Ucapan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2023

Bagi pihak DAP Negeri Johor, patik merafak sembah tahniah atas pemilihan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 mulai tahun hadapan.

Sukacita kita berhimpun di Kluang hari ini setelah kian lama. Jarang kita mengadakan konvensyen negeri di sini walaupun Kluang adalah salah satu kawasan yang paling penting bagi DAP Johor. Antara cawangan DAP yang terawal ditubuhkan pada tahun 1967 terletak di Kluang. Pengundi Bandar Kluang juga memilih satu-satunya Ahli Dewan Negeri DAP pada PRU tahun 1969, 1974 dan 1978, dan Ahli Parlimen DAP pada PRU 1978, iaitu mantan Pengerusi DAP Johor Sdr Lee Kaw. Jasa Sdr Lee Kaw dikenangi kita semua. Saya juga terhutang budi kepada warga Kluang yang memilih saya pada PRU 2013.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung Sdr Anthony Loke dan seluruh perwakilan yang sudi berhimpun pada hari, buat kali kedua pada tahun yang sama.

Konvensyen tahunan DAP Johor 2022 ditangguhkan beberapa kali kerana pilihan raya umum pada bulan November tahun lepas, diikuti dengan banjir besar pada bulan Mac tahun ini, sebelum berjaya diadakan pada 7 Mei yang lalu. Konvensyen tahunan DAP Johor bagi tahun 2023 diadakan pada hari ini selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.

Penghormatan kepada Allahyarham Salahuddin Ayub

Amat dukacita bahawa beberapa bulan di antara dua konvensyen DAP tahun ini, kita telah kehilangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, seorang rakan seperjuangan yang begitu akrab dan setiakawan. Saya mula mengenali Allahyarham selepas saya dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008. Pada masa itu, arwah adalah Ahli Parlimen Kubang Kerian manakala saya mewakili Parlimen Bukit Bendera. Pada PRU 2013, Salahuddin bersama Sdr Tan Sri Lim Kit Siang, Sdri Teo Nie Ching dan saya bertanding di Johor dengan impian untuk menjadikan Pakatan sebuah blok utama dalam politik Johor. Walaupun percubaannya untuk menawan Parlimen Pulai gagal, Allahyarham tidak berputus asa, dan akhirnya menang pada tahun 2018 dan 2022, dan pada kedua-dua tempoh itu telah dilantik sebagai Menteri. Saya juga berkhidmat bersama Salahuddin sebagai ADUN Perling di bawah kawasan Parlimen Pulai. Sumbangan Allahyarham demi mengubah landskap politik Johor akan terus dikenang.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada semua pemimpin, petugas dan sukarelawan, serta semua pengundi yang menjayakan calon-calon Pakatan Harapan di pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September.

Kedua-dua PRK tersebut, bersama PRK Pelangai di Pahang, membawa beberapa isyarat penting kepada politik kebangsaan:

Formula tebuk atap Perikatan Nasional tidak lagi relevan

Isyarat pertama, pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos telah menunjukkan bahawa Perikatan Nasional telah sampai ke “kemuncak”nya. Keputusan PRN di enam negeri adalah tahap maksimum yang mampu dicapai oleh PN yang hanya bermain dengan emosi kaum dan agama. Formula PN untuk meraih undi menggunakan retorik bahawa komplot Sheraton akan berlaku lagi sekali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai Perdana Menteri tidak berhasil. PRK Pulai dan Simpang Jeram sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan Perikatan Nasional hanya terhad di negeri-negeri Utara Semenanjung.

Sejak PRN dan PRK ini, adalah jelas bahawa Bersatu semakin lemah dan besar kemungkinannya akan dipinggirkan oleh PAS. Jelas untuk semua juga bahawa Muhyiddin tidak akan jadi PM lagi dan Bersatu tidak lagi relevan. Yang relevan adalah parti PAS.

PAS menguasai politik di negeri-negeri Utara tetapi jika PAS ingin bersaing di seluruh negara, PAS perlu bersedia untuk menjadi parti untuk semua kaum dan agama dengan menghormati semua pihak.

Setahun selepas PRU ke-15, sudah tiba masanya pembangkang hari ini memeterai Memorandum Persefahaman atau Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan Kerajaan Perpaduan seperti apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dengan Kerajaan Dato’ Seri Ismail Sabri pada September 2021. Pembangkang hari ini perlu memikul peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan bukan lagi kumpulan yang hanya berminat tebuk atap. Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan akan mentadbir sehingga tamatnya penggal ke-15, dan bersiap sedia untuk bersaing dalam PRU ke-16.

Pada masa yang sama, saya mengucapkan tahniah kepada saudara dan saudari yang menjayakan calon-calon Perpaduan di Pulai dan Simpang Jeram. Ini adalah mesej yang cukup jelas kepada seluruh negara bahawa Johor menolak Perikatan Nasional. Politik negara semakin stabil sejak bulan September dan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terus memperkenalkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Hubungan Pakatan Harapan-UMNO di Johor

Amat jelas bahawa PRK Pulai dan Simpang Jeram telah mengeratkan perhubungan dan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Johor. Ini merupakan isyarat kedua. Salah satu faktor utama yang memenangkan Pakatan Harapan di kedua-dua kerusi ini adalah kerana Menteri Besar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan jentera UMNO Johor bertungkus lumus berkempen seolah-olah UMNO sendiri yang bertanding. Kepada pimpinan dan akar umbi UMNO yang menjayakan calon-calon di Pulai dan Simpang Jeram, terima kasih saya ucapkan.

Sehubungan dengan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Onn Hafiz yang dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor beberapa hari yang lalu. Diharapkan kepimpinan beliau dalam Kerajaan Negeri dan UMNO Johor dapat mentransformasikan politik dan ekonomi Johor pada era baharu ini.

Pakatan Harapan mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh Dato’ Onn Hafiz. Kerjasama kita berasaskan dua prinsip, iaitu:

  • Pertama, oleh kerana kita berada dalam kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan, sudah tentu baik untuk kita bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor yang diterajui oleh Barisan Nasional yang juga rakan komponen dalam Kerajaan Persekutuan; dan
  • Kedua, dalam hal-hal di mana pihak Kerajaan Negeri telah memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk menyumbang idea demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat, usul-usul atau rundingan-rundingan tersebut akan kita memberi sokongan secara rasmi.

Diharapkan bahawa hubungan yang baik ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya apabila kita sampai ke hujung penggal Dewan Negeri Johor, iaitu paling lewat pada April 2027, Pakatan Harapan dan UMNO dapat menggembleng tenaga untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang sebagai rakan seperjuangan.

Ini bukan sesuatu yang mudah dan memang ada penyokong kedua-dua pihak yang tidak setuju dengan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa seperti apa yang telah dibuktikan dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, kesatuan Pakatan Harapan dan UMNO adalah formula untuk mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan. Kini 24 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor dipegang oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Melalui keikhlasan, kesabaran dan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan UMNO Johor serta Kerajaan Negeri yang diterajui Barisan Nasional, Johor akan terus maju sebagai sebuah negeri sejahtera dan makmur milik bersama Bangsa Johor.

Bangsa Johor asas perpaduan

Isyarat ketiga daripada Johor ialah politik sederhana dan centrist yang sesuai untuk Johor patut dijadikan asas perpaduan di peringkat kebangsaan. Gagasan “Bangsa Johor” yang dikemukakan oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada tahun 1920-an masih relevan dengan implikasi kebangsaan. Mana-mana gabungan politik yang berhasrat untuk memegang tampuk kuasa Kerajaan Malaysia dan mengekalkan kestabilan masyarakat perlu memenangi undi merentas semua kaum dan mendapat sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Bangsa Johor yang merangkumi semua kaum adalah idea yang boleh dijadikan asas perpaduan negara, dan juga idea yang boleh dijadikan asas Kerajaan Perpaduan. Setelah lama negara kita dilanda dengan retorik yang berasaskan kaum atau agama, ada orang tidak rasa selesa dengan idea kepelbagaian kaum. Matlamat kita adalah untuk melahirkan masyarakat yang berasaskan Bangsa Malaysia. Kita semua perlu bersatu dan menolak idea perkauman yang memecahbelahkan masyarakat. Perbezaan etnik, bahasa dan agama kita harus diraikan sebagai khazanah negara, dan bukannya alat untuk memusuhi sesama sendiri.

Prinsip politik kita adalah berasaskan harapan dan bukannya “politik ketakutan”. Dalam perjuangan politik kita, kita beraspirasi untuk membina Malaysia yang lebih sejahtera dan lebih maju. Kita menolak politik yang berasaskan kebencian. Saya yakin suatu hari nanti, kita akan dapat mengatasi gejala politik benci, dan dapat bekerjasama atas dasar saling memahami antara satu sama lain.

Demokrasi sosial dan lonjakan ekonomi kedua

Sekarang, apakah yang kita harapkan setelah wujudnya kestabilan politik di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Pendirian DAP dalam usaha mengangkat Johor ke persada dunia adalah selaras dengan aspirasi Malaysia yang berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang berwibawa dan bermaruah. Impian kita adalah untuk melihat:

  • Malaysia menjadi sebuah kuasa pertengahan yang berkecuali di rantau Asia Tenggara.
  • Malaysia menjadi sebuah negara yang berkedudukan tengah/pertengahan dalam rangkaian bekalan global.
  • Malaysia bercita-cita mewujudkan masyarakat kelas pertengahan yang kukuh di mana majoriti rakyat mempunyai pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal.

Dunia perlu melihat keunikan identiti Bangsa Malaysia yang dibentuk mengikut sejarah dan pengalaman hidup di negara ini. Dan ini perlu dihormati semua pihak.

Semasa Persidangan kebangsaan parti pada 10 September, Sdr Anthony Loke berhujah bahawa pemikiran DAP adalah berasaskan demokrasi sosial atau social democracy yang mementingkan demokrasi politik dan demokrasi ekonomi. Demokrasi sosial mengutamakan ekonomi untuk semua. Ini bermakna ekonomi perlu ditangani dan diurus dengan baik manakala usaha menarik pelaburan perlu memastikan penjanaan pekerjaan yang berkualiti dengan gaji yang setimpal, dan ia juga perlu mengutamakan transisi hijau dengan infrastruktur mesra alam.

Paradigma ekonomi kita memerlukan lonjakan baharu terutamanya dalam konteks gaji. Gaji pertengahan (median wage) Malaysia pada 2022 adalah RM2,424 sebulan dan gaji pertengahan sektor pembuatan (manufacturing median wage) adalah RM2,205 sebulan. Oleh itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mempunyai sasaran untuk meningkatkan gaji pertengahan sektor pembuatan dengan kadar pertumbuhan 9 peratus setahun kepada RM4,510 sebulan menjelang tahun 2030.

Untuk warga Johor, sekiranya ada peluang pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, sudah tentu ramai tidak akan menjadi pekerja warga asing di Singapura. Pada tahun-tahun yang akan datang, apabila sudah tidak ramai lagi warganegara Malaysia melintas masuk ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh atau pekerja bergaji rendah, itulah petanda kejayaan pemulihan dan kemajuan ekonomi Malaysia dan Johor.

Untuk tahun 2024 dan seterusnya, kita berpeluang untuk sama-sama membangunkan Malaysia kembali. Dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan, kita mampu membina perpaduan rakyat serta berpeluang untuk melonjakkan ekonomi Malaysia buat kali kedua sejak 1990-an demi kemakmuran dan kesejahteraan kita bersama. Dan, diharapkan semua ini, bermula di Johor. Sekian, terima kasih.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Kekuatan dan Cabaran Transformasi Ekonomi Malaysia

Dalam ucapan di Forum Perniagaan Asia HSBC hari ini, saya telah menyampaikan beberapa perkara penting untuk transformasi ekonomi Malaysia: 𝗞𝗲𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗴𝗲𝗼𝗴𝗿𝗮𝗳𝗶 Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi perairan penting…
Baca Lagi