
Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia.
Tidak lebih 20 pegawai kanan tentera berpangkat kolonel atau brigadier jeneral dipilih untuk menyertai kursus selama setahun yang bertujuan menjadikan mereka pemikir strategik dalam isu-isu nasional dan antarabangsa. Matlamatnya adalah untuk melahirkan negarawan.
Kursus tahun ini turut dibuka kepada pegawai tinggi sektor awam dan swasta.
Ini merupakan kali ketiga saya berucap di MKN. Kali pertama adalah ketika program ini bermula pada 2019 sewaktu saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan. Kali kedua pula ialah pada Januari 2021.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Komandan MKN, Mejar Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan mantan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang sudi mengundang saya pada 2021 walaupun ketika itu saya berada dalam blok pembangkang. Jemputan itu dibuat atas kapasiti saya untuk membicarakan tentang Kertas Putih Pertahanan yang saya turut membantu menyediakannya.
Saya berharap untuk tahun-tahun akan datang, lebih banyak pemimpin, sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, dapat menumpukan masa memahami isu-isu pertahanan. Ini akan membolehkan kita membentuk pendekatan berasaskan dwi-partisan yang merangkumi konsensus keseluruhan kerajaan dan keseluruhan negara berhubung isu pertahanan negara.
Di MKN semalam, saya berucap mengenai keselamatan ekonomi Malaysia dalam era geopolitik yang tidak menentu. Sejak lebih setengah abad, kecekapan ekonomi dianggap sebagai perkara paling penting dalam kefahaman tentang ekonomi. Bagaimanapun, apabila dunia menghadapi cabaran pandemik, perang dan ketegangan geopolitik, ketidakstabilan kewangan dan krisis iklim, keselamatan ekonomi kini muncul sebagai faktor utama.

Persoalan tentang keselamatan ekonomi bersifat pelbagai dimensi. Saya menyentuh tentang tiga dimensi yang mempunyai kaitan rapat dengan Malaysia.
Pertama, oleh kerana semakin ramai rakyat Malaysia terhimpit dengan tekanan ekonomi, kita perlu memastikan kejayaan Ekonomi Madani untuk melahirkan masyarakat kelas menengah untuk menjamin kestabilan masyarakat kita.
Kedua, dari sudut geoekonomi, Malaysia akan mendapat manfaat daripada persaingan Amerika Syarikat-China yang bakal menentukan corak pemikiran dan tindakan penggiat-penggiat global dalam masa yang terdekat ini. Bagaimanapun, kita perlu terus berusaha untuk membentuk dan meluaskan ruang dasar luar kita bagi memastikan Malaysia mempunyai suara untuk melayari dunia yang sengit persaingannya.
Ketiga, sektor pertahanan Malaysia dapat memberi manfaat kepada ekonomi negara jika kita dapat membina industri pertahanan dan keselamatan yang berasaskan inovasi. Ia bukan bermakna kita perlu menghasilkan segala-galanya untuk keperluan Malaysia semata-mata kerana pasaran tempatan kita terlalu kecil manakala belanjawan pertahanan pula tidak cukup besar. Ia sebenarnya bagi membina kepakaran dan kemahiran khusus dalam bidang-bidang tertentu yang turut membuka ruang untuk pakar-pakar awam kita di samping bagi meningkatkan tahap penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh negara.
Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan kepada MKN dan Angkatan Tentera Malaysia.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·