Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

Demonstrasi besar-besaran di Indonesia baru-baru ini mendedahkan wujudnya punca masalah sosioekonomi yang serius: berjuta-juta orang di negara itu terpaksa bekerja di sektor informal, terutamanya pekerja gig, dengan upah rendah serta sukar mendapat peluang dalam sektor formal.

Sehari sebelum seorang pekerja Gojek muda Affan Kurniawan menjadi korban demonstrasi di Jakarta, Parlimen Malaysia telah meluluskan undang-undang pekerja gig buat kali pertama dalam sejarah negara.

Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 mewajibkan sumbangan kepada dana keselamatan pekerja serta mewujudkan tribunal untuk mengendalikan aduan dan tuntutan pekerja gig. Pujian harus diberikan kepada Menteri Sumber Manusia Sdr Steven Sim dan Kerajaan Madani atas usaha memperkenalkan undang-undang ini.

Timbul kesedaran dalam kalangan Ahli Parlimen bahawa kerajaan mesti bertanggungjawab melindungi pekerja gig di samping perlu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia.

Saya yakin semua Ahli Parlimen yang membahaskan rang undang-undang tersebut memahami realiti bahawa:

• Sebelum dibentangkan rang undang-undang itu, kira-kira 1.2 juta rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor gig tidak mendapat perlindungan pekerjaan; dan

• Hakikat bahawa 1.2 juta pekerja ini (daripada seluruhan jumlah 17.43 juta pekerja di Malaysia, setakat Jun 2025, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia) terpaksa bekerja dalam sektor yang tiada keterjaminan pekerjaan serta tanpa perlindungan sosial merupakan satu masalah besar dalam ekonomi negara yang perlu kita hadapi bersama.

Setelah menyedari hakikat ini, cabarannya ialah bagaimana mahu menyampaikan mesej ini kepada kerajaan dan agensi-agensinya, sektor perniagaan, dan masyarakat Malaysia, bagi membolehkan kita membuat perubahan besar.

Ramai warga Malaysia (dan warga Indonesia di negara mereka) yang menjadi penghantar makanan dan pemandu e-hailing kerana sektor formal gagal menyediakan pekerjaan yang secukupnya atau menawarkan gaji yang setimpal. Oleh kerana sektor formal dipenuhi pekerja asing tanpa kemahiran yang menyebabkan gaji terbantut, warga Malaysia yang tidak berkemahiran atau separuh mahir telah terperangkap dengan keadaan ini.

Pilihan yang ada untuk warga Malaysia hanyalah sama ada bekerja di kilang dengan gaji rendah, dan terpaksa mendengar leteran majikan bahawa mereka “tidak mampu bersaing” atau “tidak rajin” seperti buruh asing, atau menjadi pekerja sementara sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing.

Sebenarnya bukan warga Malaysia tidak berkemahiran dan separuh mahir sahaja yang menghadapi masalah gaji rendah di negara sendiri. Warga kita yang berpendidikan universiti serta berkemahiran juga mengalami masalah yang sama di Malaysia, namun mereka mempunyai jalan keluar: bekerja di Singapura. Dengan ini, negara kita kehilangan bakat yang sepatutnya berkhidmat di Malaysia.

Ada kira-kira 1.1 juta warga Malaysia yang bekerja di Singapura. Ironinya, kebanyakan warga Malaysia ini melakukan pekerjaan yang enggan mereka lakukan di Malaysia (menurut majikan Malaysia yang enggan membayar gaji setimpal kepada mereka). Menurut Kementerian Dalam Negeri, 97,318 rakyat Malaysia telah menjadi warganegara Singapura sepanjang 2015 dan Jun 2025.

Di Malaysia, kebergantungan majikan terhadap buruh asing tanpa kemahiran turut melemahkan penghasilan produktiviti industri di negara kita.

Bagi sesetengah majikan, pemikiran mereka agak lapuk. Apabila mengatakan pekerja Malaysia tidak produktif, mereka masih melihatnya dari segi berapa jam setiap hari sumbangan tenaga kerja seseorang pekerja. Sedangkan hari ini produktiviti bermakna berapa banyak kandungan teknologi digunakan dalam proses pengeluaran.

Pada masa yang sama, banyak industri di Malaysia dan rantau Asia Tenggara mengalami krisis eksistensi atas beberapa sebab ini:

Pertama, involusi (persaingan domestik yang terlampau sengit) dalam kalangan industri di China menyebabkan perang harga yang bukan sahaja berlaku di negara itu tetapi juga merebak di seluruh dunia, sehingga menjejaskan para pengeluar Asia Tenggara. Sebagai contoh, penutupan kilang-kilang tekstil di Indonesia menjadi menjadi salah satu punca kemarahan rakyat di negara itu.

Kedua, tarif Trump menyebabkan produk-produk yang sebelum ini dieksport untuk pasaran Amerika Syarikat terpaksa mencari pasaran baharu, dan ini mengakibatkan kejatuhan harga berikutan penawaran yang berlebihan. Kita sudah pun melihat “kesan turutan kedua” dalam industri keluli yang dikenakan tarif sektoral 50% oleh Presiden Donald Trump sejak Mac lalu.

Ketiga, kemajuan teknologi dan inovasi menyebabkan industri-industri China berkembang dengan amat pesat, khususnya melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengeluaran. Sebagai contoh, industri sarung tangan Malaysia tidak semaju industri China, dan salah sebuah syarikat besar sarung tangan China akan memulakan operasinya di Vietnam tidak lama lagi. Berikutan perkembangan ini, pengeluar sarung tangan Malaysia dijangka mengalami krisis eksistensinya kerana belum mencapai tahap kemajuan teknologi tinggi.

Kerajaan, industri, dan pekerja Malaysia perlu mewujudkan satu konsensus baharu secepat mungkin untuk menangani situasi ini. Ketidakterjaminan ekonomi boleh menjadi bom jangka politik, seperti mana yang dilihat di Indonesia baru-baru ini.

Ramai antara kita percaya bahawa “kos sara hidup” merupakan isu utama dalam kehidupan, sedangkan realitinya bukan begitu kerana isu yang besar ialah masalah gaji rendah dan kuasa membeli yang rendah (kesan langsung daripada gaji rendah) di samping kemudahan dan perkhidmatan asas yang tidak mencukupi.

Apabila sistem pengangkutan awam lemah, ramai orang terpaksa membeli kereta sendiri. Apabila melihat barisan pesakit beratur panjang untuk mendapatkan rawatan di hospital awam, golongan kelas pertengahan sanggup berbelanja lebih untuk pergi ke hospital swasta di samping membeli insurans kesihatan persendirian.

Perumahan yang tidak mencukupi pula memaksa ramai warga Malaysia berhutang untuk memiliki rumah – ini menguntungkan pemaju tetapi membebankan rakyat biasa. Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah, kehidupan rakyat Malaysia sudah terjebak dengan “financialisation” (kewangan, perbelanjaan, dan hutang).

Realiti yang perlu kita sedari adalah:

Pertama, gaji di Malaysia adalah rendah, dan ia sudah menjadi masalah politik.

Kedua, gaji rendah serta kebergantungan kepada buruh asing tanpa kemahiran menyebabkan industri Malaysia gagal mendapatkan teknologi secepat mungkin berbanding industri China. Ini merupakan cabaran serius yang perlu ditangani segera berikutan perang harga berkaitan involusi China yang memberi kesan kepada dunia dan rantau ini.

Ketiga, masalah politik “kos sara hidup” tidak akan dapat diselesaikan dengan mengekang harga, sebaliknya ia boleh diatasi dengan menangani isu gaji rendah serta “over-financialisation” dalam kehidupan seharian.

Izinkan saya menjelaskan bagaimana negara-negara mengendalikan kompromi dan konsensus ekonomi. Pada dekad 1950-an, apabila Korea Selatan berasa diancam oleh Korea Utara, ia melaksanakan program reformasi agihan tanah untuk memastikan golongan miskin tidak terpengaruh untuk menjadi Komunis.

Di Eropah pula, konsep dan amalan negara kebajikan diterima ramai, malah digalakkan oleh para kapitalis Barat bagi menyaingi model ekonomi Soviet Union yang mengutamakan kebajikan rakyat, sepanjang dekad 1950-an hingga 1960-an.

Bagaimanapun, apabila era Perang Dingin berakhir setelah tumbangnya Soviet Union dan sekutu-sekutunya, usaha pembangunan adil dan saksama mula diketepikan. Dekad 1990-an menyaksikan banyak negara bereksperimen dengan amalan pasaran bebas tanpa kawalan serta potongan cukai bagi golongan maha kaya. Usaha ini digalakkan oleh Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan dan Perdana Menteri British Margaret Thatcher.

Di Malaysia, sepanjang tempoh awal Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970-an, tumpuan diberikan kepada usaha merapatkan jurang kekayaan antara kaum serta sesama kaum. Namun, fokus mengatasi kesenjangan ekonomi ini mula dilupakan sejak pertengahan dekad 1980-an apabila kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan ekonomi pasaran bebas ala Reaganomics dan politik ala Thatcherisme.

Seperti yang saya catatkan pada awal tulisan ini, apabila ketidakterjaminan ekonomi dirasai rakyat, khususnya majoriti kaum pekerja Malaysia, ia boleh membawa kepada pergolakan politik.

Masanya telah tiba untuk kita mewujudkan satu konsensus ekonomi yang dibina bersama bagi mengatasi ketidakterjaminan ekonomi yang kini mengancam kestabilan politik negara kita.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan