
Era Najib Sudah Berakhir, Tiada Lagi Ruang Untuk Najibnomics

Sejak 2018, saya beritahu kawan-kawan saya dalam UMNO bahawa lebih baik untuk Barisan Nasional maju ke hadapan dan tidak perlu lagi mengulangi amalan lama zaman Datuk Seri Najib Razak.
Zaman Najib mengamalkan politik anti-demokrasi, dan apabila dikritik, para pemimpin mereka mempergunakan undang-undang untuk menutup mulut rakyat. Pimpinan mereka angkuh dan sombong, dan pentadbiran BN pada masa itu tiada semak dan imbang (check and balance).
Pemikiran ekonomi Najib mengutamakan projek mega, melaksanakan GST, dan menggalakkan spekulasi hartanah. Amalan ekonomi seperti ini yang digelar Najibnomics mengakibatkan berlakunya korupsi seperti skandal mega 1MDB di mana sampai hari ini, malah bertahun-tahun akan datang, rakyat Malaysia melalui Perbendaharaan perlu menanggung beban membayar hutang akibat skandal tersebut.
Memang ada orang buat untung sewaktu era Najib tetapi majoriti rakyat tidak mendapat manfaat yang hanya dinikmati oleh mereka yang terlibat dalam projek-projek mega.
Saya boleh menerima kerjasama BN dengan Pakatan Harapan melalui Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan selagi ia membolehkan kerajaan membantu rakyat. Masalahnya, BN Johor tidak berminat dengan kerjasama ini walaupun ia tahu kolaborasi Persekutuan-Negeri memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
Rakyat Malaysia tidak mahu lagi kembali kepada zaman sebelum 2018. Semua orang mahu masa depan baru yang lebih cerah dan kehidupan yang lebih baik.
Untuk terus memajukan negara, kita perlu keluar daripada politik ala Najib dan kerangka Najibnomics yang terbukti gagal meningkatkan taraf hidup rakyat. Selepas BN tewas pada PRU 2018, majoriti rakyat tidak mahu kembali kepada zaman skandal 1MDB itu.
Hari ini, warga Johor dan rakyat Malaysia mahu kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat. Majoriti menerima kerjasama PH-BN di peringkat Persekutuan melalui Kerajaan Madani.
Rakyat mahu sesiapa saja yang berada di puncak kuasa menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta mempunyai perancangan serius untuk masa depan Malaysia. Sekarang bukan lagi masanya untuk politik perkauman.
PH, melalui kerjasama ikhlas, lebih berkemampuan untuk memenuhi keperluan rakyat, sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, kerana ia sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan usaha mengangkat martabat rakyat.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·