Jika BN+PAS Dua Kali Lima Sahaja, Maka Pilihan Terbaik adalah Pakatan Harapan

Apabila PAS dilihat tidak serius bertanding pada pilihan raya negeri Johor, malah meminta ahli-ahlinya menyokong calon Barisan Nasional, ia mendedahkan strategi PAS untuk bekerjasama dengan UMNO.

Strategi PAS pada masa ini cuba memberi kelebihan kepada BN di kerusi di mana Pakatan Harapan bertanding.

Kedua-dua PH dan BN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN. PAS pula hanya mencuba nasib di 11 kerusi sahaja. Malah Perikatan Nasional – yang turut dianggotai PAS dan Bersatu – sudah tidak sehati sejiwa lagi. Bersatu pula hanya bertanding di 16 kerusi secara berasingan.

UMNO dan PAS mengandaikan bahawa ramai pengundi Melayu akan menyokong calon-calon BN dengan menonjolkan agenda “perpaduan Melayu Islam”. Mereka menjadikan DAP sebagai momok. Harapan UMNO dan PAS ialah pengundi Melayu akan memilih BN, walaupun ironinya, mereka juga mahu pengundi Melayu turut memilih calon-calon bukan Islam MCA dan MIC bagi membolehkan BN menang besar.

Naratif dan strategi inilah yang menjadi pendirian mantan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang lantang menyatakan beliau tidak akan duduk semeja dengan DAP. Tujuannya adalah untuk membangkitkan sentimen kaum dalam kalangan orang Melayu, dengan menjadikan DAP sebagai musuh, agar BN Johor memperoleh kemenangan besar.

Malah, untuk menjayakan strategi ini, menurut mantan Speaker Dewan Negeri Johor Datuk Puad Zarkashi, memang ada percubaan UMNO berunding untuk meminta PAS supaya tidak bertanding di Johor.

Namun, kedua-dua parti ini mudah lupa. Mereka lupa tentang kejayaan sendiri sebelum ini. Mengapa PAS menang besar di negeri-negeri utara Semenanjung pada PRU 2018? Mengapa PN berjaya memenangi banyak kerusi pada PRU 2022?

Kejayaan PN dalam dua pilihan raya yang lalu itu adalah kerana sentimen Melayu yang menolak Datuk Seri Najib Razak dan UMNO yang dikaitkan dengan rasuah.

Walaupun hubungan PAS dengan Najib Razak menjadi rapat selepas pemergian Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Februari 2015, kempen dan serangan PAS pada PRU 2018 tertumpu kepada Najib, manakala pada PRU 2022 pula menjadikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai sasaran serangan.

Mengapa terjadi begitu? Kerana mereka memahami kehendak pengundi Melayu. Mereka tahu orang Melayu ketika itu tidak menyokong UMNO pada dua PRU tersebut.

Kejayaan PAS dalam pilihan raya selama ini banyak bergantung kepada kelemahan UMNO, iaitu kegagalan pentadbiran dan fenomena rasuah dalam UMNO. Keadaan ini amat jelas pada PRU 2022 apabila kalangan pengundi Melayu sederhana dan sebahagian besar pengundi bukan Melayu menolak UMNO untuk memilih PH. Bagi pengundi Melayu yang lebih konservatif pula, mereka yang menolak UMNO memilih PN.

Sehubungan itu, bagi pengundi Johor yang tidak mahu menyokong BN, alternatif yang lebih baik ialah mengundi Pakatan Harapan. Mereka yang menolak BN di Johor hari ini sedar bahawa undi untuk BN sama seperti undi untuk PAS, dan sebaliknya.

Tambahan pula, bukan sahaja pengundi bukan Melayu yang melihat fenomena “undi BN dapat PAS”, malah orang Melayu Johor sendiri masih ragu-ragu dengan PAS.

Jika UMNO dan PAS kini dilihat sebagai “dua kali lima”, kepada siapakah pengundi, khususnya mereka yang memilih PN dahulu kerana tidak menerima BN, perlu memberikan sokongan mereka?

Saya percaya, sebahagian daripada mereka akhirnya akan membuat kesimpulan: Pakatan Harapan adalah pilihan yang lebih baik bukan sekadar kerana tidak banyak pilihan lain tetapi kerana PH sudah terbukti sebagai kerajaan yang berwibawa di peringkat Persekutuan.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan