Mengapa jalan tengah Malaysia penting

Dalam era polarisasi yang semakin membimbangkan, memilih jalan tengah atau sederhana bukanlah satu pilihan yang popular. Ia umpama minum kopi tanpa susu atau gula, satu analogi yang pernah diungkap oleh penganalisis politik, Wong Chin Huat.  

Demi memastikan Malaysia menjadi lebih baik, mana-mana gabungan politik termasuk Pakatan Harapan perlu memilih jalan tengah jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang dan mentadbir negara selepas menang. 

Saya telah menulis tentang jalan tengah Malaysia seawal  2009 yang kemudiannya diterbitkan dalam sebuah buku pada 2013 dengan tajuk “Middle Malaysia: Center ground is battle ground”.

Namun, kebanyakan penganalisis dan ahli politik masih tidak faham bahawa hanya dengan  menguasai jalan tengah, barulah sesebuah gabungan politik boleh menang dan membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil.  

Saya akui memang tidak ada satu definisi jelas tentang jalan tengah tetapi secara mudahnya ia bermaksud keputusan pilihan raya ditentukan oleh pengundi atas pagar. Merekalah penentu naik turunnya sesebuah kerajaan dalam mana-mana pilihan raya.

Adakah semua orang Melayu merupakan satu entiti yang sama?

Parti orang Melayu – UMNO, Bersatu, PAS, dan Pejuang – masih menganggap orang Melayu sifatnya konservatif dan tidak boleh berubah, suka mengundi parti yang sama, dan menyokong agenda ketuanan Melayu. 

Ada juga kalangan mereka yang menolak parti-parti Melayu ini secara tanpa sedar turut bersetuju bahawa orang Melayu merupakan satu entiti yang sama, dan mereka ini enggan menerima kewujudan jalan tengah Malaysia.  

Ada segelintir penulis dan kolumnis bukan-Melayu yang cuba meyakinkan kaum bukan-Melayu supaya menolak proses pilihan raya kerana menganggap jumlah orang bukan-Melayu yang kecil tidak akan membolehkan mereka menang. Ini bermakna para “cerdik pandai” ini menganggap politik Malaysia hanyalah persaingan antara kaum, dan mengandaikan orang Melayu sentiasa bersatu untuk menghancurkan orang bukan-Melayu. 

Ada juga yang percaya DAP hanyalah parti untuk kaum bukan-Melayu, dan dengan itu, tidak perlu bercita-cita untuk menang pilihan raya bersama dengan parti-parti lain sebagai satu gabungan. Bagi mereka, DAP perlu menjadi parti pembangkang buat selama-lamanya untuk  kepentingan bukan-Melayu. 

Malah, ada juga segelintir pihak dalam DAP sendiri yang mahu kepentingan bukan-Melayu diutamakan, dan tidak perlu menyantuni orang Melayu, seperti kenyataan Dr. Boo Cheng Hau yang mengkritik pemimpin wanita bukan-Melayu DAP yang memakai selendang menutup rambut apabila memasuki kawasan masjid.  

Jika DAP hanya untuk orang bukan-Melayu sahaja manakala Melayu pula sekadar hiasan dalam parti, ia akan membawa padah pilihan raya dan kesan buruk kepada pembinaan negara. Tentunya ini akan mengesahkan lagi mitos bahawa segala-galanya di Malaysia merupakan persaingan antara kaum semata-mata.

DAP untuk bukan-Melayu sahaja?

Jika DAP sekadar mahu menang undi bukan-Melayu, jumlah kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 2018 akan berkurangan menjadi 15 atau 20 kerusi sahaja, dan bukan 42 kerusi yang ada sekarang. 

Sekiranya DAP tidak berminat menjadi rakan dalam kerajaan, sokongan yang bakal diterimanya akan merosot kembali kepada era pra-2008 yang memperlihatkan parti ini hanya memenangi  sembilan kerusi Parlimen pada PRU 1995, 10 kerusi (1999), dan 12 kerusi (2004).  

Malah, jumlah ini akan terus berkurangan jika pengundi bukan Melayu khususnya sedar bahawa DAP tidak lagi berminat menjadi sebahagian daripada kerajaan, iaitu sudah tiada peluang untuk  membuat perubahan yang lebih baik untuk negara, dan hanya sekadar berteriak di luar gelanggang. 

Sejarah politik negara telah meletakkan DAP di persada nasional. Rakyat mahu DAP bukan sekadar menjadi parti pembangkang buat selama-lamanya. Bersama dengan rakan gabungan, DAP perlu bersedia untuk menjadi kerajaan, sekali lagi.

Kita tidak boleh sekadar membangkang semata-mata kerana kita pembangkang. Kita perlu menawarkan penyelesaian dasar realistik. Kita perlu bersuara bagi semua rakyat Malaysia, kita mesti mewakili jalan tengah Malaysia, dan kita tidak mengikut rentak mana-mana kumpulan pelampau.

Saya telah menyertai DAP sejak tahun 2000, dan 13 tahun daripadanya menjadi salah seorang pemimpin pusat parti. Sepanjang tempoh tersebut, saya tahu ramai pemimpin DAP cuba sedaya-upaya  menjadikan parti sebagai wadah untuk semua rakyat Malaysia. 

Kemenangan saya dalam pemilihan DAP negeri Johor pada Mei 2021 telah membuktikan majoriti ahli akar umbi parti menyokong kepimpinan saya meskipun beberapa pengkritik telah melabelkan saya sebagai “pro-Melayu”, seolah-olah istilah ini merupakan satu dosa besar  dalam parti.  

Walau apapun, saya yakin majoriti pemimpin dan ahli DAP mahu membina parti ini sebagai parti berbilang kaum yang sebenar. Kepelbagaian kita bukan untuk dipisah-pisahkan, sebaliknya ia patut menjadi asas untuk saling faham-memahami dan duduk bersama dalam jalan tengah Malaysia. 

Saya pasti, mereka yang berpendirian sederhana dalam DAP lebih sudi melihat parti kembali membentuk kerajaan Persekutuan bersama rakan-rakan gabungan dan bukannya menjadi parti pembangkang yang memperjuangkan isu perkauman sahaja.

Untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, DAP perlu bekerjasama dengan rakan gabungan, sama ada Melayu, Cina, Indian, Iban, dan Kadazan Dusun, bagi memenangi sokongan semua kaum.

Pertikaian kaum yang tidak berkesudahan 

Hakikatnya, apa yang sedang dilalui DAP ada persamaannya dengan pengalaman PAS dua dekad yang lalu.  

Dengan gelombang Reformasi, PAS menang 27 kerusi Parlimen pada PRU 1999, iaitu satu pencapain terbaik buat mereka. PAS telah memenangi kerusi di pantai barat Semenanjung, iaitu di luar kubu tradisi Kelantan dan Terengganu. Kebanyakan calon yang menang pada PRU 1999 ialah pemimpin progresif yang menyertai PAS kerana kecewa dengan pemerintahan UMNO yang terpalit dengan rasuah. 

Namun, kumpulan konservatif dalam parti itu yang takut dengan perubahan berjaya mengetepikan golongan progresif dalam pemilihan parti setelah Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002, yang kemudiannya membawa kepada kekalahan besar PAS dalam PRU 2004. 

Tetapi, kumpulan progresif PAS memenangi pemilihan parti pada 2005 dan memainkan peranan penting sehinggalah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Februari tahun yang sama. Mereka kemudiannya disingkirkan dalam pemilihan parti pada Jun 2015, dan meninggalkan PAS untuk membentuk Parti Amanah Negara.  

Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020, selain daripada pengkhianatan beberapa pemimpin, boleh dikaitkan dengan pertelingkahan kaum yang tidak berkesudahan, terutamanya dengan persepsi yang salah, iaitu:

  1. Dalam kalangan orang Melayu, tersebar fitnah bahawa DAP merupakan parti milik  bukan-Melayu yang telah menguasai kerajaan PH. 
  1. Dalam kalangan orang bukan-Melayu, DAP dilihat lemah kerana tidak lantang mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (seperti yang biasa dilakukan DAP sewaktu menjadi pembangkang sekitar era 1981 – 2003)

Dalam kerajaan PH sendiri, ada penyokong Dr Mahathir cuba menunjuk jaguh enggan “tunduk” kepada DAP manakala ada pemimpin DAP sentiasa melatah dengan isu-isu yang dibangkittkan oleh media, semata-mata mahu menjadi wira kaum, kononnya berani melawan Perdana Menteri. 

Akhirnya, kesemuanya pihak dalam PH, termasuk wira-wira kaum ini, tersungkur dalam bingkai perkauman yang direka oleh UMNO dan PAS. 

Jalan tengah adalah medan pertarungan 

Pada PRU 2018, PH hanya mendapat 40% undi Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi ia merupakan blok terbesar antara tiga parti yang bertanding iaitu PH, Barisan Nasional, dan PAS. 

Ini bermaksud enam daripada 10 orang Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor tidak menyokong PH. Namun, ia tidak menghalang PH menenangi kesemua kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, dan 52 daripada 56 kerusi DUN Selangor. 

Jika kita dapat bersatu di bawah naratif jalan tengah Malaysia, PH mampu menjadi gabungan yang mantap untuk kembali memimpin dan membina negara dengan lebih baik. 

Namun, jika kita terpedaya dan terperangkap dalam bingkai perkauman pihak lawan, jangan terkejut jika suatu hari nanti DAP dan PH akan lenyap daripada arena politik Malaysia.  

Perkauman dan politik kaum hanya membawa sengsara kepada kita semua, kecuali mereka yang berada di tampuk kuasa. Untuk Malaysia melangkah ke hadapan, jalan tengah Malaysia  merupakan medan pertarungan penting untuk menghadapi pilihan raya dan membina negara.

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi