

Saya berharap agar usaha bersama boleh dilaksanakan bagi mewujudkan budaya politik baharu pasca PRU15. Saya ingin memberi maklum balas kepada cadangan Yang Berhormat Kukup berkenaan dengan kenaikan gaji Ahli Dewan Negeri. Bagi saya, lebih baik pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja bagi mencari penyelesaian yang akhirnya dibentangkan sebagai cadangan bersama.
Kita boleh mulakan dengan memberi peruntukan kepada Ahli-Ahli Dewan bagi tujuan melantik pegawai penyelidik bagi setiap Ahli Dewan di Dewan Negeri dan pegawai-pegawai yang menguruskan kerja-kerja di kawasan.
Kita perlu akui bahawa selama ini kita kurang menekankan peranan Ahli Dewan di peringkat Dewan Negeri kerana terlalu menumpukan kepada perkhidmatan di kawasan. Tetapi, peranan Ahli Dewan melalui jawatankuasa-jawatankuasa Dewan dan juga penglibatan dalam proses penggubalan undang-undang amat penting. Saya berharap Dewan yang mulia ini boleh memulakan perbincangan menetapkan kaedah memberi peruntukan untuk pegawai penyelidik bagi setiap Ahli Dewan dan elaun pegawai-pegawai di pusat khidmat masing-masing.
๐ญ. ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐๐ฏ๐ฎ๐ต๐ฎ๐ป ๐๐ธ๐น๐ถ๐บ ๐ฑ๐ฎ๐ป ๐๐ฎ๐ป๐ท๐ถ๐ฟ
Saya ingin menyentuh tentang lima perkara yang telah saya kemukakan berkenaan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Pertama, isu perubahan iklim dan banjir. Semasa sidang DUN pada bulan Jun, saya mendengar dengan teliti ucapan semua 40 orang Ahli Dewan Negeri. Seramai 39 orang daripada 40 Ahli Dewan menyentuh isu banjir. Ini bermakna isu banjir memberi kesan di semua kawasan sekitar Johor. Ini adalah isu bersama yang kita hadapi, bukan sahaja di Johor, tetapi seluruh Malaysia, dan ia memerlukan penyelesaian baharu.
Dalam Belanjawan 2023, kerajaan negeri memperuntukkan:
1. RM71 juta kepada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menguruskan banjir seperti kerja penggalian, mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir, dan sistem amaran banjir.
2. RM42 juta kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran.
3. RM700,000 bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutamanya di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir.
Tahniah kepada kerajaan negeri dan Datuk Menteri Besar atas perhatian dan peruntukan sebagai langkah mengatasi isu ini. Namun, saya melihat banyak perkara yang boleh ditambah baik, dengan izin more has to be done. Kita perlukan tumpuan dan iltizam politik kerajaan negeri agar isu banjir diberi keutamaan. Masalah banjir bukan sekadar isu infrastruktur, tetapi ia berkait rapat dengan masalah perubahan iklim. Setakat ini, belum ada penyelesaian holitistik daripada kerajaan negeri untuk mengambil kira perubahan iklim di setiap peringkat negeri.
Isu ini turut berkaitan dengan kebersihan. Pada 2 Julai lalu, Datuk Menteri Besar melancarkan Program Johor Bersih 100 hari. Ini adalah pendekatan yang betul dan saya menghargai usaha murni ini. Malangnya, setelah melepasi 100 hari, usaha untuk memastikan kebersihan longkang, parit dan sebagainya terhenti. Saya berharap agar kerajaan negeri melipatgandakan usaha dan meletakkan hala tuju jangka panjang yang jelas bagi program ini memandangkan usaha di peringkat tempatan tidak menunjukkan hasil seperti yang telah ditetapkan oleh Datuk Menteri Besar.
Untuk 100 hari akan datang, saya berharap Datuk Menteri Besar boleh menggerakkan setiap peringkat kerajaan agar sistem perparitan dan punca pencemaran dapat dibersihkan untuk membina Johor yang lebih bersih dan memberi kesan positif kepada usaha penebatan banjir.
๐ฎ. ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐๐บ๐ฎ๐ต๐ฎ๐ป
Kedua, isu perumahan. Datuk Menteri Besar telah mengumumkan banyak inisiatif tentang perumahan dalam Belanjawan 2023, namun ia hanya menjurus kepada agenda pemilikan rumah. Persoalannya, adakah semua rakyat mampu dan perlu memiliki rumah? Dengan izin, are we asking the right questions? Adakah kerajaan hanya mahu menyediakan rumah untuk pemilikan atau mewujudkan perumahan yang boleh disewa. Tidak dinafikan, Belanjawan 2023 Johor mempunyai program Rent-to-Own (RTO), tetapi kebanyakan inisiatif yang diumumkan menjurus kepada pemilikan rumah.
Ketika rakyat berhadapan dengan kadar faedah yang meningkat secara mendadak, pendapatan masih rendah, dan hutang isi rumah melebihi 90 peratus KDNK, kerajaan terus menggalakkan pembinaan rumah untuk pemilikan sedangkan ramai rakyat tidak mampu membeli rumah. Keadaan ini menyebabkan berlakunya krisis lebihan unit rumah atau glut yang serius di Johor. Banyak rumah tidak didiami walaupun sudah dimiliki (kerana dibeli untuk pelaburan dan bukannya untuk tinggal di sana), dan ada juga rumah yang tidak dijual masih dipegang oleh pemaju. Sedangkan, pada masa yang sama, ramai yang tidak mempunyai tempat tinggal yang selesa. Ini jelas bercanggah dengan hasrat kerajaan dalam dasar perumahan.
Tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi kedua-dua situasi ini, berlandaskan hala tuju dan pemahaman yang jelas tentang isu perumahan.
๐ฏ. ๐ฃ๐ฒ๐น๐ฎ๐ฏ๐๐ฟ๐ฎ๐ป ๐ฑ๐ฎ๐ป ๐ฃ๐ฒ๐ธ๐ฒ๐ฟ๐ท๐ฎ๐ฎ๐ป
Ketiga, saya ingin menyentuh tentang pelaburan dan pekerjaan dan secara amnya, ketahanan atau resilience ekonomi. Keadaan ekonomi dunia kini berhadapan dengan cabaran besar – Perang Rusia-Ukraine, inflasi global, kenaikan kadar faedah yang amat tinggi yang menandakan era kadar faedah rendah hanya menjadi kenangan, dan kelembapan ekonomi di negara-negara maju.
Situasi ini memberi kesan serius kepada rakyat. Namun, ia juga membuka peluang peningkatan pelaburan ke Malaysia dan Johor kerana fokus dahulu kepada China kini beralih ke Asia Tenggara berikutan konflik perdagangan Amerika Syarikat-China.
Seperti yang pernah saya bangkitkan dalam Dewan ini, Kerajaan Negeri perlu merangka dasar-dasar strategik menarik pelaburan dengan matlamat utamanya untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji setimpal kepada warga Malaysia.
Perkara ini penting kerana pemikiran dasar di peringkat Persekutuan dan Negeri terlalu menitikberatkan pertumbuhan angka pelaburan tanpa mengutamakan usaha mencipta peluang pekerjaan untuk warga tempatan. Ekosistem pelaburan sedia ada hanya mengambil jalan mudah dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah dengan alasan mengurangkan kos. Namun, cara ini mengakibatkan rakyat Malaysia terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mencari nafkah di Singapura, Australia, malah Kemboja. Ketidakseimbangan ini yang perlu diperbetulkan segera.
Bagaimana kita boleh mencipta peluang pekerjaan yang baik dengan gaji setimpal untuk warga Malaysia supaya mereka tidak lagi berulang-alik bekerja di Singapura? Kerajaan perlu mempunyai dasar dan rancangan jangka panjang untuk mewujudkan pekerjaan yang membayar gaji sekurang-kurangnya dua pertiga gaji daripada pekerja di Singapura. Saya faham bahawa ianya tidak akan berlaku dalam sekelip mata sahaja. Untuk menjayakan dasar ini, kita memerlukan perubahan model ekonomi negara. Buat masa ini, kita terlalu bergantung kepada buruh asing. Kita perlu beralih ke arah model ekonomi yang mengutamakan pekerja Malaysia yang berkemahiran tinggi.
๐ฐ. ๐ฃ๐ฒ๐ป๐ด๐ฎ๐ป๐ด๐ธ๐๐๐ฎ๐ป ๐๐๐ฎ๐บ
Keempat, isu pengangkutan awam. Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2023, kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk menambah baik perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ).
Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri kerana memperuntukkan RM28.7 juta bagi BMJ di 72 laluan. Ini merupakan inisiatif yang baik dan saya berharap tumpuan serta peruntukan yang lebih tinggi diberikan kepada usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam di Johor. Kerajaan Negeri harus mempunyai visi yang jelas dalam proses perancangan pengangkutan awam ini.
Saya minta penjelasan Datuk Menteri Besar semasa sesi penggulungan nanti, tentang projek Bus Rapid di bawah Iskandar Regional Development Authority (IRDA), projek Transit Aliran Ringan (LRT), dan status dan tahap pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Dalam pertemuan saya dengan pihak IRDA, saya dimaklumkan bahawa matlamat projek Transit Aliran Bas (BRT) adalah untuk mengalih 15% pengguna kenderaan persendirian kepada pengguna pengangkutan awam (model shift). Unjuran 15% ini terlalu kecil bagi kawasan di sekitar Greater Johor Bahru yang beralih menggunakan pengangkutan awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sepatutnya, Kerajaan Negeri dan Datuk Menteri Besar perlu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga Johor supaya sekurang-kurangnya 50% penduduk Greater Johor Bahru tidak lagi memerlukan kereta atau motosikal, dan beralih kepada pengangkutan awam dalam tempoh 10 tahun. Matlamat ini tidak mustahil kerana ramai rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura memang menggunakan pengangkutan awam. Saya berharap perkara ini boleh dijadikan penanda aras Datuk Menteri Besar dalam visi perancangan pengangkutan awam beliau.
Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga perlu menambahbaik sistem pengangkutan awam di kawasan-kawasan lain seperti Muar, Kluang dan Segamat. Cabaran utama kerajaan Persekutuan adalah untuk menampung perbelanjaan subsidi minyak yang semakin meningkat. Untuk tempoh jangka panjang, kerajaan harus meningkatkan subsidi pengangkutan awam berbanding subsidi minyak. Namun, perkara ini harus dilaksanakan secara berkala.
Kerajaan perlu memastikan pengangkutan awam yang selesa, berkesan dan murah supaya mereka yang berada di B50 (bottom 50%) boleh menggunakan pengangkutan awam dan tidak perlu menggunakan kereta peribadi, seterusnya dapat mengurangkan subsidi minyak.
๐ฑ. ๐๐ฟ๐ฒ๐ฎ๐๐ฒ๐ฟ ๐๐ผ๐ต๐ผ๐ฟ ๐๐ฎ๐ต๐ฟ๐
Saya menyambut baik Konsep Greater Johor Bahru (JB) ini dan menyeru agar konsep ini dilaksanakan dengan segera. Penyelarasan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Greater JB sangat penting. Sebagai contoh, Johor Pay yang dicadangkan merupakan inisiatif yang baik tetapi adakah aplikasi ini akan diguna pakai oleh semua pihak sebagai langkah untuk mengintegrasikan sistem parkir di Greater JB memandangkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mempunyai sistem parkir, kupon dan e-pay yang berasingan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Jika kerajaan negeri benar-benar ingin mewujudkan Greater JB berstatus metropolitan, sekurang-kurangnya sistem parkir, termasuk kaedah pembayaran, perlu diselaraskan di samping menambah baik sistem pengangkutan awam, perancangan bandar, perumahan, infrastruktur 5G, landskap, kebersihan, budaya dan identiti bandar.
Untuk menjayakan agenda menjadikan Greater JB bandar metropolitan kedua di Malaysia, saya berpendapat semua wakil rakyat dalam kawasan Greater JB perlu dilibatkan. Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada Johor Bahru sebagai kota metropolitan yang berbeza dengan ibu negeri yang lain kerana kedudukannya yang unik. Kerajaan Negeri pula perlu membuktikan Greater JB akan membangun dan menjana pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat demi kesejahteraan Bangsa Johor dan rakyat seluruh negara.
Dengan kata-kata itu, saya mengucapkan terima kasih dan berharap kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang di Johor beralih kepada era dan suasana politik baharu demi mewujudkan sistem Dewan Negeri yang lebih demokratik atas semangat kerjasama dwipartisan, bukan sekadar simbolik semata-mata.
(Ini adalah bahagian kedua ucapan perbahasan Belanjawan Johor 2023 saya di Dewan Negeri Johor.)
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022ยท
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022ยท
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besarย JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!