Perlu Anjakan Paradigma untuk Jayakan JS-SEZ

Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang telah merasmikan sidang Dewan Negeri Johor.

Tunku menitahkan “adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja mereka, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor serta akses kepada kemudahan asas dan kemudahan kesihatan yang baik”.

Ini sebenarnya matlamat yang kita semua akur dan perlu dijadikan sasaran bagi meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor.

Pada sidang Dewan Negeri Johor hari ini (12 Mei 2024), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah menjadi topik utama perbahasan. Banyak soalan dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri, dan Menteri Besar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi pula mengambil masa sejam untuk memberi penjelasan yang bernas kepada Dewan atas perkara ini.

Apa yang boleh kita pelajari daripada Shenzhen?

Untuk memahami idea SEZ, kita perlu mengetahui tentang Shenzhen di China.

Kerajaan Negeri Johor dan Menteri Besar telah memilih Shenzhen sebagai rujukan apabila merangka dasar dan rangka kerja berhubung dengan JS-SEZ. Ini adalah contoh yang tepat, dan saya gembira kerana saya dan Menteri Besar telah mengetuai rombongan lawatan sambil belajar ke Shenzhen – secara berasingan – masing-masing pada Mac dan April lalu untuk memahami bagaimana sebuah kampung nelayan dalam masa 45 tahun boleh menjelma menjadi sebuah bandaraya global yang kini terkenal sebagai hab teknologi tinggi.

Ada dua fasa penting dalam pembangunan Shenzhen. Fasa pertama pada 1980 hingga 1990-an menjadikannya sebuah bandar zon ekonomi khas yang menyediakan khidmat kepada ekonomi Hong Kong. Melalui rombakan perancangan pada 1996, kerajaan China memutuskan untuk tidak lagi “meniru” model ekonomi Hong Kong, sebaliknya mengambil jalan lain.

Sehingga kini, Hong Kong masih lagi merupakan hab kewangan yang menumpukan kepada perkhidmatan kewangan di mana ekonominya sangat dipengaruhi kepentingan beberapa taikun hartanah. Perkhidmatan kewangan menyumbangkan 23.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Hong Kong tetapi ia hanya mampu menjana 7.5% tenaga kerja. Ketidakseimbangan ini merupakan masalah ekonomi Hong Kong.

Sebaliknya, Shenzhen melalui fasa keduanya telah menetapkan inovasi dan teknologi sebagai paksi strateginya. Kini KDNK Shenzhen jauh lebih besar daripada KDNK Hong Kong dan Malaysia.

Di wilayah Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006, terlalu banyak aktiviti melibatkan hartanah di sana. Kita sepatutnya mengambil iktibar agar JS-SEZ yang baharu ini tidak menjadi satu lagi medan spekulasi hartanah. Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Besar kerana iltizam beliau untuk mengawal spekulasi hartanah di JS-SEZ.

Saya berharap JS-SEZ yang juga digelar Greater Johor Bahru boleh menjadi enjin ekonomi negara serta sebuah kota metropolitan seperti Busan kepada Korea Selatan, Osaka kepada Jepun, dan Melbourne kepada Australia. Dengan kata lain, Greater Johor Bahru berpeluang untuk menjadi pusat ekonomi kedua negara, selepas Kuala Lumpur/Putrajaya.

Kita ingin melihat suatu hari nanti syarikat-syarikat besar tempatan dan antarabangsa memilih Greater Johor Bahru sebagai ibu pejabat mereka di mana keputusan-keputusan perniagaan yang penting boleh mereka bincang dan putuskan di sini.

Zon ekonomi khas, sejauh mana istimewanya?

Sewaktu berkongsi tentang pengalaman Shenzhen, Menteri Besar telah memetik satu ungkapan Cina “特事特办” yang membawa maksud bahawa apabila berada dalam keadaan istimewa, keistimewaan perlu diberikan. Bagi saya, ini bermakna kita juga perlu berfikir di luar kotak dalam usaha menjayakan JS-SEZ.

Saya merujuk kepada dua bahagian titah Pemangku Sultan Johor, iaitu:

“Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah negeri Johor menjadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus-silibus di sekolah-sekolah di Johor.”

dan

 “Setiap rakyat Johor berhak menikmati kemudahan kesihatan yang baik tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi mereka.”

Dengan kata lain, titah Baginda sangat relevan, iaitu Greater Johor Bahru perlu diberi ruang dan peluang untuk membuat eksperimen dan mencuba kaedah  serta pendekatan baharu bagi mencari solusi untuk kepentingan Bangsa Johor.

Contohnya, bidang penjagaan kesihatan. Biasanya, dalam amalan penjagaan kesihatan di Malaysia, hospital kerajaan mempunyai 30% sumber perubatan manusia, iaitu doktor, pegawai perubatan dan jururawat, dan 70% pesakit. Sebaliknya, hospital swasta pula mempunyai 30% pesakit dan 70% sumber perubatan manusia.

Sebagai metropolitan kedua terbesar selepas Lembah Klang, banyak rakyat Malaysia bertumpu di Greater Johor Bahru untuk memulakan kehidupan yang lebih baik bersama keluarga mereka. Ini bermakna keperluan perubatan dan penjagaan kesihatan mereka amat besar, dan kita tidak boleh lagi membuat keputusan dengan melihat Johor Bahru hanya sebagai salah sebuah ibu negeri sahaja. Kedudukannya sebagai sebuah kota metropolitan amat penting.

Salah satu keunikan Johor adalah Kerajaan Negeri memiliki hospital-hospital KPJ. Perlu ada kaedah untuk menjadikan hospital KPJ sebagai hospital sosial/awam yang dapat dijamin keseimbangan jumlah pesakit daripada hospital kerajaan agar terhasil situasi “win-win” di antara awam dan swasta.

JS-SEZ, ada apa dengan insentif?

Tiga isu utama tentang JS-SEZ adalah pergerakan manusia dan barangan/data, lokasi JS-SEZ, dan insentif. Dan kita sepatutnya menumpukan kepada isu insentif dalam usaha menerima pakai paradigma baharu serta tidak mengulangi kesilapan lama.

Berkenaan dengan pergerakan manusia dan barangan/data, Sdr Andrew Chen selaku Ketua Pengimbang dan ADUN Stulang, telah menjelaskan cadangan-cadangan bernas untuk menjayakan hal ini.

Tentang lokasi, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada Menteri Besar kerana telah mengumumkan bahawa JS-SEZ merangkumi Iskandar Malaysia dan Pengerang. Kita perlu menyokong keputusan ini kerana ia memberi ruang dan kawasan yang besar untuk menyusun pelbagai elemen.

Dengan saiz yang besar ini juga, kita perlu memastikan agar pelabur dan bakal pelabur tidak diumpan dengan cara lama, iaitu menawarkan pelbagai insentif. Sebaliknya, JS-SEZ patut menjadi medan di mana Malaysia memikir dan menyusun semula segala bentuk insentif kepada pelabur. Anjakan paradigma diperlukan dalam hal ini, dan JS-SEZ merupakan tapak eksperimen yang paling baik.

Bagi kebanyakan industri dan perniagaan, sebaik sahaja pergerakan manusia dan barangan di antara Johor dan Singapura berjalan lancar tanpa halangan, itu sudah menjadi insentif yang besar untuk mereka. Bayangkan masa yang dapat dijimatkan, dan masa amat penting dalam dunia perniagaan.

Sebenarnya kita tidak perlu menawarkan terlalu banyak insentif, terutamanya apabila menyedari suasana penyusunan semula rantaian bekalan global. Apabila syarikat-syarikat besar menyusun semula rantaian bekalan mereka, ada dua matlamat yang ingin mereka capai.

Pertama, mereka mahu rantaian bekalan “dibuat di China untuk China” dan satu lagi rantaian bekalan di luar China. Ini bermakna Asia Tenggara merupakan satu daripada pilihan utama bagi rantaian luar China.

Kedua, pengalaman pahit daripada krisis geopolitik, pandemik, dan gangguan iklim telah menyedarkan banyak syarikat besar bahawa mereka memerlukan rantaian bekalan yang lebih pendek serta selamat. Era pengeluaran “Just-in-Time” di mana syarikat tidak perlu mengeluar serta menyimpan stok kerana yakin pergerakan barangan sentiasa lancar sudah tiada lagi. Amalan sekarang adalah “Just-in-Case” atau “de-risking”, iaitu mengurangkan kemungkinan risiko.

Sebenarnya JS-SEZ tidak perlu menawarkan banyak insentif kepada pelabur asalkan dapat menjamin rantaian bekalan yang selamat untuk mereka. Keselamatan penting kepada pelabur. Yang dimaksudkan dengan keselamatan ini merangkumi kestabilan politik dan masyarakat, suasana sistem perundangan yang adil, tenaga kerja yang berpendidikan dan mampu bertutur dalam bahasa-bahasa antarabangsa, jaminan bekalan air dan tenaga, mengawal kesan perubahan iklim, dan sebagainya.

Sepatutnya syarikat-syarikat besar yang perlu membayar harga jaminan keselamatan yang kita mampu tawarkan. Anjakan paradigma ini penting agar kita tidak terlalu beria-ia menarik pelaburan sehingga lupa kekuatan dan kemampuan yang ada pada diri kita sendiri.

Insentif – anjakan paradigmanya

Saya ada empat cadangan dalam kerangka berfikir di luar kotak untuk jawatankuasa mengkaji insentif bagi JS-SEZ.

Pertama, insentif untuk pekerja. Pasaran buruh Johor sangat berkait rapat dengan pasaran buruh Singapura, iaitu jika gaji di Johor terlalu rendah, tidak mustahil pekerja Johor sanggup berjalan kaki melalui Tambak untuk bekerja di Singapura. Untuk mengatasi masalah ini, pengurangan cukai dan insentif lain perlu diberikan kepada jurutera dan pekerja Malaysia yang sanggup kembali bekerja di SEZ dalam industri-industri yang telah dikenal pasti oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan mana-mana sektor lain.

Kedua, insentif untuk rantaian bekalan. Kerajaan perlu faham bahawa rantaian bekalan yang selamat dan cergas amat penting bagi menentukan kejayaan industri-industri utama. Insentif boleh diberikan kepada syarikat-syarikat yang membantu membina rantaian bekalan untuk Malaysia. Ini pula akan membantu banyak syarikat Malaysia yang bersaiz sederhana untuk berkembang serta bersaing di persada antarabangsa.

Ketiga, insentif untuk penubuhan ibu pejabat. Malaysia bukan sekadar mahu menjadi hab kilang pengeluaran. Apabila syarikat-syarikat antarabangsa datang ke Malaysia untuk membina “control tower” atau ibu pejabat mereka serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pusat kecemerlangan, kita boleh berikan insentif kepada mereka.

Keempat, insentif kepada Kerajaan Negeri Johor. Dalam sistem federalisme Malaysia, semua cukai pendapatan – individu dan syarikat – dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Tiada perkongsian hasil cukai untuk Kerajaan Negeri walaupun kutipan datangnya daripada negeri (kecuali kutipan cukai tanah dan bangunan).

Paradigma baharu bererti Kerajaan Persekutuan boleh terus mengutip cukai korporat daripada Negeri serta JS-SEZ pada tahap yang ditetapkan tetapi membenarkan Kerajaan Negeri Johor mengambil 20% tambahan daripada kutipan hasil di JS-SEZ itu. Kerajaan Negeri Johor perlu perlu menggunakan hasil kutipan itu untuk melabur semula bagi membina dan menyelenggara infrastruktur, alam sekitar dan kebajikan rakyat di Greater Johor Bahru. Usaha ini dapat memastikan Greater Johor Bahru menjadi kota ekonomi kedua negara yang didiami warga sejahtera dan sihat minda. Jika kita sanggup melakukan anjakan paradigma ini, saya yakin Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia akan sama-sama menerima nikmat daripada kejayaan eksperimen JS-SEZ.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Perlu Anjakan Paradigma untuk Jayakan JS-SEZ

Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang telah merasmikan sidang Dewan Negeri Johor. Tunku menitahkan “adalah menjadi keutamaan saya untuk…
Baca Lagi

Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu. Momen Tun Razak Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua,…
Baca Lagi

Momen Tun Razak: Peluang Untuk Reset

Saya amat berbesar hati mendapat jemputan untuk menyampaikan ucapan kepada peserta kursus ketahanan nasional Kohort Kelima Maktab Ketahanan Nasional (MKN). Maktab ini menyediakan kursus kepada pegawai kanan tentera yang berpangkat…
Baca Lagi