
Lim Kit Siang dan Reformasi Parlimen Malaysia
- 1 Ogos 2022
- Politik

Lim Kit Siang and Parliamentary Reform
Liew Chin Tong[1]*, Mohammad Fakhrurrazi Rashid[2]**
Abstrak
Dominasi parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen sejak awal 1970-an telah menekan fungsi Parlimen sebagai badan semak dan imbang terhadap Kerajaan. Dominasi eksekutif dan amalan Parlimen yang rigid pasca 1969 menyebabkan Parlimen tidak mampu menjalankan peranannya dengan baik dan berkesan. Kelemahan Parlimen ini telah mencetuskan idea-idea reformasi Parlimen agar badan, khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen, agar badan legislatif negara ini benar-benar berfungsi dalam mengawasi badan eksekutif dan memenuhi aspirasi rakyat. Antara Ahli Parlimen yang komited dalam membawa agenda reformasi Parlimen ketika itu adalah Lim Kit Siang yang turut dikenali sebagai seorang negarawan dan demokrat Malaysia. Kertas ini melihat idea-idea reformasi Parlimen diketengahkan Kit Siang sejak awal tahun 1970-an telah memberi kesan signifikan kepada perjalanan pembaharuan institusi Parlimen yang lebih demokratik dan seimbang sehingga hari ini dan seterusnya mencadangkan agar idea-idea reformasi Parlimen diperluaskan lagi agar praktis atau prosedur Parlimen Malaysia dapat diperkukuhkan demi kebaikan generasi akan datang.
Kata Kunci: Demokrasi Berparlimen, Dewan Rakyat, Lim Kit Siang, Reformasi Parlimen
Abstract
The domination of the ruling party, Barisan Nasional (BN), in Parliament since the early 1970s have stifled the function of Parliament as a check and balance towards the government. The domination of the executive and the rigid nature of Parliament caused the ineffectiveness of the role of Parliament. This ineffectiveness gave birth to the idea for the reformation of Parliament to ensure that Parliament performs its role in scrutinizing the executive and fulfilling the aspirations of the rakyat. Among the Members of Parliament who were committed to advocate for the reformation of Parliament is Kit Siang who is known widely as a statesman and Malaysian democrat. This paper examines the ideas for reforming Parliament as discussed by Kit Siang since the 1970s that have brought a significance to the transformation of Parliament into a more democratic and balanced institution. The ideas for reforming Parliament should be disseminated and Parliamentary procedures should be strengthened for the good for the coming generation.
Keywords: Parliamentary Democracy, Dewan Rakyat, Lim Kit Siang, Parliamentary Reforms
Pendahuluan
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Dalam sistem ini, Parlimen merupakan salah satu cabang utama yang penting dalam Kerajaan selain badan eksekutif dan kehakiman. Model pentadbiran Malaysia boleh ditakrifkan sebagai Kerajaan Berparlimen (Parliamentary Government) di mana Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik akan membentuk Kerajaan atau badan eksekutif berdasarkan sokongan majoriti di dalam badan perundangan.
Konsep Kerajaan Berparlimen berasaskan sistem demokrasi Westminster di United Kingdom (UK) iaitu badan eksekutif merupakan sebahagian daripada Parlimen yang perlu bertanggungjawab dan telus kepada badan perundangan. Perkara ini sama sekali berbeza amalan demokrasi di Amerika Syarikat yang berasaskan kepada pengasingan kuasa (separation of power) yang mengasingkan badan eksekutif, perundangan, dan kehakiman berpaksikan teori pengasingan kuasa daripada Montesquieu.[3]
Parlimen mempunyai peranan dalam menggubal dan membahaskan undang-undang, meluluskan perbelanjaan Kerajaan, dan badan semak dan imbang ke atas badan eksekutif. Walau bagaimanapun, dominasi Kerajaan yang mempunyai majoriti besar boleh menyebabkan Parlimen tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik kerana setiap usul dan agenda di dalam badan legislatif akan diluluskan tanpa semak dan imbang daripada Ahli Parlimen, khasnya blok Pembangkang.[4] Dominasi eksekutif dalam urusan Parlimen menyebabkan proses membuat keputusan tidak seimbang kerana ia cenderung mempengaruhi agenda Kerajaan tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak.[5] Secara asasnya, limitasi atau sebuah sistem demokrasi berparlimen yang lemah akan mewujudkan usaha untuk reformasi Parlimen. Agenda reformasi Parlimen merupakan satu usaha untuk memperkukuh fungsi badan legislatif untuk menyemak dan mengimbangi badan eksekutif dengan berkesan melalui penambahbaikan dari aspek amalan dan praktis Parlimen itu sendiri.[6]
Sistem demokrasi di Malaysia melalui saat getirnya apabila fungsinya hampir lumpuh disebabkan oleh dominasi badan eksekutif. Selepas tragedi 13 Mei 1969, yang berlaku sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) 1969 diadakan, Parlimen digantung dan Malaysia ditadbir oleh sebuah badan pentadbir darurat, iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bermula pada 16 Mei 1969. Meskipun Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kuasa pentadbiran ketika itu diserahkan kepada MAGERAN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. Kawalan kuasa yang besar oleh pentadbiran MAGERAN telah melumpuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menjejaskan kedaulatan perlembagaan Persekutuan.
Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) serta beberapa parti lain bersama UMNO, MCA dan MIC[7] untuk membentuk Barisan Nasional (BN) telah menjadikannya sebuah Kerajaan majoriti di Dewan Rakyat, meskipun parti-parti ini berbeza ideologi. Demokrasi di Malaysia ketika itu boleh digambarkan sebagai Demokrasi Konsosiasional (Consociational Democracy) yang bermaksud setiap keputusan hanya dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertentu dalam masyarakat yang berpecah-pecah untuk berkongsi kuasa bagi membentuk sebuah pemerintahan termasuk gabungan besar parti politik.[8] Secara mudahnya, konsep Demokrasi Konsosiasional ini bergantung penuh kepada pemimpin dan cuba mengurangkan persaingan merebut kuasa dengan membentuk gabungan kuasa atau parti yang besar, seperti pembentukan BN. Persefahaman ini menjadikan UMNO sebagai tunjang utama BN dan melahirkan sebuah pentadbiran satu parti (one-party state) yang memberi tekanan hebat kepada sistem demokrasi berparlimen. DAP pula memilih haluan menjadi pembangkang demi memastikan wujudnya semak dan imbang ke atas Kerajaan di Parlimen.
Ternyata, keadaan demokrasi negara ketika itu yang masih muda telah menempuhi pelbagai halangan yang hampir melumpuhkan fungsi Parlimen. Politik Malaysia pasca 1969 dan tahun 1970-an mencipta permulaan penting dalam usaha mengangkat agenda reformasi Parlimen untuk memastikan badan legislatif negara ini berfungsi secara demokratik, khususnya komitmen daripada Lim Kit Siang dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang pertama kali mewakili suara rakyat di dalam Parlimen Malaysia pada tahun 1970-an. Kit Siang merupakan Ahli Parlimen yang komited dan mencorak politik Malaysia dengan idea-idea baharu dalam mengangkat pembaharuan pendemokrasian sistem Parlimen di Malaysia.
Meskipun agenda reformasi Parlimen ini telah bermula sejak 1970-an lagi, Kerajaan ketika itu tidak mempunyai kesanggupan politik dan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan Parlimen.[9] Selepas perubahan dinamik politik pada PRU12 dan PRU13 yang menyaksikan Kerajaan BN dinafikan majoriti dua pertiga berturut-turut di dalam Dewan Rakyat, beberapa agenda reformasi Parlimen telah dilaksanakan. Peralihan Kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 telah menjadikan reformasi Parlimen sebagai fokus utama Kerajaan dalam memperkasakan sistem demokrasi berparlimen Malaysia yang berfungsi dengan baik.[10]
Kertas ini akan membincangkan permulaan Parlimen pasca 1969 dan tekanan yang dikenakan ke atas fungsi institusi Parlimen Malaysia. Selain itu, kajian ini turut melihat idea-idea reformasi Parlimen yang pernah dicadangkan Kit Siang sejak 1970-an sehingga ia boleh menjadi asas kepada usaha melaksanakan reformasi Parlimen pada hari ini. Kemudian, kertas ini akan merumuskan bagaimana usaha meneruskan kesinambungan idea-idea dan cadangan reformasi Parlimen bagi membangunkan institusi Parlimen yang lebih berfungsi dan demokratik.
Permulaan Parlimen Malaysia pasca 13 Mei 1969
Pasca tragedi 13 Mei 1969 turut membentuk sistem demokrasi Malaysia bersifat Autoritarianisme Berdaya Saing (Competitive Authoritarianism) di mana amalan demokrasi hanya menyebelahi pihak berkuasa atau parti pemerintah meskipun ia bebas dan pelbagai tekanan dikenakan terhadap parti Pembangkang supaya tidak dapat menggugat kedudukan Kerajaan.[11]Amalan demokrasi di Malaysia juga ditakrifkan sebagai separa demokrasi (quasi-democracy) kerana hak dan nilai demokrasi liberal yang diberikan kepada rakyat sering dipinggirkan dan lebih mengutamakan kepentingan pihak Kerajaan.[12] Parlimen pula tidak dapat mengangkat pendekatan penyertaan awam secara terbuka dan aktif, tetapi semua keputusan akan ditentukan sepenuhnya oleh badan eksekutif atau parti Kerajaan.[13] Selain itu, ia memperlihatkan pentadbiran Malaysia mempraktikkan nilai-nilai demokrasi tetapi turut menonjolkan ciri-ciri pentadbiran autoritarianisme.[14] Harold Crouch pula menyatakan sistem demokrasi di Malaysia adalah sebuah demokrasi yang telah diubahsuai (modified democracy) iaitu unsur demokrasi seperti pilihan raya diadakan hanya sekadar untuk menguji populariti Kerajaan dan mengenakan pelbagai sekatan untuk melemahkan Pembangkang.[15]
Parlimen hanya dibuka semula buat pertama kali selepas PRU 1969 pada 23 Februari 1971, iaitu hampir dua tahun selepas peristiwa 13 Mei 1969. Pembukaan Parlimen ini penting buat DAP dan Kit Siang kerana kali pertama terlibat dalam proses sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Permulaan awal DAP dalam Parlimen sangat mencabar. Pihak Kerajaan ketika itu menekan parti Pembangkang, termasuk mendakwa DAP menjadi punca berlakunya rusuhan pada 13 Mei 1969. Pembangkang dituduh menjalankan kempen hasutan sehingga prestasi Perikatan pada PRU 1969 jatuh merosot. Fungsi Parlimen ketika itu hanyalah sekadar simbol demokrasi kerana proses membuat keputusan di dalam Parlimen didominasi oleh parti kerajaan.[16]
Kerajaan turut melemahkan fungsi Pembangkang dengan mengambil tindakan tegas untuk menahan beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang, termasuk Kit Siang, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pasca tragedi 1969.[17] Tindakan keras Kerajaan menahan wakil rakyat Pembangkang menimbulkan kebimbangan parti DAP sekiranya rakyat tidak dapat melihat nilai kepentingan sistem demokrasi berparlimen kepada mereka memandangkan Kerajaan mengambil tindakan drastik kepada individu yang tidak sehaluan dengan keputusan mereka.[18]
Sejak hari pertama Ahli Parlimen DAP bersama Kit Siang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, mereka berpegang kepada prinsip-prinsip demokratik sebagai asas perjuangan meskipun berdepan pelbagai tekanan politik daripada parti pemerintah. DAP berpegang teguh kepada kedaulatan Parlimen. Namun, Kerajaan BN telah menekan fungsi Parlimen dan menyekat kebebasan Ahli Parlimen dalam membahaskan isu-isu yang dianggap sensitif. Contohnya, pihak Kerajaan membentangkan Akta Pindaan Perlembagaan 1971 di Dewan Rakyat untuk menghalang Ahli Parlimen membahaskan isu-isu yang menyentuh tentang kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, dan bahasa komuniti lain.[19] DAP dan Kit Siang mengkritik pindaan ini dan berpendapat Parlimen perlu menjadi ruang perbahasan terbuka dalam membincangkan isu negara dan rakyat walaupun dalam perkara-perkara sensitif.
Malah, pandangan DAP ini diambil pemimpin parti pemerintah dalam konteks yang lebih beremosi sehingga Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Besar Selangor waktu itu, Datuk Harun Idris, membuat ugutan keras untuk mengepung bangunan Parlimen beramai-ramai sekiranya pindaan tersebut tidak diluluskan.[20] Tindakan ini mengancam kebebasan dan kehormatan Parlimen, sekaligus menandakan bermulanya era “negara satu parti” yang memerintah Malaysia selama hampir enam dekad.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1971 secara tidak langsung telah memperluaskan lagi pengukuhan dominasi parti pemerintah di dalam Parlimen dan menyukarkan Ahli Parlimen Pembangkang menyuarakan pandangan secara terbuka.[21] Setiap halangan dan tekanan daripada Kerajaan menimbulkan kebimbangan terhadap fungsi sebenar Parlimen sebagai institusi yang seharusnya menyelesaikan isu negara dengan penglibatan Ahli Parlimen pelbagai parti. Kedudukan majoriti dua pertiga parti pemerintah di Parlimen ketika itu menjadi faktor kesukaran Ahli Parlimen dan Kerajaan mencapai kata sepakat secara konsensus dan dwipartisan.[22]
Cabaran sistem demokrasi berparlimen Malaysia
Apabila BN menguasai Dewan Rakyat dengan majoriti dua pertiga, Pembangkang tidak dapat menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap jemaah menteri dengan berkesan. Kedudukan majoriti besar parti pemerintah memudahkan usul atau undang-undang Kerajaan diluluskan di Parlimen tanpa penelitian daripada pihak Pembangkang. Kit Siang melihat dominasi satu parti di Parlimen akan memberi kesan buruk kepada pembangunan negara yang ketika itu berhadapan dengan isu perpaduan dan ekonomi yang meruncing.
Melalui tulisannya “Pendemokrasian Kehidupan Malaysia”, beliau menekankan kaedah untuk memastikan dominasi satu parti dapat diatasi dengan meletakkan asas demokrasi dan perpaduan nasional sebagai keutamaan seperti pendemokrasian Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi peluang dan kekebalan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyuarakan kebimbangan dan harapan rakyat.[23]
Cadangan beliau tidak dipandang serius oleh Kerajaan ketika itu. Dalam erti kata lain, Parlimen pasca 1969 hanyalah institusi bagi memenuhi proses pilihan raya dan supaya blok Pembangkang tidak mengkritik Kerajaan secara berstruktur dan kritikal.[24] Keterhadan ini menyebabkan Ahli Parlimen, khususnya Pembangkang, menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan Parlimen dapat berfungsi secara efektif bagi menyemak akauntabiliti Kerajaan dan menyelesaikan isu-isu rakyat.
Salah satu cabaran utama Parlimen Malaysia adalah keterhadan dalam ruang dan peluang yang diberikan kepada Ahli Parlimen untuk mempengaruhi keputusan atau proses menggubal undang-undang. Ahli Parlimen tidak dapat membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) secara berkesan. RUU atau pindaan terhadap sesuatu Akta sering dibuat tanpa semakan terperinci dan pihak Kerajaan tidak mengambil serius akan cadangan Ahli Parlimen untuk menambah baik RUU tertentu.
Contohnya, pada 15 Julai 1976, Kit Siang dan beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat berkenaan beberapa cadangan untuk meminda RUU Kerja (Pindaan) yang bakal dibentangkan oleh Kerajaan dalam masa seminggu.[25] Namun, pindaan yang dicadangkan tidak dibentangkan atas alasan Speaker Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa notis daripada Ahli Parlimen Pembangkang.[26] Notis yang dihantar oleh Ahli Parlimen Pembangkang sebenarnya telah memenuhi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 57 yang menyatakan Ahli Parlimen boleh menghantar apa-apa pindaan yang hendak dicadangkan dengan mengeluarkan notis atau pemberitahuan kepada Parlimen sehari sebelum Jawatankuasa sebuah-buah Majlis menimbangkan RUU.[27] Keputusan Speaker Dewan Rakyat yang tidak mengambil tindakan lanjut untuk menyiasat dan menjelaskan permasalahan yang timbul memperlihatkan bagaimana peranan Ahli Parlimen amat terhad dalam mempengaruhi proses menggubal atau meminda RUU.
Kit Siang dan Ahli Parlimen Pembangkang juga mencadangkan agar RUU Kerja ini dirujuk kepada Jawatankuasa Khas berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 58[28] agar ia boleh disemak secara terperinci oleh Ahli Parlimen. Tetapi, cadangan tersebut tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen, khususnya mereka dari pihak Kerajaan.
Selain itu, Parlimen bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar dan keputusan yang dilaksanakan oleh badan eksekutif. Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, jemaah menteri perlu bertanggungjawab kepada Parlimen yakni menjawab pertanyaan dan memberi penerangan kepada setiap persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen.[29] Namun, kuasa Parlimen pasca 1969 untuk menyemak ketelusan badan eksekutif di Malaysia dilemahkan. Menteri tidak mempunyai komitmen untuk menjawab pertanyaan ataupun menerima cadangan daripada Ahli Parlimen memandangkan majoriti besar di Parlimen tidak memungkinkan kedudukan badan eksekutif tergugat. Parti pemerintah sering menggunakan disiplin parti yang ketat untuk menghalang Ahli Parlimen Kerajaan membuat sebarang penolakan yang boleh menggugat kedudukan Kerajaan dan perlu bersatu memberi tekanan kepada pihak Pembangkang.[30] Malah, pihak Kerajaan menggunakan kedudukan majoriti selesa untuk meminda prosedur dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi mengehadkan ruang dan peluang Ahli Parlimen Pembangkang mengkritik Kerajaan.[31] Salah satu faktor kemerosotan fungsi Parlimen adalah undang-undang yang dibawa oleh pihak Kerajaan diluluskan tanpa sebarang pindaan.[32]
Meskipun terdapat pelbagai halangan, Kit Siang tetap menggunakan ruang yang ada bagi memulakan idea reformasi Parlimen agar institusi ini benar-benar mengangkat nilai demokratik demi kesejahteraan rakyat. Sebuah institusi Parlimen yang lemah, seperti di Malaysia, akan memberi kesan buruk kepada pentadbiran negara apabila setiap dasar yang dibuat hanya menumpukan kepentingan sebelah pihak dan akan membuka ruang kepada salah guna kuasa, dan kecuaian pihak eksekutif mentadbir negara.[33] Kelemahan ini telah menjadi faktor penting untuk melaksanakan agenda reformasi Parlimen di Malaysia untuk memastikan institusi ini berfungsi secara efektif.[34] Selain itu, perubahan institusi Parlimen juga akan mewujudkan keseimbangan peranan badan eksekutif dan perundangan dalam struktur pentadbiran negara,[35] termasuk memperkukuh prosedur dan amalan Parlimen yang lebih efektif dan berkesan dalam membuat sesuatu dasar demi kepentingan rakyat.
Walaupun reformasi Parlimen telah digerakkan oleh Kit Siang dan Ahli Parlimen Pembangkang sejak awal 1970-an lagi, namun idea-idea ini hanya mula dibincangkan secara aktif dan terbuka selepas PRU12 pada 8 Mac 2008 apabila buat pertama kali dalam sejarah negara BN dinafikan majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat. Unsur-unsur tekanan yang dilaksanakan oleh badan eksekutif kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia juga telah mewujudkan gerakan masyarakat sivil yang turut menuntut pemulihan sistem demokrasi dan politik secara menyeluruh.[36] Peristiwa ini membuka politik Malaysia ke fasa deliberative democracy atau demokrasi secara rundingan, bermaksud satu keadaan di mana perbincangan secara rasional, terbuka, dan demokratik dalam membuat keputusan melibatkan pelbagai pihak, termasuk proses membuat keputusan di Parlimen.[37] Peralihan Kerajaan Persekutuan buat pertama kali dalam enam dekad kepada Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 menyaksikan agenda reformasi Parlimen menjadi fokus utama Kerajaan dalam menambah baik sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang turut mengambil inspirasi dan usaha reformasi Parlimen yang diketengahkan Kit Siang.
Institusi Ketua Pembangkang
Kit Siang yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka dalam PRU 1969, telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang ketiga dalam Dewan Rakyat mulai Januari 1973. Ketika itu, PAS yang merupakan pembangkang sejak Merdeka telah menyertai BN untuk membentuk kerajaan gabungan. Kemudian, jawatan tersebut disandang oleh para pemimpin Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), iaitu James Wong Kim Min dari Ogos hingga Oktober 1974 dan Edmund Langgu Saga dari November 1974 hingga November 1975 sehingga SNAP pula menyertai BN.[38]
Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang dari November 1975 hingga November 1999, iaitu selama 24 tahun sehingga beliau kalah dalam persaingan Parlimen Bukit Bendera dalam PRU10. Pada tahun 2004, beliau kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timor serta menjawat jawatan Ketua Pembangkang sehingga tahun 2008. Bagi Kit Siang, sejak 1969, selain daripada penggal 1999-2004, beliau telah menjadi Ahli Parlimen selama 48 tahun.[39]
Sewaktu menjadi Ketua Pembangkang, beliau meletakkan usaha untuk mengembangkan lagi sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang sering berhadapan dengan tekanan daripada parti pemerintah.[40] Meskipun jawatan Ketua Pembangkang bukan satu jawatan rasmi dan tidak mempunyai protokol kekananan dalam pentadbiran negara, Kit Siang telah meletakkan standard yang tinggi sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Contohnya, ketika Parlimen dalam era 1970-an, Ahli Parlimen Pembangkang tidak diberi ruang secukupnya untuk membentangkan usul atau ucapan penangguhan di Parlimen. Dominasi Kerajaan dalam perjalanan Parlimen telah menghadkan masa kepada mereka untuk berucap. Bagi mengatasi masalah ini, Kit Siang sebagai Ketua Pembangkang menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 28 Oktober 1974 untuk mencadangkan Kerajaan melaksanakan reformasi Parlimen seperti memperuntukkan masa yang lebih banyak kepada Ahli Parlimen Pembangkang bagi membahaskan usul di Parlimen.[41] Agenda reformasi Parlimen Kit Siang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri dan ketika sesi Parlimen pada tahun 1974 hingga 1978, lebih banyak usul pihak Pembangkang dibahaskan di dalam Parlimen hasil daripada usaha perubahan Parlimen yang dicadangkan oleh Kit Siang kepada Perdana Menteri.
Sejak 1971, Ketua Pembangkang merupakan jawatan rasmi yang menerima gaji dan seorang kerani di pejabat Parlimen bagi menguruskan hal ehwal dalam Dewan Rakyat.[42]Fungsi Ketua Pembangkang Malaysia berbeza dengan amalan Parlimen Westminster. Di United Kingdom (UK), Ketua Pembangkang dan beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang merupakan sebahagian daripada ‘Privy Council’ atau Majlis Penasihat Raja. Penyertaan Ketua Pembangkang dalam Privy Council penting agar pihak Pembangkang juga mendapat perkembangan semasa tentang pentadbiran UK, khasnya dalam soal keselamatan dan pertahanan negara.[43] Kanada pula mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang sebagai individu yang ke-14 paling kanan dalam protokol rasmi kerajaan dan statusnya setaraf dengan menteri kabinet. Ia menunjukkan kepentingan Ketua Pembangkang dalam pentadbiran sesebuah negara dan bukan sekadar ‘musuh’ kepada parti kerajaan.
Peranan Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia hanya mengalami perubahan signifikan selepas Pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen pada PRU12. Apabila fungsi Pembangkang kukuh di Parlimen, integriti dan tadbir urus badan eksekutif dapat disemak imbang sehingga blok Pembangkang berjaya mendedahkan ketirisan kerajaan dan kelemahan dasar Kerajaan. Walaupun jumlah Ahli Parlimen Pembangkang bertambah selepas PRU 2008, dan terus meningkat pada PRU 2013, Kerajaan BN masih cuba meminggirkan suara mereka di Parlimen.
Dalam perkara ini, Kit Siang mencadangkan agar kedudukan dan fungsi Ketua Pembangkang diiktiraf sebagai salah satu jawatan rasmi yang tarafnya sama dengan kedudukan seorang Jemaah Menteri dan mempunyai keutamaan dalam urusan Parlimen dan negara.[44] Antara cadangan tersebut adalah memperuntukkan kakitangan kepada Ketua Pembangkang, iaitu dua orang Setiausaha Politik, seorang Setiausaha Sulit, dan seorang Pembantu Penyelidik agar Ketua Pembangkang dapat menjalankan tugasnya dengan lancar. Cadangan ini juga sebagai satu pengiktirafan kepada peranan Pembangkang dalam sistem pentadbiran negara yang kian penting buat rakyat.
Kini, status jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen sama taraf dengan Menteri. Pengiktirafan ini hadir apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menghantar surat rasmi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2021 untuk mengesahkan naik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri.[45] Perkara ini dapat dilaksanakan hasil daripada Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara Kerajaan Persekutuan dan blok Pembangkang terbesar, Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan asas reformasi Parlimen sebagai agenda utama untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Rang Undang-Undang Ahli Persendirian
Berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 49 (1), Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian atau Private Member’s Bill adalah satu undang-undang yang dibawa oleh mana-mana Ahli Parlimen yang tidak menganggotai badan eksekutif.[46] RUU ini memberi peluang kepada mana-mana Ahli Parlimen Pembangkang atau penyokong Kerajaan mengemukakan undang-undang dalam perkara tertentu untuk dijadikan sebahagian Akta Kerajaan. Selain itu, proses membawa RUU Ahli Persendirian juga sering melibatkan individu, persatuan, dan orang awam yang mempunyai kepentingan dalam perkara tertentu. Secara asasnya, RUU Ahli Persendirian memberi ruang kepada Ahli Parlimen membawa penyelesaian alternatif di Parlimen. Dari sudut yang berbeza, ia memperlihatkan Parlimen tidak hanya bergantung kepada Kerajaan untuk mencadangkan sesuatu undang-undang.
Hakikatnya, Parlimen Malaysia tidak pernah meluluskan RUU Ahli Persendirian[47]menjadi sebuah Akta Kerajaan sejak enam dekad yang lalu. RUU Ahli Persendirian sukar dibawa dan diluluskan Parlimen atas dua faktor. Pertama, agenda Kerajaan didahulukan di Parlimen berbanding urusan yang melibatkan usul daripada Ahli Parlimen bukan Kerajaan.[48]Kedua, Kerajaan boleh melengahkan perbahasan RUU Ahli Persendirian dengan menambah jumlah RUU Kerajaan di kertas Aturan Mesyuarat. Cara ini menyebabkan RUU Ahli Persendirian, khasnya daripada kalangan Ahli Parlimen Pembangkang, terletak di giliran paling bawah atau hanya direkodkan di dalam Aturan Mesyuarat tanpa sebarang pengundian dan perbahasan.[49]
Walau bagaimanapun, Kit Siang dan pihak Pembangkang telah memanfaatkan RUU Ahli Persendirian sejak era 1970-an lagi untuk membawa perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara. Sebagai contoh, pada 21 Mac 1978, Kit Siang mengusulkan RUU Persendirian bagi menghalang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar atau melompat parti. Agenda ini dibentangkan beliau sebagai usaha mengatasi masalah rasuah politik yang kian berleluasa ketika itu. RUU Ahli Persendirian ini dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat daripada pihak Kerajaan mahupun Pembangkang. Kemudian, setiap pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dijawab oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.[50] Namun, RUU Ahli Persendirian ini tidak mendapat sokongan daripada pihak Kerajaan. Dari sudut yang berbeza, Parlimen tidak memperuntukkan masa dan ruang khas untuk Ahli Parlimen mengemukakan RUU Ahli Persendirian. [51]
Kini, setelah lebih empat dekad beliau membentangkan RUU Ahli Persendirian tersebut, Kerajaan Persekutuan akhirnya membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan usaha menggubal sebuah akta khusus bagi mengatasi isu lompat parti dengan membentuk sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membuat kajian yang lebih lanjut. Ia juga hasil desakan atau tuntutan daripada individu, persatuan, dan orang awam yang menyokong undang-undang menghalang wakil rakyat lompat parti selepas ia dilihat akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
Sekurang-kurangnya, Ahli Parlimen pada era 1970-an seperti Kit Siang mempunyai ruang untuk mengusul dan membahaskan RUU Ahli Persendirian di Parlimen. Situasi hari ini amat berbeza kerana kebanyakan usul RUU Ahli Persendirian dibawa oleh Ahli Parlimen tidak dibahas dan diundi. Sebagai contoh, RUU Ahli Persendirian daripada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkaitan pemecatan Ahli Parlimen yang melompat parti telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan di Parlimen.[52]Pihak Kerajaan menyatakan RUU Ahli Persendirian yang dibawa oleh Azalina bercanggah dengan Perkara 67 Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan membawa kesan kepada implikasi kewangan dan ia hanya boleh dibawa sekiranya mendapat sokongan daripada seorang Menteri.[53]
Ternyata, usaha membawa RUU Ahli Persendirian di Parlimen pada era 1970-an, seperti yang dilakukan oleh Lim Kit Siang, telah membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk memberi cadangan alternatif bagi menyelesaikan isu rakyat. Namun, situasinya tetap sama apabila Kerajaan tidak terbuka untuk mempertimbangkan RUU Ahli Persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen dibahas atau menjadi Akta Kerajaan. Malah, peraturan rigid dari sudut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, dengan meletakkan syarat RUU Ahli Persendirian perlu mendapat sokongan Menteri untuk dibentangkan, menjadi faktor utama Ahli Parlimen tidak berpeluang membentangkan cadangan dan isu-isu yang diperjuangkan oleh mereka.
Pertanyaan-Pertanyaan di Parlimen
Salah satu mekanisme penting dalam sistem demokrasi berparlimen sebagai alat pengawasan (oversight) ke atas badan eksekutif adalah sesi pertanyaan. Berdasarkan amalan biasa di Parlimen seluruh dunia, sesi pertanyaan ini amat penting untuk Ahli Parlimen mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada Menteri Kabinet mengenai sesuatu isu atau dasar. Ia turut menjadi pendekatan penting untuk menguji ketelusan Kerajaan dalam mempertahankan dasar yang dibawa agar ia tidak mempunyai sebarang kelompongan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.[54] Di Malaysia, sesi pertanyaan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab jemaah menteri kepada Parlimen berdasarkan Perkara 43 (3).[55] Maka, Ahli Parlimen akan mengajukan pertanyaan kepada Menteri, sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis, bagi mendapatkan maklumat daripada pihak Kerajaan.
Seawal penglibatan mereka di Parlimen, Kit Siang telah menghantar 152 pertanyaan pada setiap satu mesyuarat Dewan Rakyat untuk dijawab oleh menteri.[56] Perkara ini pada awalnya dibenarkan oleh Parlimen kerana tiada had untuk bertanyakan soalan. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dipinda dengan meletakkan had maksimum 20 pertanyaan lisan dan lima pertanyaan bertulis Parlimen bagi setiap mesyuarat Parlimen. Kini, jumlah pertanyaan bagi setiap Ahli Parlimen dikurangkan lagi kepada 15 pertanyaan, iaitu 10 pertanyaan lisan dan lima pertanyaan bertulis dalam setiap satu mesyuarat.[57]
Masalah utama dalam sesi pertanyaan di Parlimen adalah jawapan oleh Menteri tidak mencapai tahap yang diharapkan oleh Ahli Parlimen. Malah, ada Menteri yang kerap tidak hadir ke sesi pertanyaan dan menyerahkan tugas kepada Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen sahaja. Situasi ini berlaku kerana kedudukan Kerajaan ketika itu begitu selesa dengan majoriti dua pertiga yang sukar digugat oleh pihak Pembangkang.[58]
Kit Siang melihat hak dan ruang yang diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menyemak dan mengimbangi Kerajaan kian terhad walaupun Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat telah dipinda beberapa kali, termasuk peluang untuk Ahli Parlimen bertanya soalan ke atas badan eksekutif. Bagi mengatasi masalah ini, Kit Siang mencadangkan agar sesi pertanyaan di Parlimen diperluaskan dengan memperkenalkan Prime Minister’s Question Time (PMQ).[59] Konsep PMQ ini memerlukan Perdana Menteri hadir ke sesi pertanyaan di Parlimen sebanyak dua kali seminggu dengan peruntukan masa 15 minit bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada Ahli Parlimen secara bersemuka.[60]
Perubahan politik dengan isu-isu semasa yang bergerak secara dinamik, memerlukan Ahli Parlimen diberikan lebih ruang dan hak lebih banyak untuk mengemukakan pertanyaan bagi mendapat keterangan terperinci daripada Jemaah Menteri, khususnya dalam isu-isu semasa. Pada tahun 2016, transformasi Parlimen telah dilaksanakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salah satu perubahan yang dilakukan ketika itu adalah menambah pendekatan bagi Ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan kepada Menteri yang dikenali sebagai Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri atau Minister’s Question Time (MQT).[61] Sesi ini memberi peluang kepada Ahli Dewan Rakyat bertanyakan soalan lisan kepada Menteri bertanggungjawab dengan notis soalan dihantar dalam masa 24 jam. Sesi MQT memberi peluang kepada Ahli Dewan Rakyat bertanyakan soalan lanjut kepada Menteri berkenaan isu semasa. Ini merupakan perubahan baik berbanding amalan Parlimen dahulu yang mengehadkan pertanyaan secara terbuka di antara Jemaah Menteri dan Ahli Dewan Rakyat.
Beberapa pembaharuan sesi pertanyaan Parlimen dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan PH. Pertama, memperuntukkan sesi MQT pada setiap hari Khamis untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri. Keputusan ini dibuat supaya Ahli Parlimen dapat menguji dan meminta penjelasan Perdana Menteri dalam isu dasar. Lebih penting lagi, ia juga kaedah berkesan untuk memastikan Perdana Menteri sentiasa aktif menghadiri sidang Parlimen yang selalunya kurang memberangsangkan.
Kedua, menguruskan masa pertanyaan lisan di Dewan Rakyat kepada enam minit bagi memastikan sebanyak 15 pertanyaan lisan dapat dijawab dalam tempoh satu jam setengah. Speaker Dewan Rakyat bagi sesi 2018-2020, Tan Sri Mohamad Ariff Yusof, telah memulakan amalan memperuntukkan hari tertentu untuk kementerian mengambil giliran menjawab pertanyaan lisan semasa hari bersidang. Contohnya, dalam tempoh dua hari persidangan, pertanyaan lisan hanya berkenaan tujuh kementerian yang ditetapkan oleh Speaker Dewan Rakyat.[62] Tujuan perubahan ini dilaksanakan adalah bagi memberi ruang kepada Menteri, Timbalan Menteri, dan kakitangan awam melakukan persediaan rapi untuk menyediakan jawapan kepada Ahli Parlimen. Manfaat yang sama dapat dirasai oleh wakil rakyat apabila mereka juga boleh bersiap sedia mengajukan pertanyaan bermutu ketika sesi tersebut.[63]
Usul Penangguhan Ahli Parlimen
Amalan Parlimen terdahulu membenarkan sekurang-kurangnya dua orang Ahli Parlimen mengemukakan usul penangguhan bagi membawa apa-apa isu yang difikirkan penting untuk diambil perhatian oleh Jemaah Menteri. Menurut Kit Siang:
Sebagai pekerja politik yang bertanggungjawab, Ahli Parlimen DAP mengguna pakai sepenuhnya usul penangguhan Parlimen, iaitu perbahasan setengah jam sebelum penangguhan Dewan dalam setiap persidangan di mana Ahli Parlimen dapat membangkitkan isu atau masalah khusus untuk perhatian dan jawapan menteri. (Namun) pindaan sekali lagi dibuat kepada Perintah Mesyuarat Dewan Rakyat untuk memansuhkan usul penangguhan bagi dua mesyuarat Parlimen yang panjang dalam setiap sesi, iaitu mesyuarat perbahasan titah ucapan Diraja dan mesyuarat Belanjawan.
Tanpa rasa kecewa, Ahli Parlimen DAP terus memanfaatkan usul penangguhan bagi dua mesyuarat Parlimen yang pendek. (Namun) pihak Kerajaan melakukan sabotaj apabila semua Ahli Parlimennya mengosongkan Dewan, kecuali seorang Ahli Parlimen atau menteri, yang memaksa sidang ditangguhkan (tanpa ucapan penangguhan). Di luar Dewan, Ahli-ahli Parlimen Kerajaan ketawa seperti budak-budak nakal yang merasakan diri mereka pandai dengan tidak mempedulikan loceng meminta mereka masuk Dewan untuk mencukupkan korum. Di House of Commons (Dewan Rakyat) United Kingdom, ucapan penangguhan memang biasa dibuat di dalam Dewan yang hampir kosong tetapi tiada Ahli Parlimen akan sabotaj dengan menjeritkan “tiada korum” apabila ucapan dimulakan.[64]
Sekatan dalam membawa usul penangguhan ini merumitkan usaha Ahli Parlimen Pembangkang membawa isu rakyat untuk diselesaikan oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kit Siang mengambil peluang yang ada menerusi ucapan penangguhan untuk membangkitkan sesuatu cadangan dasar yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan.
Antara ucapan penangguhan yang dibawa oleh Kit Siang adalah cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada 10 Disember 1971. Kit Siang memberi cadangan dasar ini kepada Kerajaan atas dua hujah. Pertama, warganegara berusia 18 tahun dianggap matang dan perlu dilayan seperti orang dewasa biasa kerana mereka terlibat menyumbang kepada sektor ekonomi negara dan mampu memiliki harta. Kedua, populasi negara yang terdiri daripada 60 peratus golongan belia ketika itu menjadikan golongan ini kumpulan majoriti yang layak membuat keputusan menentukan hala tuju negara.[65] Usul penangguhan ini dijawab oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud dengan menyatakan Kerajaan tidak bersedia melaksanakan cadangan dibawa oleh Kit Siang kerana keutamaan Kerajaan waktu itu adalah untuk membangunkan ekonomi negara.
Menyedari bahawa Ahli Parlimen perlu diberikan lebih banyak masa untuk membawa ucapan penangguhan tanpa mengganggu perjalan Dewan sidang utama, Dewan Rakyat telah meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mewujudkan Kamar Khas (Special Chamber),[66] yang merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Parlimen yang diusahakan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin.
Kamar Khas merupakan sistem yang diguna pakai oleh Parlimen Australia (Federal Chamber) dan United Kingdom (Westminster Hall). Ia merupakan sebuah Dewan yang setara dan menjadi sebahagian daripada Dewan Sidang yang sebenar.[67] Kewujudan Kamar Khas ini dapat mengatasi masalah ucapan penangguhan di Dewan Rakyat yang mengambil tempat selepas jam 5.30 petang. Perkara ini menyebabkan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat, khasnya urusan-urusan penting Kerajaan, terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada ucapan penangguhan. Dengan adanya Kamar Khas, Ahli Parlimen boleh membawa usul penangguhan berkaitan masalah kawasan dan dasar di bawah Kerajaan Persekutuan. Kesemua usul ini akan dijawab oleh Menteri atau Timbalan Menteri secara lisan. Sejak Kamar Khas diperkenalkan pada tahun 2016, sebanyak 360 usul telah dibahaskan sehingga tahun 2019 dan majoriti usul Kamar Khas dibahaskan oleh Ahli Parlimen Pembangkang.[68]
Sewaktu era Speaker Tan Sri Mohamad Ariff pula, Kamar Khas diperkasakan lagi dengan siaran secara langsung melalui media atas talian. Perubahan ini dibuat memandangkan persidangan Kamar Khas tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.[69]Justeru, siaran langsung Kamar Khas diharapkan dapat mendedahkan orang awam tentang perjalanan Kamar Khas secara lebih rapat. Bagi wakil rakyat pula, ia peluang penting untuk memaklumkan orang awam, khususnya rakyat di kawasan, tentang usul dibawa mereka bagi menyelesaikan isu-isu tertentu.
Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas
Cetusan idea asal Kit Siang diperluaskan sewaktu beliau membahaskan idea reformasi Parlimen dalam usul Persendiriannya di Dewan Rakyat pada 17 Jun 1980. Ucapan beliau menyentuh tentang kepentingan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia untuk dibangunkan dan diperkasakan agar ia sejajar dengan keperluan semasa dan mampu mengatasi cabaran masa depan. Perkara utama yang dibangkitkan adalah konsep hak Parlimen untuk mengawal kuasa badan eksekutif. Dalam ucapan beliau:
“Dalam Dewan ini di mana Ahli-ahlinya datang dari berbagai-bagai parti politik sudah tentulah kita akan mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza berasaskan kepada fahaman-fahaman kepartian. Tetapi kita semua bersama mengadakan satu kualiti yang sama iaitu kita semua adalah Ahli-ahli Parlimen dan kita semua sama-sama harus pandang berat supaya menentukan terhadap pengawalan (control) Parlimen yang lebih berkesan ke atas Eksekutif tanpa mengira pertalian parti.
Adalah menjadi satu keperluan dalam hal-hal melibatkan kepentingan hak dan kuasa Parlimen vis-a-vis Executive bahawa Ahli-ahli Parlimen baikpun dari parti Pemerintah atau parti Pembangkang mengambil satu pendirian yang sama untuk menjamin bahawa hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Parlimen tidak dicabuli oleh Eksekutif.”[70]
Salah satu cadangan yang diutarakan Kit Siang adalah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) atau Select Committee di Dewan Rakyat sebagai mekanisme berkesan mengawal badan eksekutif. Pembangkang sentiasa tertekan ketika itu kerana diberi masa yang terlalu pendek untuk mengkaji setiap RUU dan Anggaran Belanjawan kementerian. Kit Siang pernah membawa isu ini di Parlimen kerana Ahli Parlimen diberi masa dua hari sahaja untuk meneliti anggaran tambahan bagi tahun 1979 dan 1980 bagi 18 kementerian yang berjumlah RM1 bilion.[71] Masa yang sangat singkat itu menyebabkan Ahli Parlimen tidak mampu meneliti butir-butir Belanjawan tersebut dengan terperinci.
Situasi ini membuktikan sisi ketidakpedulian badan eksekutif yang mahu meluluskan sebarang perbelanjaan dan RUU tanpa mempertimbangkan pandangan konstruktif Pembangkang. Ini menjadi sikap sesebuah Kerajaan yang mempunyai majoriti terlalu besar dalam Parlimen, khususnya apabila ia melibatkan persoalan tentang perbelanjaan Kerajaan. Atas sebab inilah Kit Siang mencadangkan penubuhan JPK Belanjawan (Estimate Committee) untuk memberi peluang dan sumber kepada Ahli Parlimen mengkaji dasar dan perbelanjaan Kerajaan secara terperinci.[72]
Cadangan penubuhan JPK Belanjawan ini juga perlu memainkan peranan menyemak kerangka belanjawan negara dan mengawasi prestasi Kerajaan melaksanakan rancangan ekonomi lima tahun, yakni Rancangan Malaysia, supaya dapat memberi cadangan alternatif untuk Kerajaan mengatasi cabaran tertentu. Kaedah ini juga sebenarnya memberi pendedahan lebih meluas kepada Ahli Parlimen tentang selok-belok isu dasar dan pentadbiran Kerajaan. Maklumat yang diperolehi Ahli Parlimen dalam JPK boleh memberi nilai tambah kepada perbahasan dasar konstruktif dan bermutu di Dewan Rakyat. Namun, usul penubuhan sistem JPK ini ditolak Kerajaan ketika itu.
Seperti beberapa usaha reformasi yang dinyatakan di atas, sistem JPK ini hanya dilaksanakan selepas 38 tahun Kit Siang mencadangkannya di Parlimen. Pada 4 Disember 2018, Speaker Tan Sri Mohamad Ariff mengumumkan enam JPK di Dewan Rakyat iaitu: JPK Menimbang Rang Undang-Undang, JPK Bajet, JPK Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, JPK Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan serta JPK Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.[73]Pentadbiran PH komited melaksanakan sistem JPK bagi memperkukuh fungsi semak dan imbang Parlimen serta memastikan Ahli Parlimen, khususnya blok Pembangkang, dapat terlibat sama dalam proses membuat dasar dengan lebih meluas.
Perkara utama yang mahu dicapai dalam pelaksanaan sistem JPK adalah mewujudkan semangat kerjasama dwipartisan di antara Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang melangkaui kepentingan politik kepartian. Dari sudut yang lebih luas, pembaharuan ini dapat mencipta budaya lebih matang dalam membahas atau membincangkan sesuatu isu di Parlimen berbanding situasi lama Ahli Dewan Rakyat yang sering melanggar etika dan bersikap tidak berparlimen semasa mesyuarat Dewan Rakyat berlangsung.[74] Sistem JPK ini yang diperkenalkan pada era PH diteruskan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penggantinya Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu, pembaharuan dalam struktur Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan melantik Ahli Parlimen Pembangkang sebagai Pengerusi PAC juga merupakan agenda Reformasi Parlimen yang pernah dicadangkan oleh Kit Siang. Konsep ini penting untuk mengatasi masalah konflik berkepentingan kerana Ahli Parlimen Kerajaan cenderung untuk mengikut telunjuk badan eksekutif sehingga ia boleh menjejaskan kredibiliti dan keberkesanan PAC menjalankan siasatan secara bebas.
Selepas peralihan Kerajaan pada tahun 2018, Parlimen telah melantik Ahli Parlimen Pembangkang pertama menjadi Pengerusi PAC dan amalan ini diteruskan sehingga hari ini.[75] Ini satu perubahan besar buat Parlimen Malaysia memandangkan jawatan Pengerusi PAC dipegang oleh Ahli Parlimen Kerajaan sejak PAC ditubuhkan pada tahun 1959.[76] Beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Selangor dan Pulau Pinang telah lebih awal melantik wakil rakyat Pembangkang sebagai Pengerusi PAC, iaitu sejak tahun 2008.
Forum membincangkan reformasi Parlimen
Bagi Kit Siang, reformasi Parlimen merupakan agenda nasional yang perlu digarap oleh kesemua Ahli Parlimen daripada pelbagai parti. Institusi ini perlu diperakui sebagai forum perbincangan politik tertinggi negara bagi mencari solusi sebenar isu rakyat dan negara. Beliau telah mencadangkan sebuah Jawatankuasa Parlimen atau dipanggilnya sebagai Persidangan Tuan Speaker Mengenai Reformasi Parlimen atau Speaker’s Conference untuk memperluaskan idea-idea reformasi Parlimen Malaysia. Jelas beliau:
“Cadangan saya bahawa ada satu Speaker’s Conference atas parliamentary reforms ialah supaya boleh kaji dengan mendalam pengalaman-pengalaman, contoh-contoh dan tauladan-tauladan di institusi-insititusi Parlimen di Iain-lain bukan sahaja di House of Commons tmalahan di Iain-lain negara Komanwel pun mereka ada innovate konsep procedural yang mereka sendiri yang mungkinlah kita boleh belajar bukan imitate tetapi mungkin fikiran dan idea-idea itu kita boleh gunakan”.[77]
Pada tahun 2019, Speaker Tan Sri Mohamad Ariff, telah mengadakan The Speaker’s Lecture Series, iaitu siri dialog membincangkan idea reformasi Parlimen dan penambahbaikan undang-undang dan demokrasi di Malaysia dan luar negara. Program ini merupakan usaha ‘Merakyatkan Parlimen’ melibatkan gerakan masyarakat sivil dan tetamu jemputannya daripada tokoh-tokoh Parlimen seluruh dunia seperti David Elder, bekas Setiausaha House of Representative Australia (Clerk of the the Australian House of Representative) dan Ketua Ombudsman New Zealand, Peter Boshier.[78] Kemudian, Dewan Rakyat juga menubuhkan Kaukus Reformasi Institusi dan Tadbir Urus Parlimen[79] yang turut dianggotai oleh Kit Siang untuk membincangkan idea-idea reformasi Parlimen dan penambahbaikan dasar dalam pelbagai sektor.
Kesimpulan
Reformasi Parlimen merupakan agenda penting untuk memastikan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan. Tujuan melaksanakan reformasi Parlimen di Malaysia amat jelas iaitu memperkukuh peranan semak dan imbang ke atas badan eksekutif dengan memberi lebih banyak ruang kepada Ahli untuk terlibat secara aktif dalam proses di Parlimen, khasnya dalam menggubal dasar dan undang-undang negara.[80] Meskipun idea-idea reformasi Parlimen yang diketengahkan oleh Ahli Parlimen seperti Kit Siang berhadapan dengan pelbagai cabaran, reformasi Parlimen dilihat berjaya berkembang dan diterima pelbagai pihak dengan adanya ruang pendemokrasian yang lebih luas sejak PRU 12. Reformasi Parlimen yang terus dibahas dan dibincangkan generasi hari ini adalah kesinambungan idea-idea yang pernah dicadangkan oleh Ahli Parlimen berpengalaman seperti Kit Siang. Ini terbukti apabila idea-idea reformasi Parlimen yang konsisten dibawa oleh Kit Siang sudah menjadi kenyataan, sama ada yang dilaksanakan oleh kerajaan PH sepanjang 22 bulan pemerintahannya atau yang mula dikuatkuasakan pada era BN pra-2018 apabila rakyat menuntut reformasi dalam pelbagai bidang.
Menariknya, agenda reformasi Parlimen hari ini telah menjadi agenda nasional yang diusahakan secara dwipartisan antara Kerajaan dan Pembangkang. Perjanjian MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH[81] yang mengetengahkan pembaharuan Parlimen, merupakan contoh terbaik bagaimana agenda reformasi Parlimen perlu dilaksanakan pada hari ini. Komitmen yang berterusan daripada pihak Kerajaan dan Ahli Parlimen untuk mengangkat reformasi Parlimen sebagai agenda nasional akan memperluaskan lagi peranan Parlimen dalam mencorak hala tuju pentadbiran negara yang berintegriti dan bertanggungjawab.
Walaupun sebahagian daripada idea reformasi Parlimen dicadangkan Kit Siang berjaya dilaksanakan, masih terdapat banyak lagi agenda pembaharuan Parlimen perlu diusahakan agar Parlimen benar-benar efektif dan mempunyai kesinambungan dengan agenda reformasi Parlimen dalam jangka masa panjang. Pertama, Ketua Pembangkang di Malaysia seharusnya diberi pengiktirafan sewajarnya dalam struktur pentadbiran negara seperti yang diamalkan di United Kingdom dan Kanada. Pengiktirafan ini sekaligus memberi peluang kepada blok Pembangkang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan tertinggi pentadbiran negara. Peranan Ketua Pembangkang perlu diberikan perspektif baharu dengan melihat Ketua Pembangkang rakan strategik Kerajaan dan sebagai individu yang bakal menerajui Kerajaan satu hari nanti.
Kedua, amalan dan prosedur Parlimen perlu dikaji semula untuk melibatkan lebih ramai Ahli Parlimen membawa RUU Ahli Persendirian di Parlimen. Di Parlimen New Zealand, Ahli Parlimen boleh membawa RUU Ahli Persendirian pada hari Rabu ketika mesyuarat Parlimen berlangsung.[82] Praktis seperti ini merupakan contoh terbaik bagaimana Parlimen Malaysia perlu memperuntukkan masa yang lebih mencukupi kepada Ahli Parlimen di Malaysia untuk membawa RUU Ahli Persendirian, dan bukan membenarkan Kerajaan mendominasi urusan Parlimen sahaja.
Ketiga, memperuntukkan Hari Pembangkang (Opposition Day) di dalam Parlimen Malaysia. Ini merupakan praktis biasa di Parlimen UK, apabila parti Pembangkang diberikan 20 hari untuk menentukan agenda perjalanan Parlimen seperti menentukan tajuk usul dan perbahasan.[83] Parlimen Malaysia melalui Dewan Rakyat boleh memperuntukan sekurang-kurangnya satu jam dalam seminggu untuk Hari Pembangkang.[84] Pelaksanaan Hari Pembangkang di dalam Parlimen Malaysia akan memberi nilai tambah kepada Ahli Parlimen Pembangkang untuk bergerak aktif dalam urusan Parlimen. Mereka turut berpeluang membawa dasar yang difikirkan penting untuk dibahas dan diputuskan demi kepentingan awam.
Keempat, terdapat keperluan juga untuk mengukuhkan sistem Jawatankuasa Pilihan Khas dengan memberi peranan yang lebih signifikan dalam meneliti dan mengkaji setiap dasar dan prestasi Kerajaan secara bebas. Oleh itu, kajian diperlukan untuk meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 83(4) yang kini membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengkaji perkara atau RUU yang diserahkan oleh Dewan Rakyat sahaja.[85] Pindaan peraturan ini diharapkan dapat memperluaskan lagi peranan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam melihat dasar dan isu kepentingan orang awam secara meluas dan menyiasat prestasi kerajaan secara telus dan terbuka.
Pada masa yang sama, terdapat juga agenda reformasi Parlimen dalam memperkasakan badan legislatif mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memberi autonomi kepada institusi Parlimen menguruskan hal ehwal dan hala tujunya sendiri tanpa campur tangan daripada badan eksekutif. Pemberian autonomi ini diharapkan juga dapat memberi ruang yang lebih baik kepada pembaharuan prosedur dan amalan di Parlimen.[86] Selain itu, perbincangan mengenai kepentingan dan idea-idea reformasi Parlimen juga perlu diteruskan di setiap lapisan masyarakat, khususnya kepada belia yang kini sudah layak mengundi selepas had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Penyertaan warganegara berusia 18 tahun dalam pilihan raya akan memperkukuhkan lagi legitimasi Kerajaan dan fungsi Parlimen itu sendiri.[87] Ini merupakan peluang terbaik untuk generasi akan datang melihat kepentingan institusi Parlimen dalam aspek yang lebih menyeluruh. Ia juga selari dengan dapatan Laporan Inter-Parliamentary Union (IPU) bertajuk Global Parliamentary Report 2022 – Public engagement in the work of parliament yang menekankan kepentingan pengukuhan penglibatan awam dalam proses Parlimen dengan pendekatan yang lebih responsif dalam menguruskan pandangan orang awam.[88] Dalam erti kata lain, agenda reformasi Parlimen tidak sepatutnya bersifat statik dan perancangan untuk menambah baik amalan Parlimen yang efektif wajar diteruskan demi memastikan institusi ini dapat menyemak dan mengimbangi badan eksekutif dengan berkesan dan menguruskan isu-isu dasar yang lebih rencam pada masa hadapan.
Klik di link ini untuk PDF penuh di Jurnal Parlimen Malaysia: https://bit.ly/3bka5qd
Nota kaki/Footnote
[1]* Liew Chin Tong is State Elected Representative for Perling, Johor and the Opposition Leader at Johor State Legislative Assembly and former Member of Parliament for Kluang and former Senator. Email: lct@liewchintong.com
[2]** Mohammad Fakhrurrazi Rashid is Research Coordinator at Research for Social Advancement (REFSA).
[3] Faruqi S.S., Our Constitution (Subang Jaya, Thomson Reuters Asia Sdn Bhd, 2019) pg.41.
[4] Ong M., ‘Changing Power Configuration in Malaysia’ dalam Colin. B dan Francis L.K.W(ed), Malaysian Economics and Politics in the New Century (Cheltenham, Edward Elgar, 2003).
[5] Lijphart.A, Thinking about Democracy: Power Sharing and Majority Rule in Theory and Practice (London, Routledge, 2008).
[6] Winetrobe, B. K. (1997). Aspects of Parliamentary Reform. Research Paper 97/64, House of Commons Library
[7] Dari tahun 1957 hingga 1969, ketiga-tiga parti ini mentadbir dalam gabungan yang sama dengan nama Perikatan.
[8] Lijphart.A, ‘Varieties of non majoritarian democracy’ dalam C. Markus, K. Thomas dan W. David (eds), Democracy and Institution: The life work of Arend Lijphart (Arbor, University of Michigan Press, 2000) 228.
[9] Hassan.M.S, Mohd.H.N, dan Kamilan.I.H, Parliamentary reforms and Sustainable Development Goals (SDG): the way forward for an inclusive and sustainable parliament (2021), The Journal of Legislative Studies1-29.
[10] Buku Harapan, Janji 16
[11] M.L. Weiss, The Roots of Resilience: Party machines and grassroots politics in Singapore and Malaysia(Singapore, National University of Singapore (NUS), 2020) 108.
[12] W. Case, ‘Malaysia’s resilient pseudodemocracy’ (2001) 12 Journal of democracy 43-57.
[13] M.J. Esman, Administration and development in Malaysia (New York, Cornell University Press, 1972).
[14] D.K. Mauzy, ‘The Challenge to Democracy Singapore and Malaysia’s Resilient Hybrid Regimes’ (2006) 2(2) Taiwan Journal of Democracy 47–68.
[15] Harold. C, Government and Society in Malaysia (New York, Cornell University Press, 1996).
[16] L.K.W. Francis dan B.T. Khoo (eds), Democracy in Malaysia: Discourse and Practices (Richmond, Curzon Press, 2002) 4.
[17] R.S. Milne dan D.K. Mauzy, Politics and Government in Malaysia (Singapura, Times Book International, 1983).
[18] Weiss (n 3) 120.
[19] Milne dan Mauzy (n 8).
[20] C.T. Liew, Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter (Kuala Lumpur, Research for Social Advancement (REFSA), 2021) 44.
[21] J. Funston, Malay Politics in Malaysia – A study of PAS and UMNO (Kuala Lumpur, Heinemann, 1980).
[22] K. Von Vorys, Democracy without consensus (Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1976).
[23] Ucapan Titah Diraja oleh Lim Kit Siang di Dewan Rakyat, 11 Mei 1972. Lihat <https://bibliotheca.limkitsiang.com/1972/05/11/democratisation-of-malaysian-life-2/>.
[24] S. Chee, ‘Public Accountability in Malaysia: Form and substance’ dalam G.B.N. Pradhan dan M.A. Reforma (eds), Public Administration in the 1990: Challenges and opportunities (Manila, Eastern regional organization for public administration, 1991) 105-126.
[25] DR Deb 15 Julai 1976, Bil. 2.
[26] ibid.
[27] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 57(2).
[28] Peraturan Mesyuarat ini menjelaskan tentang aturan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menimbangkan sesuatu RUU di dalam Dewan Rakyat.
[29] S.S. Faruqi, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective No. 132 – Reform of Parliament: Lessons from 2020-2021 (Singapore, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective, 2021).
[30] M. Puthucheary, ‘Ministerial responsibility in Malaysia’ dalam M. Suffian, H.P. Lee dan F.A. Triandle (eds), The Constitutional of Malaysia: Its Development, 1957-1977 (Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1987) 123-135.
[31] M. Ong, ‘Government and Opposition in Parliament’ dalam Z. Haji Ahmad (ed), Government and Politics of Malaysia (Singapore, Oxford University Press, 1987).
[32] Kamilan. I.H dan Hassan M.S, The Function of Parliament, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
[33] C. Lee, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective No. 79 – Making Sense of Malaysia’s Institutional Reforms(Singapore, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective, 2018).
[34] Hassan.M.S, Mohd.H.N, dan Kamilan.I.H, Parliamentary reforms and Sustainable Development Goals (SDG): the way forward for an inclusive and sustainable parliament (2021), The Journal of Legislative Studies1-29.
[35] P. Norton, ‘Parliamentary Reform’ (2002) XI-3 Revue Française de Civilisation Britannique 18-30<http://rfcb.revues.org/696> dicapai 12 Julai 2016.
[36] Weiss M.L., Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia(California, Stanford University Press, 2006)
[37] J. Bohman, Public Deliberation: Pluralism, Complexity and Democracy (Cambridge, MIT Press, 1996) 4.
[38] Liew (n 11) 45.
[39] A. Harding, The Constitution of Malaysia: A Contextual Analysis (2nd edn, Oxford, Hart/ Bloomsbury,
2021) 99.
[40] ibid.
[41] Ong (n 22) 40-55.
[42] Harding (n 27) 99.
[43] Lihat <https://www.instituteforgovernment.org.uk/explainers/privy-council>.
[44] K.S. Lim, ‘Parliamentary reforms should be top agenda of 13th parliament’ Blog Lim Kit Siang (10 Mei 2013) <https://blog.limkitsiang.com/2013/05/10/parliamentary-reforms-should-be-top-agenda-of-13th-parliament/>.
[45] Lihat <https://www.astroawani.com/berita-politik/pejabat-ketua-pembangkang-dinaik-taraf-setara-pejabat-menteri-324886>.
[46] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 49(1).
[47] S.S. Faruqi, Our Constitution (Subang Jaya, Thomson Reuters Asia Sdn Bhd, 2019).
[48] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 15(1).
[49] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 14(2).
[50] DR Deb 21 Mac 1978, Bil. 1, 78.
[51] Md Yusof M.A dan Faruqi S.S, The Constitutional Position of Malaysia, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
[52] Lihat <https://www.malaysiakini.com/news/602685>.
[53] Perkara 67 (1) Perlembagaan Persekutuan menghuraikan tentang Sekatan terhadap pembawaan Rang Undang-Undang dan pencadangan pindaan-pindaan yang melibatkan pencukaian, perbelanjaan, dsb. Sokongan Kerajaan kepada RUU Ahli Persendirian Ahli Parlimen pernah berlaku apabila Kerajaan menyokong RUU Ahli Persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April 2017. Situasi ini berlaku apabila Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, membawa urusan pembentangan RUU Ahli Persendirian ini sebagai agenda utama Kerajaan di dalam urusan Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, pindaan RUU 355 ini tidak pernah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen.
[54] M.A. Md Yusof dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
[55] Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menerangkan tentang tanggungjawab Menteri kepada Parlimen.
[56] Sebelum pembukaan persidangan Parlimen pada tahun 1971, Lim Kit Siang telah menghantar 152 pertanyaan, diikuti Ahli Parlimen DAP lain seperti Goh Hock Guan (117 pertanyaan) dan Fan Yew Teng (101 pertanyaan). Straits Times (Malaysia, 20 Februari 1971) dalam Milne dan Mauzy (n 8) 233.
[57] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 22.
[58] H.H. Lim, ‘Public Administration: The effect of exceutive dominance’ dalam Francis dan Khoo (n 7) 165-197.
[59] PMQ memberi peluang kepada Ahli Parlimen UK mengemukakan pertanyaan secara bersemuka dengan Perdana Menteri UK di House of Commons. Sesi ini mengambil tempat pada jam 12.00 tengahari setiap hari Rabu ketika Parlimen bersidang. Lihat <https://www.parliament.uk/business/news/parliament-government-and-politics/parliament/prime-ministers-questions/>.
[60] Lihat <https://www.limkitsiang.com/archive/2002/may02/lks1545.htm>.
[61] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 24.
[62] C.T. Liew, ‘Dua Tahun Penambahbaikan Parlimen: Meneruskan Agenda Reformasi’ Liew Chin Tong Website(12 Julai 2020) <https://liewchintong.com/ms/2020/07/12/dua-tahun-penambahbaikan-parlimen-meneruskan-agenda-reformasi/>.
[63] M.A. Md Yusof, Parliament, Unexpected: Recollections of Parliament, Politics, and Pandemic in Malaysia(Petaling Jaya, Matahari Books, 2022) 131.
[64] Liew (n 11) 46-7.
[65] DR Deb 10 Disember 1971, Bil. 39, 4538-44.
[66] Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Penyata Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (DR 2013-2018, DR 2/2016).
[67] M.F. Rashid, REFSA Briefing Paper 5 – Reformasi Parlimen: Tinjauan Tiga Tahun Penubuhan Kamar Khas di Malaysia (Kuala Lumpur, REFSA, 2020).
[68] ibid.
[69] Md Yusof (n 50) 131.
[70] DR Deb 17 Jun 1980, Bil. 21.
[71] K.S. Lim, Malaysia in the Dangerous 80s (Petaling Jaya, Democratic Action Party, 1982) 325.
[72] ibid.
[73] Jawatankuasa Dewan, Penyata Jawatankuasa Dewan, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (DR 2018-2023, DR 6/2018).
[74] Md Yusof (n 50) 129.
[75] Parlimen melantik Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Ahli Parlimen Beluran) daripada BN menjadi Pengerusi PAC pada tahun 2018. Selepas Ronald Kiandee menukar parti ke BERSATU, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (P
arit Sulong) menjadi Pengerusi PAC pada tahun 2019. Noraini merupakan Ahli Parlimen wanita pertama di Malaysia menjawat jawatan tersebut.
[76] Lim (n 32).
[77] DR Deb 17 Jun 1980, Bil. 21.
[78] Lihat <https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sudah-tiba-masa-ada-ombudsman-malaysia-speaker-dewan-rakyat-217977>.
[79] Lihat <https://www.roketkini.com/2019/09/25/kaukus-reformasi-institusi-dan-tadbir-urus-parlimen-perlu-jadi-perintis-pemikiran-baharu-isu-penting-negara/>.
[80] Khoo .Y.H. Post-legislative Scrutiny in the Process of Democratic Transition in Malaysia, (2020) (4) Journal Of Southeast Asian Human Rights pg 52-88
[81] ‘Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik’ Parlimen Malaysia (13 September 2021) <https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/bkk/MOU.pdf>.
[82] Lihat <https://www.parliament.nz/en/pb/bills-and-laws/proposed-members-bills/>.
[83] Lihat <https://www.instituteforgovernment.org.uk/explainers/official-opposition>.
[84] Faruqi S.S, The Malaysian Parliament: Problems, Prospect and Proposal for Reform, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia(Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
[85] Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM 83(4).
[86] Lihat <https://www.astroawani.com/berita-malaysia/akta-majlis-parlimen-diperkasa-akta-perkhidmatan-parlimen-1963-akan-dikembali-rais-yatim-327775>.
[87] Faruqi S.S, The Malaysian Parliament: Problems, Prospect and Proposal for Reform, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia(Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
[88] Laporan ini menekankan bagaimana Parlimen seluruh dunia perlu mengambil serius penglibatan orang muda, yang kini populasinya kian meningkat di seluruh negara, bagi meneruskan penambahbaikan dan meluaskan proses Parlimen dalam jangka masa panjang. Inter Parliamentary Union (IPU), Global Parliamentary Report 2022 – Public engagement in the work of parliament, 2022.
Rujukan
‘Akta Majlis Parlimen diperkasa, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 akan dikembali – Rais Yatim’ Astro Awani (28 Oktober 2021) <https://www.astroawani.com/berita-malaysia/akta-majlis-parlimen-diperkasa-akta-perkhidmatan-parlimen-1963-akan-dikembali-rais-yatim-327775>.
‘DAP calls for far-reaching parliamentary reforms to make the Malaysian Parliament fit for the 21st century era of information and communications technology’ Lim Kit Siang Blog (7 Mei 2002) <https://www.limkitsiang.com/archive/2002/may02/lks1545.htm>.
Harold. C, Government and Society in Malaysia (New York, Cornell University Press, 1996).
Inter Parliamentary Union (IPU), Global Parliamentary Report 2022 – Public engagement in the work of parliament, 2022.
Khoo .Y.H. Post-legislative Scrutiny in the Process of Democratic Transition in Malaysia, (2020) (4) Journal Of Southeast Asian Human Rights pg 52-88
‘Kaukus Reformasi Institusi dan Tadbir Urus Parlimen perlu jadi perintis pemikiran baharu isu penting negara’ Roketkini.com (25 September 2019) <https://www.roketkini.com/2019/09/25/kaukus-reformasi-institusi-dan-tadbir-urus-parlimen-perlu-jadi-perintis-pemikiran-baharu-isu-penting-negara/>.
Lijphart.A, Thinking about Democracy: Power Sharing and Majority Rule in Theory and Practice (London, Routledge, 2008).
‘Official opposition’ Institute for Government (14 Februari 2022) <https://www.instituteforgovernment.org.uk/explainers/official-opposition>.
‘Pejabat Ketua Pembangkang dinaik taraf setara pejabat Menteri’ Astro Awani (12 Oktober 2021) <https://www.astroawani.com/berita-politik/pejabat-ketua-pembangkang-dinaik-taraf-setara-pejabat-menteri-324886>.
‘Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik’ Parlimen Malaysia (13 September 2021) <https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/bkk/MOU.pdf>.
‘Prime Minister’s Questions’ UK Parliament (tt) <https://www.parliament.uk/business/news/parliament-government-and-politics/parliament/prime-ministers-questions/>.
‘Privy council’ Institute for Government (28 Februari 2022) <https://www.instituteforgovernment.org.uk/explainers/privy-council>.
‘Proposed members’ bills’ New Zealand Parliament (tt) <https://www.parliament.nz/en/pb/bills-and-laws/proposed-members-bills/>.
‘RUU hibrid masih pilihan terbaik tangani isu lompat parti – Azalina’ Malaysia Kini(12 Disember 2021) <https://www.malaysiakini.com/news/602685>.
‘Sudah tiba masa ada Ombudsman Malaysia – Speaker Dewan Rakyat’ Astro Awani(20 September 2019) <https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sudah-tiba-masa-ada-ombudsman-malaysia-speaker-dewan-rakyat-217977>.
Bohman J., Public Deliberation: Pluralism, Complexity and Democracy (Cambridge, MIT Press, 1996) 4.
Case W., ‘Malaysia’s resilient pseudodemocracy’ (2001) 12 Journal of democracy 43-57.
Chee S., ‘Public Accountability in Malaysia: Form and substance’ dalam Pradhan G.B.N. dan Reforma M.A. (eds), Public Administration in the 1990: Challenges and opportunities (Manila, Eastern regional organization for public administration, 1991) 105-126.
Cheng K.C.K., Penang Institute Issues – The Value of Private Member’s Bills in Parliament: A Process Comparison between Malaysia and the United Kingdom (Pulau Pinang, Penang Institute, 2019).
DR Deb 10 Disember 1971, Bil. 39, 4538-44.
DR Deb 15 Julai 1976, Bil. 2.
DR Deb 17 Jun 1980, Bil. 21.
DR Deb 21 Mac 1978, Bil. 1, 78.
DR Deb 28 Mac 2018, Bil. 15.
DR Deb 6 April 2017, Bil. 20.
Esman M.J., Administration and development in Malaysia (New York, Cornell University Press, 1972).
Faruqi S.S., ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective No. 132 – Reform of Parliament: Lessons from 2020-2021 (Singapore, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective,2021).
___ Our Constitution (Subang Jaya, Thomson Reuters Asia Sdn Bhd, 2019).
___The Malaysian Parliament: Problems, Prospect and Proposal for Reform, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
Francis L.K.W. dan Khoo B.T. (eds), Democracy in Malaysia: Discourse and Practices (Richmond, Curzon Press, 2002) 4.
Funston J., Malay Politics in Malaysia – A study of PAS and UMNO (Kuala Lumpur, Heinemann, 1980).
Harding A., The Constitution of Malaysia: A Contextual Analysis (2nd edn, Oxford, Hart/ Bloomsbury, 2021) 99.
Hassan.M.S, Mohd.H.N, dan Kamilan.I.H, Parliamentary reforms and Sustainable Development Goals (SDG): the way forward for an inclusive and sustainable parliament (2021), The Journal of Legislative Studies 1-29.
Jawatankuasa Dewan, Penyata Jawatankuasa Dewan, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (DR 2018-2023, DR 6/2018).
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Penyata Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (DR 2013-2018, DR 2/2016).
Lee C., ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective No. 79 – Making Sense of Malaysia’s Institutional Reforms (Singapore, ISEAS Yusof Ishak Institute Perspective,2018).
Liew C.T., ‘Dua Tahun Penambahbaikan Parlimen: Meneruskan Agenda Reformasi’ Liew Chin Tong Website (12 Julai 2020) <https://liewchintong.com/ms/2020/07/12/dua-tahun-penambahbaikan-parlimen-meneruskan-agenda-reformasi/>.
___ Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter (Kuala Lumpur, Research for Social Advancement (REFSA), 2021) 44.
Lijphart A., ‘Varieties of non majoritarian democracy’ dalam Markus C., Thomas K. dan David W. (eds), Democracy and Institution: The life work of Arend Lijphart (Arbor, University of Michigan Press, 2000) 228.
__Thinking about Democracy: Power Sharing and Majority Rule in Theory and Practice (London, Routledge, 2008).
Lim G.E., ‘80th Birthday Tribute To My Father Lim Kit Siang’ The Rocket (21 Februari 2021) <https://www.therocket.com.my/en/80th-birthday-tribute-to-my-father-lim-kit-siang/>.
Lim H.H., ‘Public Administration: The effect of executive dominance’ dalam Francis L.K.W. dan Khoo B.T. (eds), Democracy in Malaysia: Discourse and Practices (Richmond, Curzon Press, 2002) 165-197.
Lim K.S., ‘Parliamentary reforms should be top agenda of 13th parliament’ Lim Kit Siang Blog (10 Mei 2013) <https://blog.limkitsiang.com/2013/05/10/parliamentary-reforms-should-be-top-agenda-of-13th-parliament/>.
___ Malaysia in the Dangerous 80s (Petaling Jaya, Democratic Action Party, 1982) 325.
___ Time Bomb in Malaysia: Problems of National-Building in Malaysia (Petaling Jaya, DAP, 1978).
___ Ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat 11 Mei 1972<https://bibliotheca.limkitsiang.com/1972/05/11/democratisation-of-malaysian-life-2/>.
Mauzy D.K., ‘The Challenge to Democracy Singapore and Malaysia’s Resilient Hybrid Regimes’ (2006) 2(2) Taiwan Journal of Democracy 47–68.
Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
___ dan Faruqi S.S., The Constitutional Position of Malaysia, dalam Md Yusof M.A. dan lain-lain (eds), Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House of Representative) of Malaysia (Subang Jaya, Sweet & Maxwell, 2020).
Md Yusof M.A., Parliament, Unexpected: Recollections of Parliament, Politics, and Pandemic in Malaysia (Petaling Jaya, Matahari Books, 2022) 131.
Milne R.S. dan Mauzy D.K., Politics and Government in Malaysia (Singapura, Times Book International, 1983).
Norton P., ‘Parliamentary Reform’ (2002) XI-3 Revue Française de Civilisation Britannique 18-30 <http://rfcb.revues.org/696> dicapai 12 Julai 2016.
Ong M., ‘Government and Opposition in Parliament’ dalam Z. Haji Ahmad (ed),Government and Politics of Malaysia (Singapore, Oxford University Press, 1987).
___‘Changing Power Configuration in Malaysia’ dalam Colin. B dan Francis L.K.W(ed), Malaysian Economics and Politics in the New Century (Cheltenham, Edward Elgar, 2003).
Ooi K.B., Hak untuk berbeza pendapat: Lim Kit Siang, sebuah lakaran biografi (Kuala Lumpur, REFSA, 2012) 50.
Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Puthucheary M., ‘Ministerial responsibility in Malaysia’ dalam Suffian M., Lee H.P. dan Triandle F.A. (eds), The Constitutional of Malaysia: Its Development, 1957-1977 (Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1987) 123-135.
Rashid M.F., REFSA Briefing Paper 5 – Reformasi Parlimen: Tinjauan Tiga Tahun Penubuhan Kamar Khas di Malaysia (Kuala Lumpur, REFSA, 2020).
Von Vorys K., Democracy without consensus (Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1976).
Weiss M.L., The Roots of Resilience: Party machines and grassroots politics in Singapore and Malaysia (Singapore, National University of Singapore (NUS), 2020) 108.
______Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia (California, Stanford University Press, 2006)
Winetrobe, B. K., Aspects of Parliamentary Reform. Research Paper 97/64, House of Commons Library, (1997)
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!