

Saya mengalu-alukan komitmen pelaburan ke Johor yang tinggi seperti yang dijelaskan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Negeri Johor pagi ini.
Kami daripada pihak pembangkang berharap komitmen laburan ini dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.
Kerajaan Negeri Johor memainkan peranan yang penting sekali untuk memastikan kejayaan dan kelancaran projek-projek pelaburan.
Kerajaan Negeri Johor perlu ada matlamat yang jelas iaitu untuk memakmurkan Bangsa Johor dalam proses ini dan bukan sahaja semata-mata untuk memanfaatkan pelabur.
Maka, saya memohon kepada Kerajaan Negeri untuk memaklumkan Dewan Negeri dalam sidang yang akan datang berkenaan kesan pelaburan baharu terhadap kegunaan elektrik dan air di negeri Johor.
Kami mengalu-alukan jaminan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz bahawa Johor mempunyai kapasiti yang mencukupi dari segi bekalan elektrik dan air untuk menampung kegunaan yang meningkat berikutan projek-projek pelaburan yang baharu. Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah untuk memastikan sektor-sektor tertentu seperti data centre yang memerlukan sumber elektrik dan air yang banyak tidak akan menjejaskan bekalan elektrik dan air kepada rakyat Johor. Kami minta agar Kerajaan Negeri memberi maklumat dan data berkenaan secara terperinci.
Penilaian yang sewajarnya juga perlu dijalankan untuk memastikan pelaburan yang diterima menghasilkan manfaat kepada rakyat Johor dari segi penjanaan peluang pekerjaan dengan gaji berpatutan.
Dengan pertambahan peluang pekerjaan dengan gaji berpatutan, adalah diharapkan agar rakyat Johor tidak perlu lagi ulang alik bekerja di Singapura. Ulasan lanjutan Kerajaan Negeri tentang aspek ini masih kekurangan.
Penilaian kesan pelaburan baharu terhadap syarikat dan industri sedia ada juga penting. Adakah pelaburan baharu akan bersaing dengan syarikat dan industri sedia ada dari segi tenaga pekerja tempatan? Syarikat dan industri sedia ada kini perlu bersaing dengan pasaran pekerjaan di Singapura yang membayar gaji lebih tinggi dengan kadar tukaran SGD-MYR yang tinggi. Adakah pelaburan baharu akan menyebabkan masalah kekurangan pekerja tempatan di Johor bertambah teruk?
Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu syarikat dan industri sedia ada untuk menggunakan teknologi, automasi dan robotik supaya mereka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang berkemahiran dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang bergaji berpatutan untuk warga tempatan?
Liew Chin Tong
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022ยท
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022ยท
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besarย JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!