
Ucapan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja DUN Johor oleh ADUN Perling, Liew Chin Tong pada 4 Mei 2026

Terima kasih kepada YB Datuk Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk berdiri berucap membahaskan usul menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bagai aur dengan tebing, bekerjasama adalah lebih baik daripada bertelagah.
Kerjasama Negeri dan Persekutuan
Banyak yang telah kita lalui sejak pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac 2022. Selepas PRN tersebut, saya sebagai Ketua Pembangkang ketika itu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi untuk mencadangkan kepada beliau tentang kerjasama dwipartisan dalam usaha memajukan negeri. Pada masa itu juga, apabila semua pihak bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15, hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Pembangkang agak tegang.
Keputusan PRU November 2022 membolehkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan di antara Pakatan Harapan dan UMNO. Di peringkat Negeri pula, hubungan di antara Pakatan Harapan dan UMNO dapat bertambah baik apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim bertitah untuk menjadikan Pembangkang sebagai Pengimbang. Ini mencerminkan peranan Pakatan Harapan, walaupun bukan sebahagian daripada kerajaan, dapat bekerjasama dalam suasana saling menghormati.
Tema kempen Barisan Nasional dalam PRN Johor Mac 2022 adalah “kestabilan”. Di bawah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan, dan Dato’ Onn Hafiz Ghazi di peringkat Negeri, kestabilan berjaya diwujudkan. Malah, kemajuan yang dicapai oleh Johor sepanjang tiga tahun lalu adalah lebih baik daripada dekad-dekad sebelumnya.
Sewaktu membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada November 2024, Dato’ Menteri Besar, dalam Bahasa Inggeris, telah berkata, “the stars have finally aligned in Johor’s favour”. Segala-galanya serba menjadi untuk Johor.
Dalam lawatan sulung Dato’ Seri Anwar selaku Perdana Menteri ke Singapura pada Januari 2023, yang turut disertai Dato’ Menteri Besar, idea untuk menubuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah dicadangkan. Saya berani berkata bahawa Johor kini menjadi perhatian rantau ini dan di dunia kerana wujudnya JS-SEZ.
Seperti yang kita ketahui, JS-SEZ kini merupakan destinasi utama negara bagi pelaburan baharu. Sebagai mantan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), saya turut memainkan sedikit peranan untuk merealisasikan usaha ini bersama dengan Kerajaan Negeri.
Pada masa yang sama, walaupun projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru sudah bermula lebih awal, Menteri Pengangkutan YB Sdr Anthony Loke telah memberi tumpuan khusus bagi memastikan projek-projek ini akan disiapkan mengikut jadual.
Projek-projek Persekutuan yang lain termasuklah Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ), perluasan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dan penambahbaikan Lebuhraya Pasir Gudang (FT17).
Kita akui kegigihan dan dedikasi Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri. Dan tentunya kita juga mengakui kepimpinan serta peranan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pembangunan Johor.
Sehubungan itu, kita perlu menerima hakikat bahawa kemajuan yang dicapai oleh Johor sepanjang tiga tahun lalu adalah hasil usaha bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, dan di antara Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Onn Hafiz, di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Cabaran yang perlu dihadapi bersama
Sementara kita boleh berbangga dengan kejayaan yang dicapai, ada beberapa cabaran jangka panjang yang perlu dihadapi bersama pada tahun-tahun mendatang ini.
Pertama, Johor tengah dan Johor utara
Kebanyakan pembangunan telah dilaksanakan di kawasan Greater Johor Bahru. Kita perlu mempunyai perancangan untuk pembangunan mampan di kawasan tengah dan utara Johor. Isu utama yang perlu kita tangani adalah masyarakat menua, dan kesannya terhadap keperluan untuk penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas, terutamanya di pekan-pekan kecil.
Banyak yang perlu kita laksanakan untuk pekan-pekan kecil bagi memastikan generasi muda tidak perlu berhijrah ke bandar-bandar besar. Kita perlu memberi makna baharu dan matlamat baharu kepada pertanian dan perladangan dalam memastikan keterjaminan makanan menjadi peluang ekonomi yang dapat memanfaatkan golongan muda, sama ada sebagai pemilik perniagaan atau pekerja bergaji setimpal.
Kedua, gaji rendah dan kos sara hidup
Oleh kerana tahap gaji di Johor dan Malaysia agak rendah, ramai penduduk di Greater Johor Bahru menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat
berikutan kehadiran ramai warga Singapura dan pelanggan-pelanggan korporat yang datang ke Johor yang semakin makmur sejak kebelakangan ini.
Kita memerlukan iltizam bersama untuk menangani masalah gaji rendah kerana ia juga menjadi punca penghijrahan beratus ribu warga Johor dan Malaysia ke Singapura untuk menjadi buruh dan pekerja asing di sana.
Bagi mengatasi isu gaji rendah, kita perlu membuat anjakan yang besar, iaitu daripada amalan biasa yang menganggap syarikat-syarikat Malaysia hanya untuk menyokong keperluan korporat multinasional asing kepada pemikiran baharu dalam kerajaan bahawa kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tanggungjawab bersama untuk mewujudkan syarikat-syarikat Malaysia sebagai korporat multinasional. Dan yang lebih penting, kita perlu berganjak daripada pemikiran bahawa Malaysia sebuah “negara dagang” kepada “negara teknologi”. Dengan itu, kita perlu melahirkan inovasi ciptaan Malaysia. Apabila syarikat-syarikat Malaysia memiliki lebih banyak teknologi, kita akan dapat menyaksikan lebih banyak warga Malaysia akan diambil bekerja dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.
Tidak kurang penting ialah memastikan sebarang projek pembangunan di Greater Johor Bahru tidak berakhir menjadi skim spekulasi hartanah.
Ketiga, krisis global yang menyelubungi kita
Saya berharap Dewan yang mulia ini menerima hakikat bahawa krisis tenaga yang kita hadapi sekarang, yang berpunca daripada perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, adalah krisis tenaga yang paling serius sejak 1973-74.
Realitinya juga ialah tatanan dunia unipolar pimpinan Amerika Syarikat sudah berakhir, namun tatanan dunia multipolar belum muncul sepenuhnya. Tempoh peralihan ini, walaupun akan menimbulkan kekacauan, sebenarnya turut membuka peluang tertentu untuk Johor dan Malaysia.
Tatanan politik baharu
Bahang pilihan raya semakin dirasai. Pengundi akan memilih parti yang dapat memenuhi tiga perkara utama ini, iaitu:
Pertama, Federalisme dan Johor Bahru sebagai ibu kota ekonomi kedua
Saya akur dengan titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berhubung perkongsian 25% hasil dikutip dari Johor dengan Kerajaan Negeri. Jika kita mahu Malaysia bergerak maju, negeri-negeri perlu menjadi rakan kongsi. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memerlukan satu bentuk tawaran baharu atau “new deal”. Melalui perkongsian ini, ia akan membolehkan Kerajaan Negeri mengambil alih peranan Persekutuan seperti menyelenggara dan membaik pulih jalan raya Persekutuan. Negeri juga perlu mengelakkan amalan mendapatkan sumber hasil yang menjejaskan alam sekitar dan iklim seperti reklamasi dan rebakan bandar (urban sprawl).
Johor Bahru patut dilihat sebagai ibu kota ekonomi kedua selepas Kuala Lumpur, terutamanya dalam konteks peranannya dalam JS-SEZ. Saya yakin, melalui Greater Johor Bahru sebagai satu daripada penjana ekonomi, Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang lebih berjaya.
Kedua, Lonjakan Ekonomi Kedua dan Ekonomi Madani/Insaniah
Malaysia tidak menjadi tumpuan dunia sejak Krisis Kewangan Asia 1997. Namun, tiga dekad kemudian Malaysia kembali bernafas apabila usaha-usaha Kerajaan Madani sepanjang tiga tahun lalu mula membuahkan hasil. Kita berharap generasi kita akan dapat melaksanakan Lonjakan Ekonomi Kedua, seperti yang saya nyatakan dalam buku saya Second Takeoff, agar Malaysia yang sebuah negara besar.
Ekonomi negara kita perlu berteraskan ekonomi madani dan ekonomi insaniah bagi memastikan hasil ekonomi tidak hanya diperolehi golongan elit dan mereka yang berkepentingan tetapi dinikmati seramai mungkin rakyat Johor dan Malaysia.
Ketiga, demokrasi, dan bukan lagi era parti dominan
Pada Ogos 2021 semasa ketidaktentuan politik selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, dan sebelum Perdana Menteri baharu dilantik, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu bertitah bahawa semangat baharu negara harus memastikan “yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua”.
Sebenarnya, negara kita tidak lagi ada parti dominan, dan rakyat Malaysia tidak lagi menglu-alukan era satu parti yang bersikap dominan. Negara kita telah melalui pelbagai pengalaman dalam sejarah politik tanah air. Suatu ketika dahulu, negara kita tidak pernah mengalami pertukaran kerajaan sehingga para pemimpin masa itu merasakan mereka kebal.
Kini semua parti harus menghayati keputusan rakyat, khususnya apa yang telah diputuskan pada 2018, iaitu suara rakyat adalah keramat.
Mana-mana pihak yang ingin membawa Malaysia kembali kepada era parti dominan, iaitu zaman di mana sebuah parti menentukan segala-galanya serta membelakangkan suara rakyat, terutamanya era sebelum PRU 2018, ia hanyalah langkah yang sia-sia. Rakyat sudah maju ke hadapan. Rakyat sudah jalan terus. Zaman parti dominan sudah lama berlalu.
Perwakilan ADUN yang lebih adil
Ada cadangan pada sidang ini untuk mewujudkan ADUN Lantikan. Sebagai ahli Pengimbang, saya berharap agar Dato’ Menteri Besar dapat memberi taklimat dan penjelasan yang lebih lanjut kepada pihak Pengimbang dan kepada Dewan yang mulia ini.
Namun, daripada mewujudkan ADUN Lantikan, lebih baik kita melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN. Persempadanan semula adalah pendekatan yang lebih sesuai dan tepat memandangkan ada 7 kerusi yang mempunyai pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang.
Kerusi-kerusi tersebut adalah N40 Tiram dengan 116,608 pengundi, N41 Puteri Wangsa (127,599), N43 Permas (113,172), N46 Perling (109,210), N48 Skudai (106,497), N49 Kota
Iskandar (131,330), dan juga N42 Johor Jaya (97,298).
Penyusunan semula memang sukar, perpaduan adalah kuncinya
Saya percaya formula Perpaduan adalah formula terbaik untuk UMNO dan Pakatan Harapan. Tetapi bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Hanya keikhlasan, persefahaman, dan kerjasama dapat merealisasikan formula ini.
Baru-baru ini, saya telah melancarkan buku mengenai Tun H.S. Lee, Menteri Kewangan kita yang pertama. Sewaktu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 1952, MCA ketika itu yang dipimpin oleh Tun Tan Cheng Lock berpihak kepada Dato’ Onn Jaafar yang telah keluar UMNO untuk menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP). Tun H.S. Lee pula mengambil pendirian berbeza, iaitu bekerjasama dengan UMNO. Hasilnya, UMNO dan MCA menang besar. Formula ini kemudiannya diuji di Johor Bahru pada 1953 dan tempat-tempat lain, yang akhirnya melahirkan gabungan rasmi Perikatan yang membawa Malaya mencapai Kemerdekaan.
Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah matlamat kerjasama politik adalah sangat penting untuk gabungan politik. Misi dan matlamat bersama seperti sasaran untuk mencapai Kemerdekaan pada dekad 1950-anmembantu konsolidasi Perikatan. Faktor kemenangan atau “winnability” sesuatu formula juga memain peranan yang kritikal. Harapan saya ialah UMNO pada hari ini dapat memikirkan semasak-masaknya apa formula yang terbaik untuk Johor dan Malaysia.
Saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan kembali atau tidak ke Dewan yang mulia jika Dewan Negeri Johor dibubarkan. Namun, izinkan saya menyuarakan hasrat hati saya kepada rakan-rakan UMNO:
Pertama – UMNO dan DAP mempunyai sejarah yang panjang. Tahun ini UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-80 manakala DAP pula ulang tahun ke-60. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Namun, sebagai pemimpin, kita tidak sepatutnya melihat parti lain mengikut karikatur atau “fake news” atau fitnah yang dilemparkan oleh cyber-troopers. Kita sepatutnya sentiasa bersedia untuk bersemuka bagi membincangkan atau menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
Kami dalam DAP menganggap diri sebagai pembina negara (nation builders), dan kami yakin wawasan kami untuk Malaysia menjadi sebuah negara progresif serta bergerak ke hadapan mendepani pelbagai cabaran, dikongsi oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Kami tidak mahu menoleh kembali ke zaman yang telah lama berlalu.
Kedua – golongan di jalan tengah akan menentukan masa hadapan Malaysia, terutamanya dalam pilihan raya umum. Perbezaan peratus keluar mengundi di antara PRN Johor pada Mac 2022 dan PRU November 2022 sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa pengundi jalan tengah akan menjadi penentu. Merekalah yang akan keluar mengundi bagi menentukan hala tuju dan masa hadapan negara. Semua parti perlu bersedia menerima kemungkinan 80% pengundi keluar mengundi semasa PRU ke-16.
Ketiga – Gen Z yang lahir di antara tahun 1997 dan 2012 akan menjadi penentu keputusan PRU akan datang. Berdasarkan daftar pengundi pada 31 Disember 2025, Johor mempunyai 2,717,495 pengundi. Daripada jumlah itu, 26.4% berusia di antara 18 dan 30 tahun, dan 182,899 daripada mereka (6.7%) akan mengundi buat kali pertama.
Kebangkitan Gen Z di beberapa negara Asia serta pemilihan Datuk Bandar New York yang menyaksikan kemenangan Zohran Mamdani, dan kesemua mereka mahir dalam teknologi digital, prihatin tentang isu pekerjaan dan pengangguran, isu gaji, mobiliti sosial, keadilan sosial, telah mencetuskan semangat kebangkitan dalam kalangan mereka untuk menentang golongan elit dan korup. Sehubungan itu, parti mana yang dapat meyakinkan Gen Z, ia akan memenangi PRU akan datang.
Dengan itu juga, terima kasih saya ucapkan kepada semua di sini, termasuk Dato’ Menteri Besar, Speaker Datuk Puad Zarkashi, Ketua Pengimbang Sdr Andrew Chen, dan semua rakan-rakan ADUN. Salah dan silap, mohon maafkan.
Akhir kata, seperti kata pepatah Melayu, musuh jangan dicari, tapi kalau musuh datang menyerang, pantang kita mengelak. Namun, saya berpandangan bahawa adalah lebih baik jika kita semua dapat bekerjasama.
Muafakat membawa berkat, sama-sama kita bangunkan negeri dan negara demi kesejahteraan Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·