Apa yang BARU dengan UMNO?

Perhimpunan Agung UMNO ke-60 walaupun cuba ditonjolkan dengan “imej pembaharuan” dalam media arus perdana, namun disindir sebagai “gerombolan lama dengan minda lama”, sekadar diperbaharui dengan “kroni baru dan slogan baru”. Kritikan sedemikian berdasarkan analisa bahawa UMNO masih mengekalkan struktur politik lama dan tidak memperlihatkan tekad untuk berubah.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dominic Lau Hoe Seng cuba mempertahankan “keikhlasan dan tekad PM untuk membawa perubahan”, namun dihujani dengan pelbagai kritikan tajam daripada ahli panel yang lain, iaitu Liew Chin Tong (ahli parlimen Bukit Bendera-DAP) dan Low Chee Chong (ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR), malah audiens sendiri semasa sesi soal-jawab.

Demikianlah senario yang berlaku dalam satu forum bertajuk “PM baru? UMNO baru?”, yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

UMNO tidak sedia berubah…

Sejajar dengan hujah dalam “media arus perdana”, Dominic Lau mengulas dengan panjang lebar bagaimana teks ucapan pemimpin UMNO utama memperlihatkan “keterbukaan” dan “keinginan untuk berubah”. Malah, pindaan perlembagaan UMNO juga dilihatnya sebagai “tindakan” (bukan sekadar janji mulut) untuk memerangi rasuah dalam UMNO.

Walaupun “menyambut baik” apa yang berlaku dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini, Dominic Lau tetap menjadi serba-salah untuk menjawab sama ada UMNO telah belajar dari pengajaran “tsunami politik” 8 Mac 2008 atau tidak, hanya disimpulkan dengan “saya berharap demikianlah”.

Hujah Dominic disanggah kemudiannya oleh Low Chee Chong apabila menyindir apa yang beza dengan UMNO dahulu hanyalah “kroni baru dengan slogan baru”. Low mendakwa kroni dahulu kini digantikan dengan adik Najib, dan slogan 1Malaysia yang “kononnya” dibeli daripada syarikat perunding imej dengan RM20 juta.

Low yang halus dalam pengamatannya, memetik beberapa hujah daripada perwakilan untuk menyokong dakwaannya bahawa UMNO masih berada di takuk lama. Misalnya, perwakilan yang mencadangkan agar jawatan tinggi dalam syarikat GLC (Goverment Linked Company) diberi hanya untuk ahli UMNO yang setia; menuduh parti komponan BN lain yang menyebabkan kekalahan UMNO dan cadangan agar peruntukan kepada negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dihentikan.

Low juga menyentuh beberapa adegan dalam perhimpunan UMNO yang menunjukkan ketidaksediaan perwakilan untuk berubah. Misalnya, apabila Presidennya, Najib Razak bertanya adakah peruntukan wang diperlukan untuk berdialog dengan rakyat? Perwakilan memberi jawapan “Ya”, walaupun apa yang diharapkan oleh Najib adalah “tidak”.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang secara peribadi berpendapat agar “media internet harus dibenarkan untuk membuat liputan dalam Perhimpunan UMNO”, tetap tidak dipeduli walaupun cadangan yang sama telah diutarakan tahun lalu. Low mempersoalkan, “seandainya perkara sekecil ini pun tidak mampu diubah, apakah kita masih menaruh harapan bahawa Khairy akan mereformasikan sistem negara? Mansuhkan Dasar Ekonomi Baru?”

Malah, Low juga tidak terlepas untuk menyerang Dominic yang mendakwa bahawa UMNO menang di Bagan Pinang kerana meletakkan “orang tempatan” sebagai calon. Low yang berbeza pandangan menganggap UMNO gagal menampilkan calon yang baru, daripada tiga juta orang ahli, dan terpaksa akur kepada “pembesar lama” seperti Isa Samad walaupun tercalit kerana terlibat dalam politik wang.

Dengan itu, Low meragui kemampuan UMNO untuk berubah kerana Najib terpaksa tunduk kepada ugutan ahli UMNO tempatan, yang mahukan agar pemimpin mereka dicalonkan. Persoalan ini jikalau didalami, adalah persoalan struktur yang tidak boleh ditangani sekadar dengan “imej” dan “slogan” baru.

Konsep pengasingan antara Parti-Negara

Liew Chin Tong menyusuli “persoalan struktur” ini dengan menceritakan apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar ketika diajukan soalan berdasarkan hujah perwakilan UMNO yang mencadangkan agar peruntukan kepada negeri PR dihentikan, tetap mempertahankan hujah tersebut.

Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, bertanggapan bahawa “tiada salahnya jikalah menggunakan jentera parti untuk melaksanakan dasar kerajaan”. Liew melihat hujah sedemikian sebagai minda lama yang tidak “mengasingkan antara parti dengan negara”.

Liew Chin Tong seterusnya menggunakan tragedi “perkhemahan 1Malaysia” yang meragut tiga nyawa sebagai contoh untuk mengulas pandangannya. Untuk beliau, kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak berlaku kerana masalah “kontraktor”.

Beliau memetik statistik bahawa terdapat 46,000 orang yang mendaftar sebagai kontraktor kelas F di Malaysia pada tahun 2005. Kebanyakan kontraktor ini adalah ahli UMNO, dan mereka yang mendapat projek adalah mereka yang berhubungan rapat dengan UMNO.

Oleh itu, Najib Razak menawarkan 40,000 kontrak dalam pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkannya selaku PM merangkap Menteri Kewangan, padahal pekej rangsangan ekonomi negara lain memberi penekanan kepada “mewujudkan peluang pekerjaan”.

“Di Malaysia, pekaj rangsangan ekonomi hanya mewujudkan peluang pekerjaan untuk budak UMNO…,” katanya.

Dilema UMNO

Liew Chin Tong yang aktif dalam Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) sebelum terpilih sebagai ahli parlimen berkata, walaupun kaum Cina hanya kira-kira satu perempat daripada jumlah populasi Malaysia, namun mencatat lebih 30% dalam struktur pengundi. Keadaan ini berlaku kerana terdapat empat juta warga Malaysia yang layak tetapi belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, dan kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu.

“Inilah dilema UMNO. Mereka tidak berani memujuk lapisan genarasi muda Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi, kerana tidak yakin bahawa golongan ini akan mengundi UMNO. Mereka hanya berani menggalakkan ahli UMNO untuk mendaftar diri sebagai pengundi,” ulasnya.

Liew mengulangi cadangannya agar usia kelayakan pengundi diturunkan kepada 18 tahun, dan didaftarkan secara automatik mengikut kad pengenalan. Liew berkata, negara yang mengamalkan pilihan raya di Asia Tenggara kesemuanya menggariskan umur 18 tahun sebagai usia kelayakan, kecuali Malaysia dan Singapura. Malah, di Australia, mereka yang berumur 17 tahun sudah berhak untuk mengundi.

Liew juga mencadangkan agar warga Malaysia yang genap umur akan didaftarkan secara automatik, berdasarkan maklumat dalam kad pengenalan.

MerdekaReview edisi bahasa Melayu

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More