
Kenali Nor Zulaila, Calon PH N40 Tiram

Saya gembira apabila Sdri Nor Zulaila binti Abdul Ghani telah dipilih oleh DAP, seperti mana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Sdr Anthony Loke semalam, untuk menjadi calon Pakatan Harapan bagi kerusi N40 Tiram.
Sdri Zulaila yang menyertai DAP pada 2014 memulakan khidmatnya sebagai pegawai di Pejabat Ahli Parlimen Serdang/Bangi. Kemudian beliau dilantik menjadi Ahli Majlis pada 2018 dan berkhidmat selama lapan tahun.

Sebagai graduan sains dan teknologi alam sekitar UPM, minatnya mendalam terhadap pembangunan dan pengurusan bandar serta persekitaran.
Kali pertama saya bertemu Sdri Zulaila ialah pada 2020. Ketika itu saya merupakan Pengerusi DAP Johor. Kampung halamannya ialah di pekan kecil Lenga di Muar yang pernah saya lawati beberapa kali. Saya mengajak Sdr Zulaila untuk bergiat aktif dalam politik Johor dengan hasrat untuk menampilkannya sebagai calon pilihan raya, apatah lagi beliau sememangnya aktif peringkat akar umbi di Johor. Namun, masanya belum tiba dan rancangan kami belum dapat dijayakan.

Pada 2023, beliau menerima tawaran saya untuk menjadi Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan pada Disember 2025 menyambung tugasnya bersama saya di Kementerian Kewangan pula.
Hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik serta dedikasinya terhadap tugasnya memang tidak boleh dinafikan. Beliau rajin, bersifat empati, dan bertanggungjawab. Di Kementerian Kewangan, beliau membantu saya menangani hal-ehwal kebajikan seperti Budi95, SARA, dan STR.

Selain Bahasa Melayu, Sdri Zulaila sangat fasih dalam Bahasa Cina di samping memahami isi hati orang Melayu dan Cina. Dalam banyak perbincangan, beliau sering berkata bahawa cita-cita orang Melayu dan Cina sebenarnya sama sahaja, iaitu mereka mahu anak-anak mendapat pendidikan terbaik, pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal, dan peluang untuk memajukan diri dan kehidupan.
Jarang kita temui ahli politik yang bukan sahaja berpengalaman di peringkat akar umbi serta mendapat pendedahan tentang penggubalan dasar di peringkat nasional tetapi juga cekap “masuk keluar” dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina tanpa sebarang kejanggalan.
Semoga pengundi N40 Tiram membuat pilihan yang tepat dengan memilih Sdri Zulaila sebagai wakil rakyat mereka.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·