Rakyat perlu selesaikan segera masalah dalaman, harus berhati-hati dengan fitnah dan pembohongan

Melalui urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan sejak hampir dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Saudara Lim Guan Eng di Pulau Pinang telah banyak membantu rakyat berpendapatan rendah di Pulau Pinang terutamanya orang Melayu dan Islam.

Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk membebaskan pentabiran negeri khususnya urusan kewangan yang bebas dari rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi. Usaha-usaha ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pegawai dan kakitangan awam yang ikhlas, jujur dan bertekad untuk berkhidmat untuk rakyat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya membasmi masalah kemiskinan tegar yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Islam dengan memberi imbuhan supaya memastikan setiap keluarga miskin mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM500.

Kerajaan Negeri juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz, peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan menambah peruntukan hal-ehwal Islam kepada RM20.5 juta pada tahun 2009 dan meningkat lagi keada RM24.3 juta bagi tahun 2010; lebih tinggi daripada yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan sebelum ini.

Hasil daripada semua usaha ini, termasuk pendekatan berhemat, telah dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan jabatan Kerajaan Negeri di mana dalam anggaran Belanjawan 2008, defisit RM35 juta telah berubah kepada lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit sebanyak RM40 juta telah ditukarkan kepada lebihan RM77 juta.

Oleh itu, apabila timbul masalah di mana ada segelintir ahli politik dari parti komponen Pakatan Rakyat telah menuduh Lim Guan Eng sebagai “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis”, ia adalah dakwaan yang tidak berasaskan dan boleh mewujudkan satu ketegangan yang meresahkan rakyat.

Semua pihak yang terlibat perlu sentiasa ingat bahawa matlamat dan fungsi parti politik hanya untuk membawa rakyat kepada kebaikan dan berkhidmat sebagai wakil kepada rakyat, dan bukannya berlagak menjadi tuan. Tidak ada yang lebih penting kecuali untuk kepentingan rakyat.

Untuk menangani dan menyelesaikan masalah ini, semua pemimpin, anggota dan penyokong Pakatan Rakyat harus kembali merujuk kepada dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui dalam satu perhimpunan bersejarah di Shah Alam, Selangor pada 19 Disember, 2009.

Dalam persetujuan sebulat suara Muafakat Baru Untuk Rakyat Malaysia, semua parti komponen Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memebasmi “faham perkauman sempit, politik adu domba dan demokrasi otoritarian” serta “menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia tanpa mengira kaum”.

Semua pemimpin, anggota dan penyokong Pakatan Rakyat juga harus sentiasa berwaspada dengan dakyah dan fitnah yang berbau perkauman yang disebarkan oleh media arus perdana milik UMNO dan Barisan Nasional. Media-media ini menutup berita-berita tentang usaha murni Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam membangunkan negeri serta membantu rakyat miskin terutamanya orang Melayu. Sebaliknya, media-media ini akan terus memutarbelitkan usaha-usaha Saudara Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri bersama sahabat-sahabatnya dalam Pakatan Rakyat.

Golongan yang tidak mampu menawarkan keadilan, peluang saksama dan amalan demokrasi hanya mampu bergantung kepada fitnah dan dakyah perkauman untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat. Politik, kewartawan dan propaganda yang jijik ini mesti ditolak oleh rakyat Malaysia yang cintakan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian.

Dengan itu, masalah yang timbul sekarang perlu diselesaikan dengan segera oleh kepimpinan Pakatan Rakyat supaya ia tidak akan terus menjadi bahan fitnah oleh pihak-pihak yang benci dengan usaha membasmi penyelewengan dan perpaduan kaum.

Liew Chin Tong

Harakah
merdekareview.com

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More