Tawaran Ekonomi Johor untuk Semua

Kerangka Ekonomi Madani membolehkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor bekerjasama untuk menubuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Maksudnya kerjasama kedua-dua peringkat kerajaan adalah kunci kejayaan. Namun, kerajaan negeri BN Johor kini mahu bergerak solo, dan ini menimbulkan masalah.

Saya mengemukakan lima isu penting yang membuktikan PH lebih berkemampuan, bukan sahaja memulihkan ekonomi Johor tetapi juga melonjakkannya ke tahap yang lebih baik tanpa meminggirkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

1. Melalui konsep ekonomi Madani, PH memberi fokus kepada kemajuan ekonomi yang berteraskan pekerjaan sedangkan BN Johor hanya mahu membawa masuk pelaburan tanpa mengutamakan peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi kepada warga Johor.

2. PH tidak akan bergantung kepada projek-projek mega untuk membangunkan negeri, sebaliknya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan serta taraf hidup warga Johor. Apabila peluang-peluang disediakan, rakyat Johor tidak perlu lagi bekerja di Singapura.

3. Pertumbuhan ekonomi sahaja tidak cukup jika jaminan perlindungan ekonomi dan sosial tidak disediakan. PH mengutamakan penjagaan anak dan penjagaan warga emas (child care and aged care) untuk membolehkan rakyat hidup “normal” tanpa dijejaskan oleh kesan-kesan luaran. Apa maksud “normal”? Sebagai contoh, walaupun dunia dilanda krisis ekonomi akibat Perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang menyebabkan penutupan Selat Hormuz, keadaan di Malaysia seperti “normal” sahaja. Ini dapat dicapai melalui kebijaksanaan pentadbiran Madani pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menangani pelbagai cabaran. Dalam isu tenaga, Kerajaan Madani berjaya melaksanakan BUDI95 dan BUDI DIESEL yang membolehkan ekonomi dan kehidupan kita lebih stabil.

4. PH lebih berkemampuan menyelesaikan isu pengangkutan awam, kesesakan lalu lintas, dan masa menunggu rentas sempadan. Usaha gigih Menteri Pengangkutan Sdr Anthony Loke menangani isu-isu pengangkutan awam di seluruh negara sedang membuahkan hasil positif kerana pentadbiran Madani mempunyai perancangan, tadbir urus, dan pelaksanaan yang lebih serius. Dengan adanya kerjasama Persekutuan-Johor, kita akan mampu mengatasi pelbagai masalah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri BN Johor.

5. PH akan memastikan usaha mengimbangkan pertumbuhan dan pembangunan Johor Utara dan Johor Tengah dengan Johor Selatan, seperti mana yang ditawarkan dalam manifesto JOHOR UNTUK SEMUA. Kita tidak mahu sesiapa pun dipinggirkan.

Ini merupakan intipati ucapan saya di Skudai, Johor malam tadi untuk menjelaskan mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa manifesto PH tiada yang baru kerana kerajaan BN Johor sudah melaksanakannya.

Penjelasan saya membuktikan PH sebenarnya menawarkan banyak pembaharuan melalui Kerangka Ekonomi Madani yang lebih menyeluruh, lengkap, dan berwibawa.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan