
Bahagian Kedua: Memahami Keadaan Politik Semasa Malaysia

Pakatan Harapan mengadakan persidangannya di Johor Bahru pada 17 Mei 2026. Ia bertujuan menentukan hala tuju dan langkah Pakatan Harapan yang seterusnya menjelang pilihan raya umum akan datang.
Tulisan ini merupakan sambungan daripada kisah kembara politik yang kita lalui bersama sehingga sampai ke persimpangan ini. Dalam rencana yang lepas, saya berkongsi tentang bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berjaya memecahbelahkan PAS pada Jun 2015 serta memusnahkan harapan Pakatan Rakyat dengan memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terkejut kerana tidak menyangka sama sekali Pakatan Harapan mampu mencatatkan kemenangan pada 9 Mei 2018.
𝗣𝗮𝗸𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗽𝗮𝗻 𝗱𝗶 𝘁𝗮𝗵𝗮𝗽 𝗽𝗮𝗹𝗶𝗻𝗴 𝗹𝗲𝗺𝗮𝗵
Setelah terbubarnya Pakatan Rakyat, ia dihidupkan semula dengan nama baharu Pakatan Harapan. Namun, ia bermula dengan detik paling memilukan apabila bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun 2016.
Selepas PAS berpisah dengan Pakatan, UMNO pula mengalami krisis dalaman. Julai 2015 menjadi kemuncak skandal 1MDB yang melibatkan Najib. Pelbagai agensi media antarabangsa melaporkan dengan terperinci tentang skandal tersebut, dan UMNO tertekan apabila orang ramai serta pemimpin parti sendiri menuntut penjelasan. Pada 28 Julai, Datuk Seri Najib memecat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden UMNO bersama dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal.
Keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar amat mengecewakan Pakatan Harapan kerana isu skandal mega 1MDB tidak memberi kesan kepada pengundi. Barisan Nasional menang selesa dalam kedua-dua PRK tersebut yang melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan PAS.
Kemenangan ini meyakinkan Datuk Seri Najib bahawa kerjasamanya dengan PAS untuk mencetuskan pertandingan tiga penjuru bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional adalah strategi terbaik menentang Pakatan Harapan. Inilah yang terjadi pada PRU 2018 di mana hampir semua kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pakar-pakar strategi Najib percaya walaupun ramai kalangan Melayu tidak sukakan beliau, PAS – yang bersekongkol dengan Perdana Menteri – akan menarik undi orang Melayu yang tidak menyokong Najib. Dengan mempercayai bahawa Pembangkang sudah kehilangan pimpinan utama mereka, iaitu Dato’ Seri Anwar, Najib yakin Barisan Nasional akan terus kekal berkuasa.
𝗧𝗲𝗺𝗽𝗼𝗵 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗮𝗯𝗮𝗿
Masih jelas dalam ingatan saya bagaimana begitu mencabar sekali keadaannya pada masa itu. Di kala itu, Tan Sri Lim Kit Siang dengan penuh berani mendekati kumpulan-kumpulan UMNO yang menolak Najib, termasuk menghulur salam solidariti dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin, dalam usaha mencari jalan keluar daripada kemelut politik semasa.
Namun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar merupakan musuh lama, malah DAP juga tidak pernah senang dengan Mahathir sepanjang perjalanan politik mereka. Dengan itu, amat sukar untuk membawa semua orang duduk semeja.
Bersatu ditubuhkan pada September 2016. Berkali-kali kami daripada Pakatan Harapan mengadakan rundingan dengan mereka, terutamanya pada separuh pertama 2017. Ia bukan sesuatu yang mudah. Namun, keputusan sebulat suara dapat dicapai lewat tengah malam 14 Julai untuk melantik Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Enam bulan selepas itu pimpinan Pakatan Harapan memutuskan dalam mesyuaratnya pada 1 dan 2 Disember untuk mengadakan satu persidangan besar pada Januari 2018. Hasratnya ialah untuk mengumumkan calon Perdana Menteri pada persidangan itu, dan membawa bersama semua kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar.
Bagaimanapun, ia tersekat seketika apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin menentang pakej Mahathir-Anwar. Sebenarnya, apa yang mereka mahu ialah Muhyiddin menjadi Perdana Menteri manakala Azmin timbalannya. Sekarang anda boleh buat andaian sendiri bahawa inilah bayangan yang membawa kepada episod rampasan kuasa Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Dari dalam penjara, Dato’ Seri Anwar mahu pengumuman Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan beliau sebagai pengganti Perdana Menteri dibuat selepas selesai rundingan kerusi yang akan ditandingi. Beliau juga mahu PKR mendapat lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.
𝗧𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗽𝗲𝗿𝘂𝗯𝗮𝗵𝗮𝗻
Dari 1 Disember 2017 hingga 6 Januari 2018, para pemimpin Pakatan Harapan yang terlibat dalam rundingan agihan kerusi bekerja keras sepanjang cuti hujung tahun. Persidangan Pakatan Harapan dijadualkan berlangsung pada 7 Januari tetapi sehari sebelum itu, iaitu pada jam 6 petang, rundingan terhenti tanpa mencapai keputusan bersama. Persidangan yang dijadualkan keesokannya hampir dibatalkan.
Namun, melalui kebijaksanaan Sdr Anthony Loke dan Setiausaha Agung PKR ketika itu Datuk Seri Saifuddin Nasution, semua pihak dapat diajak kembali ke meja rundingan. Sekitar jam 8 malam, keputusan dicapai, dan persidangan dapat diteruskan pada hari esoknya.
Persidangan Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018 menjadi titik perubahan besar kepada gabungan Pembangkang. Dengan mengumumkan calon Perdana Menteri serta menyelesaikan rundingan agihan kerusi di Semenanjung, Pakatan Harapan serta-merta dapat menggerakkan jentera pilihan rayanya. Pesimisme yang menyelubungi Pakatan Harapan sejak PRU 2013 sudah hilang, dan para pemimpin dan ahli gabungan Pakatan Harapan kembali bersemangat. Walaupun berhadapan dengan ujian getir, kami berjaya membawa kembali harapan untuk Malaysia.
Izinkan saya berkongsi sedikit kisah di sini. Selepas tumbangnya Barisan Nasional pada PRU 2018, saya mendapat khabar daripada sumber pimpinan UMNO bahawa Datuk Seri Najib sebenarnya mahu membubarkan Parlimen sebaik sahaja selesai penganjuran Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos 2017. Bayangkan, jika beliau berbuat demikian dalam keadaan kerjasama Pakatan Harapan dengan kumpulan Tun Dr Mahathir belum kukuh, peluang untuk Barisan Nasional mengekalkan kemenangan adalah lebih cerah. Dan mungkin Dato’ Seri Najib masih lagi menjadi Perdana Menteri sehingga sekarang.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·