
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong Putar Belit Realiti Projek E-ART Untuk Tonjolkan Kononnya Johor Dipinggirkan

Datuk Seri Wee Ka Siong menuduh Kementerian Pengangkutan bersikap acuh tak acuh dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor dengan memberi gambaran bahawa Kerajaan Persekutuan mengutamakan Pulau Pinang berbanding Johor.
Tuduhan beliau tidak benar sama sekali, dan hanya politik murahan untuk meraih undi dalam pilihan raya negeri Johor. Dakwaan beliau juga memalukan kerana sebagai bekas Menteri Pengangkutan dalam era Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional, beliau sepatutnya lebih tahu keadaan sebenar.
Realitinya, Johor mendapat tumpuan utama dalam pembinaan infrastruktur dan pembangunan, terutama di kawasan Greater Johor Bahru. Namun, Wee buat-buat lupa tentang projek-projek besar di Johor seperti Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru, dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura. Malah, projek perluasan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) juga dilaksanakan di Johor.
Malah, Wee sewaktu menjadi Menteri Pengangkutan turut terlibat dalam perancangan RTS. Jika benar Johor tidak diberi keutamaan, apa yang beliau buat sewaktu menjadi Menteri Pengangkutan?
Sekarang beliau mahu mengalih pandangan dengan membangkitkan Projek E-ART. Walaupun Menteri Pengangkutan Sdr Anthony Loke telah menjelaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui kerjasama awam-swasta (PPP), Wee mendesak untuk mengetahui “bila” ia akan dilaksanakan.
Beliau juga menuduh Kementerian Pengangkutan “cuci tangan” sedangkan beliau memang pandai bermain “cuci tangan” atas kegagalan Kerajaan Barisan Nasional berikutan kegagalan menunaikan janji-janji pembangunan.
Malah, hujahnya yang membandingkan projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang yang dikatakannya mendapat keutamaan Persekutuan dengan E-ART Johor adalah meleset sama sama sekali. Tuduhanya tidak adil kerana ia merupakan dua projek yang berbeza.
Saya pernah menjadi Ahli Parlimen di Pulau Pinang, dan sebelum itu saya turut mengkaji pembangunan di sana. Pada 2006 Kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk membina LRT di negeri itu tetapi setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional tumbang, projek itu dibatalkan.
Biar saya jelaskan di sini.
Di Pulau Pinang, idea asal untuk pembinaan rel transit bermula pada 1995. Pada 2008 Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memulakan cadangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional untuk membina LRT. Pada 2013, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dilancarkan. Sepanjang 2020-22, pelbagai cabaran peruntukan dan pelaksanaan dihadapi, dan akhirnya sepanjang 2023-25 semuanya diluluskan. Projek pembinaan fizikal dimulakan pada 2026.
Di Johor, projek Bas Rapid Transit (BRT) dipersetujui konsepnya pada 2017. Pada 2020, projek RTS dimulakan, dan selepas disahkan pembinaannya, timbul cadangan membina rel bandar pada 2022-23. Pada 2024-25 pula, pelbagai alternatif lain dibincangkan. Aktiviti perancangan, perolehan, dan cara pelaksanaan diteruskan sehingga sekarang.
Apa yang membezakan kedua-dua projek ini?
Di Pulau Pinang, ia mengambil masa 30 tahun untuk dilaksanakan. Di Johor, ia belum sampai 10 tahun. Malah di Johor, projek RTS telah pun dilaksanakan, dan dijangka beroperasi tahun hadapan.
Sehubungan itu, tidak adil untuk membandingkan kedua-dua projek ini kerana status pelaksanaan yang berbeza di antara Pulau Pinang dan Johor. Ia berbeza dari segi garis masa, sejarah perkembangannya, dan tahap kematangan projek. Penilaian yang seimbang perlu dilihat secara menyeluruh, dan bukan mengikut projek khusus secara berasingan.
Malah, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM10 bilion kepada projek E-ART, dan tentunya ia akan mengambil masa bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.
Untuk Wee menggunakan projek E-ART sebagai senjata politiknya demi mengemis undi tidak akan berjaya kerana pengundi Johor cukup matang dan bijak untuk membezakan fakta dengan omong kosong.
Wee tak perlu bermain politik. Sekiranya Presiden MCA ini jujur, tentu beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi keutamaan dalam mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ).
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·