Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu.

Momen Tun Razak

Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, telah membawa orang kampung ke bandar, anak-anak Melayu ke universiti, dan anak-anak muda Melayu mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka sebelumnya. Menjelang dekad 1990-an, masyarakat kelas pertengahan Melayu mula mengukuh. Golongan inilah yang menjadi tonggak sokongan kepada UMNO sebagai tanda terima kasih kerana membolehkan mereka hidup lebih selesa. Situasi ini berterusan sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu dipecat pada 1998. Namun, ramai terus menyokong UMNO atas sebab yang sama sehingga pilihan raya umum 2018 apabila berlaku peralihan kuasa kerajaan pusat.

Jika kita mengimbas kembali ciri-ciri utama dalam legasi pentadbiran Tun Razak, saya rasa ciri yang penting adalah kemampuannya mewujudkan mobiliti sosial untuk generasi baby boomers Melayu. Maksudnya, selepas Perang Dunia Kedua (1939-45), dunia kembali aman dan ketika itu ramai orang mula berkeluarga. Anak-anak yang dilahirkan inilah yang digelar baby boomers. Menjelang pertengahan dekad 1960-an, kebanyakan baby boomers ini yang sudah berusia di antara 20 dan 25 tahun menghadapi masalah pengangguran. Masalah ini berlarutan sehingga akhir dekad tersebut serta menimbulkan krisis sosial yang meruncing.

Apabila DEB diwujudkan, ia melahirkan satu keadaan yang mewujudkan semangat mobiliti sosial, iaitu orang Melayu mula berasa bahawa “tahun hadapan akan lebih baik daripada tahun ini, dan generasi akan datang akan mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada sekarang”. Inilah semangat mobiliti sosial yang perlu kita gerakkan sekarang. Inilah yang saya maksudkan sebagai Momen Tun Razak – untuk mengembalikan semangat bahawa kita boleh menjadikan Malaysia lebih baik.

Mengurangkan racial profiling

Sebenarnya, persepsi bahawa semua orang Cina kaya manakala semua orang Melayu miskin tidak semestinya benar. Saya datang daripada keluarga miskin. Ayah saya merupakan seorang pemandu teksi dan bas mini. Beliau juga pernah berniaga secara MLM. Kehidupan keluarga kami seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerana itu saya sentiasa ada rasa empati terhadap penghantar makanan kerana mereka mengingatkan saya kepada ayah saya yang gigih berusaha menyara keluarganya.

Bagi saya, titik persamaan antara kaum dari segi ekonomi perlu bermula dari bawah bagi membolehkan kita membina kehidupan yang lebih terjamin untuk golongan rakyat majoriti, terutamanya Bumiputera. Malah, bukan lelaki sahaja, kita juga mesti memastikan wanita Bumiputera yang berpendidikan tinggi mendapat pekerjaan berkualiti sepenuh masa dengan menyediakan kemudahan penjagaan anak dan penjagaan orang tua (ibu bapa) dengan mencukupi.

Kita juga perlu mengurangkan racial profiling supaya kita mendapat gambaran ekonomi yang lebih jelas dan tepat. Kita tidak boleh secara rambang mengatakan kaum ini kaya, kaum itu miskin kerana sentiasa ada jurang pendapatan dan kekayaan dalam kaum masing-masing. Kita perlu tahu siapa orang itu, bukan apa kaumnya, jika ingin tahu siapa kaya siapa miskin.

Pada masa yang sama, saya rasa kita terlalu banyak menumpukan kepada konsep keusahawanan dengan menggalakkan orang supaya menjadi usahawan. Sedangkan kebanyakan golongan berpendapatan rendah menceburkan diri ke dalam bidang perniagaan adalah kerana pekerjaan di Malaysia menawarkan gaji yang rendah.

Saya yakin apabila wujud keadaan di mana ada ramai pekerja kelas menengah, barulah usahawan yang benar-benar ada kemahiran keusahawan dan kewibaan akan dapat menjayakan perniagaan masing-masing. Bukan kerana mereka terpaksa menjadi peniaga disebabkan pekerjaan makan gaji menawarkan gaji yang rendah.

Lonjakan ekonomi kedua

Kita berada pada detik yang penting untuk lonjakan kedua ekonomi Malaysia. Persaingan di antara China dan Amerika Syarikat menyebabkan pelaburan masuk ke Asia Tenggara. Apabila pelabur membuat perhitungan, mereka tahu Malaysia mempunyai logistik yang baik, kerangka Common Law yang adil, dan banyak pekerja fasih dalam beberapa bahasa di samping cukup berpendidikan. Ini merupakan peluang untuk Malaysia membuat lonjakan kedua. Lonjakan pertama telah berjaya dibuat pada awal dekad 1990-an apabila pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, gaji yang dibayar, dan peningkatan taraf hidup rakyat berada dalam suasana positif.

Kini, dengan kestabilan politik, dasar ekonomi berpandangan jauh, dan transisi hijau, kita mempunyai peluang keemasan untuk melonjakkan ekonomi negara buat kali kedua. Dengan peluang ini, kita boleh mengembangkan kek ekonomi dan menetapkan sasaran yang lebih tinggi.

Pada awal dekad 1990-an, apabila pelabur memikirkan tentang teknologi di Asia, mereka menyenaraikan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia sebagai sasaran untuk pelaburan. Sekarang kedudukan kita masih di tengah. Dari segi perkhidmatan teknologi, kita tidak berada terlalu jauh di belakang Singapura. Malah, kita mampu menyediakan perkhidmatan yang sama walaupun kurang efisyen.

Pada masa yang sama kita tidak perlu bersaing dengan Vietnam dan Indonesia untuk merebut pelaburan kerana kekuatan kita telah meletakkan Malaysia tidak kurang daripada kemampuan Singapura. Mungkin lebih baik jika kita boleh mewujudkan kerjasama melalui vertical integration dengan Vietnam dan Indonesia.

Contohnya, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Indonesia pada tahun lalu, dalam satu sesi dialog, beliau ditanya oleh usahawan Indonesia: “Mengapa datang ke Indonesia untuk berbincang tentang Malaysia mahu membawa masuk pekerja Indonesia. Mengapa tidak melabur di Indonesia sahaja?” Soalan itu bermaksud untuk bertanya kenapa Malaysia tidak mempunyai jalinan dan integrasi serantau yang lebih erat dengan Indonesia supaya kita boleh memberi nilai yang lebih tinggi untuk membantu jiran dalam vertical integration yang lebih baik.

Jika kita mahu bersaing dengan negara jiran dari segi kos misalnya, kita terpaksa membayar gaji rendah untuk pekerja kita di Malaysia. Apabila kita tekan gaji ke tahap yang rendah, rakyat kita yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran akan berhijrah ke negara lain. Sekarang ada 1.3 juta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Kebanyakan mereka bekerja di bidang yang tidak memerlukan kemahiran tinggi, termasuk menjadi buruh. Kenapa mereka tidak menjadi buruh di sini tetapi sanggup menjadi buruh di Singapura? Kerana gaji yang dibayar di Malaysia terlalu rendah.

Pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal

Dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kerajaan telah menyasarkan bidang pembuatan (manufacturing) pada tahun 2030 untuk menawarkan gaji median pada tahap RM4,510 sebulan. Pada 2022, gaji median sektor ini adalah RM1,910 dan meningkat kepada RM2,205 pada 2023.

Apa maksudnya ini? Di seluruh dunia, lazimnya bidang pembuatan membayar gaji paling tinggi kerana ia merupakan sektor yang memerlukan kemahiran. Tetapi keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana kita membenarkan terlalu ramai pekerja asing yang tiada kemahiran masuk ke dalam sektor pembuatan. Ini menyebabkan usahawan dan pemilik kilang tiada insentif untuk menaikkan taraf operasi kepada automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja tidak mahir. Sebaliknya mereka terus menggajikan pekerja asing dengan upah yang kecil.

Kita memerlukan satu anjakan paradigma supaya anak muda kita berasa bangga bekerja di negara sendiri dengan mendapat gaji yang berpatutan. Kerana itulah kita perlu mewujudkan kelas pertengahan. Jika ekonomi kita gagal menjana pekerjaan yang membayar gaji setimpal, dalam 20 hingga 30 tahun akan datang, kita akan menghadapi krisis sosial yang besar.

Idea mewujudkan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang mempunyai tiga teras – keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat – seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 semalam (29 Februari 2024) – perlu memastikan semua rakyat di Malaysia dapat hidup dengan rasa terjamin, selamat dan selesa.

Tiga teras idea ini memang selaras dengan rangka kerja Ekonomi Madani yang dibawakan oleh Datuk Seri Anwar untuk “raise the floor, raise the ceiling” – meningkatkan taraf hidup rakyat, memajukan ekonomi. Ini adalah penting kerana apabila rakyat berasa risau, takut dan hilang keyakinan, ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan politik negara.

Kita perlu mencari titik persamaan supaya masyarakat majoriti hari ini – golongan miskin, kaum pekerja dan kelas pertengahan – dapat bersama-sama membina sebuah masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh dan besar. Kita perlu menolak persepsi atau stereotaip lama jika kita mahu membina sebuah ekonomi yang dapat memberi kehidupan yang lebih terjamin, selamat, selesa dan makmur untuk setiap warga Malaysia.

*Topik-topik perbincangan dalam ucapan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada sesi Diskusi Madani: Aspirasi Perpaduan Mempekukuhkan Agenda Bumiputera di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, Putrajaya pada 29 Februari 2024

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengukuhkan Kerjasama Ekonomi ASEAN Melalui RCEP

Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) merupakan perjanjian perdagangan yang terbesar di dunia. Ia merangkumi banyak negara, termasuk angota-anggota ASEAN bersama dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Untuk mewujudkan RCEP, ia…
Baca Lagi

Perlu Anjakan Paradigma untuk Jayakan JS-SEZ

Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang telah merasmikan sidang Dewan Negeri Johor. Tunku menitahkan “adalah menjadi keutamaan saya untuk…
Baca Lagi

Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu. Momen Tun Razak Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua,…
Baca Lagi