
Apa itu demokrasi sosial
- 24 May 2011
- Uncategorized
Perdebatan ideologi jarang mendapat tempat dalam politik Malaysia yang selalunya disemarakkan dengan jalan pintas atas isu-isu perkauman dan etnik. Politik jenis jaga parit dan longkang serta serapah “makan, minum dan bergembira” adalah cermin hakikat semasa yang meminggirkan idea dan idealisme.
“Individu yang praktikal, yang percaya mereka terkecuali daripada apa-apa pengaruh intelektual, selalunya menjadi hamba kepada ahli ekonomi yang sudah tidak wujud lagi. Orang gila yang memegang kuasa, yang mendengar suara-suara atas angin, menyuling kegilaan mereka dari beberapa penulis akademik sejak beberapa tahun lalu,” menurut pemerhatian John Maynard Keynes.
Dengan itu, memang tidak memeranjatkan kita bahawa istilah DEB telah digunakan buat kali pertama kali digunakan oleh Lenin pemerintah Soviet Union pada tahun 1920-an. Sistem komunis Soviet pada masa itu menggalakkan perdagangan dan keusahawanan untuk membolehkan Russia membangunkan ekonomi yang telah pincang. Tujuannya ialah merapatkan jurang di antara miskin dan kaya.
Walau pun sistem itu kemudian diubah kembali kepada kuasa penuh kerajaan komunis di bawah rejim Stalin, idea dasar itu menjadi popular di kalangan kiri sederhana di Eropah dan Amerika Utara. Ia dilihat sebagai jalan keluar dari pertikaian sistem kapitalis dan komunis, jalan tengah untuk memenuhi keperluan majoriti rakyat. Dasar itu adalah satu daripada tonggak utama demokrasi sosial.
DEB di Malaysia mewarisi idea intelektual daripada tindakan afirmatif yang dipopularkan oleh golongan kiri sederhana di Eropah dan Amerika Utara, terutamanya Fabian Society – badan pemikir Parti Buruh British yang pernah disertai oleh Tun Abdul Razak sewaktu beliau belajar di London.
Malangnya, idealisme demokratik sosial untuk memastikan kesaksamaan peluang dalam masyarakat telah dirampas oleh elit pemerintah di Malaysia untuk menghalalkan diskriminasi berasaskan perkauman. Dalam kata lain, idea dan idealism adalah sesuatu yang asing dalam politik Malaysia, atau ia dimanipulasi untuk kepentingan elit pemerintah. Oleh itu, tidak mengejutkan jika perkembangan ideologi sejak 1970-an mula pudar apabila ia perlahan-lahan digantikan oleh isu-isu perkauman dan etnik yang belum selesai sehingga hari ini.
DAP yang menyedari masalah ini telah mengorak langkah lebih awal lagi. Berikutan tekanan politik dan amalan autokratik kerajaan Barisan Nasional termasuk penguasaan media dan manipulasi institusi-institusi seperti kehakiman, polis, agensi pencegahan rasuah dan korupsi, serta cara-cara yang melanggar batas demokrasi dan keadilan, usaha-usaha reformasi oleh DAP terbantut kerana terpaksa menangkis serangang-serangan berkenaan.
Namun, setelah melangkah masuk abad ke-21, di mana rakyat sedikit-sebanyak telah mula menyedari kepincangan sistem politik dan pemerintahan negara, DAP berpeluang untuk menghidupkan semula usaha ke arah pembaharuan yang dicita-citakan. Ia bermula dari diri sendiri. Pindaan kepada prinsip-prinsip asas Perlembagaan DAP pada 2006 adalah sesuatu yang menarik dan jarang berlaku dalam persekitaran yang mediocre atau lebih kurang, kerana ia memartabatkan kembali dan menegaskan semula kepentingan ideologi.
DAP meminda matlamat pertamanya daripada “berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak sosialis demokratik di Malaysia” kepada “berjuang menerusi perlembagaan Parlimen untuk mewujudkan demokrasi sosial di Malaysia.” Sementara terdapat perbezaan kecil dalam penekanan di antara sosialisme demokratik dan demokrasi sosial dalam sejarah perdebatan ideologi di Eropah, ianya selalunya digunakan secara bertukar-tukar di Eropah, dan di kalangan DAP. Kebebasan, keadilan, kesaksamaan, perpaduan dan keamanan menjadi nilai-nilai teras dalam gerakan kiri sederhana.
Namun, ianya menjadi perbezaan besar dalam konteks politik di Malaysia. Dengan menggantikan istilah “sosialisme” yang telah disalahtafsirkan secara meluas dengan istilah “demokrasi sosial”, ia akan menutup peluang musuh politik DAP untuk memberi gambaran salah atau memburukkan parti.
Klausa 5 dalam pindaan tersebut juga menjadi langkah yang signifikan. “Untuk meneruskan dan mengakui bahawa Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan; dan menjamin kewajipan tugas dan hak untuk menggalakkan status, mengembang, belajar dan menggunakan bahasa ibunda lain termasuk Cina, Tamil, Inggeris dan bahasa-bahasa di Sabah dan Sarawak.” Intipati pindaan itu ialah untuk menggalakkan sebuah negara Malaysia untuk semua rakyat Malaysia menerusi platform perlembagaan bersama berasaskan Perlembagaan Merdeka 1957 yang asal.
BN telah menempatkan diri di “pusat” dalam spektrum politik berasaskan etnik dengan mendakwa mewakili semua kumpulan etnik dan berdiri di tengah-tengah kuasa di antara orang “Cina” (label BN untuk DAP) dan pembangkang Islam. Menafikan peluang pembangkang untuk menerangkan kepada awam, BN menggunakan media arus perdana dan sistem pendidikanuntuk menanam mitos ini.
Pindaan perlembagaan DAP adalah usaha untuk mencapai kedudukan “tengah”. Ia adalah langkah yang tepat untuk masa depan yang menyasarkan perakuan semula kepada prinsip asas DAP, di samping memperluaskan pengaruh, terutama di kalangan orang Melayu. Dalam usaha menyebarkan ideal demokrasi sosial di Malaysia, DAP akan memperlihatkan diri sebagai parti untuk semua kaum, dengan penekanan dibeirkan kepada peningkatan tahap kemahiran dan kehidupan golongan kelas rendah dan pertengahan.
Demokrasi akan hanya berkembang jika kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan Melayu miskin yang nama mereka digunakan oleh elit pemerintah untuk mengaut jutaan ringgit daripada kekayaan negara, mula hidup dalam keadaan yang lebih baik berbanding yang ada.-
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.