Dewan Rakyat daripada 60 hari setahun kepada sekurang-kurang 100 hari dalam tahun 2022;
  •  Memastikan setiap kementerian dipantau oleh “jawatankuasa kementerian”. Setiap jawatankuasa boleh menyemak beberapa kementerian. Contohnya, Jawatankuasa Keselamatan boleh memantau Kementerian Pertahanan, Dalam Negeri, dan Luar Negeri; 
  • Sesi mesyuarat jawatankuasa perlu ditayangkan secara langsung menerusi internet dan mesyuarat perlu dilakukan sekerap mungkin;
  • Memperuntukkan hari persendirian bagi Ahli Parlimen yang bukan anggota kerajaan untuk membawa usul, rang undang-undang persendirian, dan agenda perbahasan lain;
  • Memperluas peranan dan tempoh masa Kamar Khas supaya lebih banyak usul dan ucapan boleh dibuat oleh Ahli Parlimen, seiring dengan sesi  Dewan Sidang. Kini, hanya dua ucapan sahaja yang dibenarkan dengan peruntukan masa tujuh setengah minit bagi setiap anggota “backbencher” atau Ahli Parlimen pembangkang, masing-masing diikuti jawapan kerajaan dengan tempoh yang sama. Ini bersamaan hanya 30 minit sehari.
  • Menambah baik sesi pertanyaan jawab lisan supaya lebih banyak pertanyaan dapat dijawab kerajaan;
  • Perdana Menteri Ismail Sabri perlu hadir dalam sesi Pertanyaan Untuk Perdana Menteri (PMQT) setiap minggu. 

Saya tidak menyentuh peranan dan fungsi Dewan Negara di sini kerana saya bercadang untuk menulis mengenai topik tersebut dalam tulisan yang lain. Namun, sudah semestinya Dewan Negara juga perlu menjalani reformasinya sendiri. 

Dalam ucapannya, Tan Sri Pandikar Amin memberitahu bahawa Parlimen Malaysia adalah satu daripada dua sahaja badan perundangan demokratik di dunia yang diuruskan oleh seorang menteri yang mempunyai sebuah jabatan. Sebuah lagi negara seperti ini ialah India. Salah seorang mantan Menteri Parlimen India memberitahu Pandikar Amin bahawa tugasnya hanyalah menyelaraskan agenda di antara kerajaan, pembangkang dan Speaker, dan bukannya mengurus pentadbiran Parlimen. 

Parlimen sepatutnya mempunyai autonomi institusi, pentadbiran, dan kewangan untuk bebas menjalankan urusannya sendiri. Oleh itu, Malaysia perlu mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan pada tahun 1992 bagi menyesuaikan institusi ini dengan keperluan semasa.

Seperti tulisan saya sebelum ini, peranan Ketua Pentadbir Parlimen perlu ditamatkan supaya tugas pentadbiran Parlimen perlu dikembalikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat yang akan dibantu oleh Setiausaha Dewan Negara, seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang asal pada tahun 1957.

Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu perlu memperkasa Yang Dipertua  Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ketua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam kedua-dua Dewan untuk menguruskan Parlimen secara bersama. 

Selain itu, jawatan Menteri Hal-Ehwal Parlimen perlu dimansuhkan dan penjawatnya boleh mengambil alih tugas sebagai  Ketua Majlis atau Leader of the House mengikut kaedah Westminster. Walaupun peranan ini disandang oleh Perdana Menteri sebelum ini tetapi ia tidak semestinya begitu. Kebanyakan badan perundangan berkonsepkan Westminster yang matang melantik seorang Menteri Kanan untuk menjadi Ketua Majlis.  

Saya menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 7 September yang meletakkan transformasi sektor kerajaan, transformasi sistem Parlimen, dan MA63 sebagai KPI dirinya dalam tempoh 100 hari. Secara khususnya, beliau memberi komitmen untuk menumpukan usaha memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi mengembalikan kebebasan  Parlimen, dan merangka satu akta baharu untuk menggantikan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. 

Tetapi, seperti yang saya nyatakan di atas, banyak yang harus dilakukan untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang berwibawa. 

Yang baik perlu dipuji. Saya menghargai usaha Tan Sri Pandikar Amin yang cuba mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut struktur “jabatan” untuk memantau semua kementerian pada 2016. Tetapi, cadangan beliau telah ditolak oleh kerajaan Najib Razak. Seperti apa yang dikatakan oleh Pandikar, “Barisan Nasional terlalu kuat ketika itu”. 

Wan Junaidi merupakan timbalan kepada Pandikar dalam Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013.  Mengulas mengenai tempoh mereka berkhidmat, Pandikar berkata “kami terseksa bersama”. Pandikar dan Wan Junaidi merasai tekanan daripada pihak Eksekutif, lebih-lebih lagi daripada Menteri yang menjaga hal-ehwal pentadbiran Parlimen. 

Saya berharap, setelah melalui pengalaman-pengalaman ini, Wan Junaidi bersedia menjadi seorang pemimpin yang transformatif untuk mengubah Parlimen ke arah yang lebih baik, dan meninggalkan legasi yang beliau sendiri boleh banggakan. 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi