Kerajaan Negeri Johor perlu ada iltizam politik yang tinggi untuk atasi masalah pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas

Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor yang telah menjawab persoalan saya mengenai usaha-usaha penambahbaikan pengangkutan awam sebelum siapnya RTS pada tahun 2026.

RTS bukan sahaja harus menjadi mod pengangkutan awam di antara Singapura dan Johor Bahru. Lebih pentingnya RTS harus menjadi pemangkin rangkaian pengangkutan awam di Bandaraya Johor Bahru.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh telah memberi jawapan yang terperinci:

1. Jejantas berbumbung (overhead pedestrian bridge) untuk hubungkan stesen ETS JB Sentral ke CIQ dan stesen RTS Bukit Chagar.

2. MBJB merancang untuk menyediakan perkhidmatan shuttle bas dan juga membangunkan tempat letak kenderaan berpusat di Plaza Seni dan Danga City Mall,

3. Projek Bus Rapid Transit (BRT) fasa 1 yang melibatkan 3 koridor, iaitu Skudai, Iskandar Puteri dan Tebrau dijangka mula beroperasi pada tahun 2025.

Saya juga menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam untuk Johor Bahru. Saya menantikan terma dan butiran jawatankuasa ini.

Pertama sekali, laluan shuttle bus yang dicadangkan oleh MBJB pada pendapat saya adalah tidak mencukupi kerana tidak meliputi kawasan yang memudahkan penduduk tempatan. Banyak hentian bas yang dicadangkan adalah tempat yang dikunjungi pelancong. Hentian bas, tidak kira sama ada bagi shuttle bus atau BRT, harus mengambil kira kadar penggunaan penduduk tempatan untuk pergi ke pejabat/tempat kerja dan “places of daily living”.

Matlamat pengangkutan awam ialah memastikan sekurang-kurangnya separuh penduduk sesebuah negara atau negeri tidak perlu lagi memandu kenderaan sendiri.

Kesesakan lalu lintas akan tetap gagal diatasi jika orang awam menggunakan RTS, salah satu bentuk pengangkutan awam, dari Singapura tetapi sebaik sahaja turun, mereka terpaksa memandu kereta sendiri. Ini bererti tiada sebarang penyelesaian kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.

Menjelang tahun 2026, yang paling penting ialah usaha memastikan sekurang-kurangnya 50% pengguna menggunakan pengangkutan awam yang baik termasuk kesinambungan (connectivity) yang tepat dan munasabah. Integrasi pengangkutan awam sangat penting. Jika tidak, kerajaan hanya membazirkan berbilion ringgit tanpa menyelesaikan kesesakan lalu lintas bandaraya.

Kesinambungan, kebergantungan dan keberkesanan pengangkutan awam adalah faktor-faktor yang utama dalam proses perancangan. Saya harap kerajaan negeri mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk mengatasi masalah pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi