

Apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 pada Jumaat lepas (29 Oktober), ia merupakan kali pertama sejak 16 tahun saya tidak hadir ke Parlimen, sama ada sebagai seorang penyelidik ataupun Ahli Parlimen.
Setiap kali Belanjawan dibentangkan, saya mengingatkan orang ramai mengenai satu perkara penting, iaitu ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kewangan di Parlimen BUKANLAH Belanjawan yang sebenar.
Ucapan tersebut hanyalah mesej politik yang mahu disampaikan oleh menteri dan kerajaan kepada kita semua.
Biasanya, penulis ucapan menteri akan cuba menyentuh hati dan minda audiens– merangkumi agensi penarafan kredit, kumpulan pelobi kaum, kumpulan perniagaan – dengan harapan semua pihak ini, walaupun berbeza kepentingan, akan berasa diri masing-masing dihargai dan berpuas hati.
Dokumen sebenar
Kali pertama saya terlibat dengan proses penelitian Belanjawan ialah pada Disember 1999 ketika menjadi pegawai kepada Teresa Kok yang pada masa itu baru sahaja menjadi Ahli Parlimen Seputeh. Tugas saya ialah membawa semua dokumen Belanjawan dari Parlimen ke pejabat beliau di Kuala Lumpur. Semua dokumen ini masih lagi disimpan dalam perpustakaan saya.
Apabila saya menjadi Ahli Parlimen pada 2008, setiap kali menteri membaca ucapan Belanjawan yang mengambil masa kira-kira dua jam, saya mengambil kesempatan itu untuk meneliti satu dokumen utama Belanjawan, iaitu Anggaran Perbelanjaan Persekutuan yang tebalnya lebih kurang 500 muka surat. Ia mengandungi maklumat terperinci mengenai peruntukan bagi setiap kementerian.
Keesokan harinya, seperti kebanyakan rakan-rakan Ahli Parlimen, saya mengkaji dengan mendalam dokumen-dokumen Belanjawan tersebut.
Rakan-rakan seperjuangan seperti Tony Pua dan Dr. Ong Kian Ming serta kenalan media seperti Andrew Ong daripada Malaysiakini rajin meluangkan masa mereka untuk meneliti dan memahami dokumen Anggaran Perbelanjaan setiap tahun.
Dari segi akses dokumen dalam talian, walaupun internet sudah lama diperkenalkan di Malaysia, Kementerian Kewangan hanya menyediakan dokumen-dokumen Belanjawan dalam talian sejak beberapa tahun lalu sahaja.
Dalam keadaan itupun, Kementerian Kewangan belum menyediakan Senarai Perjawatan di Kementerian dan Jabatan Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan di laman webnya, bersama dokumen lain seperti Tinjauan Ekonomi, dan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang telah dimuat naik.
Untuk memahami butir Belanjawan, Senarai Perjawatan perlu dibaca bersama dengan Anggaran Perbelanjaan. Kita hanya dapat mengetahui bagaimana wang dibelanjakan apabila kita mendapat maklumat penuh tentang bagaimana kerajaan menyusun pegawai dan kakitangannya. Sesiapa yang berminat dengan reformasi perkhidmatan awam serta penambahbaikannya perlu bermula dari sini.
Walaupun dokumen yang saya nyatakan di atas tidak disenaraikan di laman web Kementerian Kewangan, saya lega kerana Parlimen telah memuat naik hampir semua dokumen yang telah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, termasuk Senarai Perjawatan 2021, di laman web Parlimen.
Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada 2022 yang bertujuan untuk memperbaiki tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan bagi pengurusan fiskal.
Ini merupakan susulan kepada idea penting untuk menambah baik sistem tadbir urus yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng ketika beliau menjadi Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada 2019.
Butiran terperinci
Namun, usaha ini tidak akan bermakna jika kita – termasuk penganalisis kewangan – tidak mempedulikan butiran terperinci dalam Belanjawan. Jika kita membuat kesimpulan tentang ekonomi negara hanya berdasarkan ucapan Menteri Kewangan, ia bererti kita telah tersasar daripada matlamatnya.
Tambahan pula, Parlimen tidak mempunyai sistem jawatankuasa yang lengkap serta kuasa penuh untuk meneliti Belanjawan secara terperinci.
Sudah bertahun lamanya saya mencadangkan supaya setiap kementerian perlu diteliti oleh jawatankuasa Parlimen, dan setiap peruntukan tahun kementerian perlu dibahaskan satu persatu di dalam jawatankuasa-jawatankuasa tersebut. Dengan itu, barulah wujud pertanggungjawaban untuk seluruh kerajaan.
Malah, saya cadangkan sesi jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen ini perlu disiarkan secara langsung menerusi platform digital.
Tumpu butiran isi
Saya juga kecewa kerana Parlimen hanya diberikan peruntukan yang kecil untuk 2022, iaitu RM148,382,900 (RM148 juta) berbanding peruntukan Jabatan Perdana Menteri RM12,201,127,100 (RM12 bilion)!
Adakah negara kita masih terus ditadbir secara “Perdana Menteri berlagak Presiden”? Adakah Parlimen sengaja mahu diketepikan?
Malah, Jabatan Audit Negara mendapat peruntukan yang lebih besar daripada Parlimen, iaitu RM154,467,500 (RM154 juta). Namun, ia diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya ia di bawah kawal seliaan Parlimen.
Begitu juga dengan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional atau GIACC – Governance, Integrity and Anti-Corruption Centre. Ia diwujudkan sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Ketika itu, GIACC mengadakan perjumpaan bulanan bagi membincangkan usaha menambah baik tadbir urus dan membanteras rasuah.
Selepas rampasan kuasa Langkah Sheraton pada 2020, GIACC tidak lagi diberi perhatian serius walaupun masih menerima peruntukan RM38 juta untuk sebuah organisasi kecil. Tetapi ia juga berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri sedangkan ia patut diletakkan di bawah kuasa Parlimen.
Saya harap semua pihak memberi perhatian kepada butiran isi apabila membahaskan Belanjawan. Kita perlu mengurangkan kebisingan serta hiruk-pikuk yang tiada kaitan dengan butiran sebenar.
Selama ini, kebanyakan kita hanya membahaskan ucapan Menteri Kewangan yang hanya mahu menonjolkan kebaikan kerajaan sedangkan kita patut menumpukan kepada perincian sebenar Belanjawan untuk memahami bagaimana kerajaan membelanjakan wang kita.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!