
Tangani kesesakan lalu lintas yang semakin teruk
- 28 Mei 2022
- Sosial



Saya menyokong penuh kenyataan Setiausaha Agung DAP Sdr Anthony Loke yang telah meminta kerajaan menangani segera masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk, khususnya di bandar-bandar utama.
Sebagai mantan Menteri Pengangkutan, Sdr Anthony sedar dan bimbang dengan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius kerana ia bukan sahaja boleh mengakibatkan keresahan dan tekanan jiwa tetapi juga menjejaskan produktiviti. Jumlah kematian dan kemalangan di jalan raya di Malaysia, iaitu di tangga kelapan dalam senarai jalan-jalan berbahaya di dunia, amat membimbangkan.
Saya bersetuju dengan Sdr Anthony yang menyatakan bahawa “ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah pihak perlu mengurangkan cakap-cakap tentang kaum dan agama tetapi menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.” Kita sepatutnya berbincang hal-hal yang lebih penting dalam hidup seperti bekalan makanan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam dan penebatan banjir kerana semua ini melibatkan kita sebagai rakyat Malaysia, dan ia merentasi semua kaum dan agama.
Dalam satu sidang akhbar bersama Anthony di Petaling Jaya hari ini, saya turut memberitahu media bahawa kerajaan perlu mempunyai iltizam politik untuk tidak lagi menggalakkan penggunaan kereta persendirian kerana ia bukan satu keperluan.
Hari ini, memandu kereta persendirian telah menjadi satu keperluan kerana ketiadaan pengangkutan awam di banyak tempat di negara kita.
Malah, di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, tidak banyak perkhidmatan pengangkutan awam yang menyediakan hubungan “first mile” dan “last mile” seperti khidmat bas “on demand”, laluan pejalan kaki, basikal, skuter, dan sebagainya.
Pada masa yang sama, setiap kali harga minyak dunia mencecah USD100 setong, akan ada suara kelam-kabut menuntut supaya subsidi dikurangkan. Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, dengan harga minyak mentah yang tinggi sekarang, subsidi untuk petrol sahaja dijangka meningkat menjadi RM30 bilion tahun ini, iaitu hampir dua kali ganda daripada peruntukan asal.
Menaikkan harga minyak tanpa menyediakan pengangkutan awam yang baik untuk sekurang-kurangnya 40% hingga 50% penduduk negara bermakna ramai kalangan berpendapatan rendah akan terpaksa “berpindah” menggunakan motosikal. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa setiap kali harga petrol naik di Malaysia, jumlah kemalangan jalan raya meningkat.
Memang ada kaitan di antara kenaikan harga petrol dan jumlah orang mengubah penggunaan kereta kepada motosikal, dan dengan itu, meningkatkan jumlah kematian dan kemalangan jalan raya.
Usaha pesat perlu dilaksanakan untuk meluaskan perkhidmatan bas dan pengangkutan awam lain untuk membolehkan 40% hingga 50% rakyat mendapat akses kepada sistem pengangkutan awam yang baik.
Seperti yang dikatakan oleh Anthony, apabila kita tidak banyak menggunakan kereta persendirian ia akan mengurangkan pengeluaran karbon, dan ini dapat membantu mengendurkan kesan masalah perubahan iklim.
Sementara itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ADUN Bukit Gasing Sdr Rajiv Rishyakaran yang turut bersama kami untuk mempromosikan perkhidmatan “Kumpool On-Demand Bus Hailing” kepada penduduk tempatan. Saya dan Sdr Anthony menyokong penuh usaha murni Sdr Rajiv.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!