
Jurukamera Malaysia terkorban di Somalia: DAP hulur takziah
- 3 September 2011
- Uncategorized
Kenyataan Media Setiausaha Antarabangsa Parti Tindakan Demokratik Merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong pada 3hb September 2011
Jurukamera Malaysia terkorban di Somalia: DAP hulur takziah
Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama yang terkorban semasa bertugas di Mogadishu, ibu kota Somalia, yang dilanda kemarau dan peperangan. Berita pemergian Allahyarham di kala keluarganya menyambut Syawal menyedihkan seluruh Rakyat Malaysia.
Allahyarham Noramfaizul berada di Somalia sebagai salah seorang daripada anggota pasukan media yang membuat liputan lawatan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI ke negara tersebut. Beliau terkorban terkena tembakan apabila kenderaan yang dinaiki diserang tentera pemberontak. Dalam kejadian tersebut, seorang lagi jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.
Menurut NGO media antarabangsa “Reporters Without Borders”, Somalia merupakan negara Afrika yang paling merbahaya kepada anggota media dengan 23 kematian anggota media sejak 2007.
Semangat Allahyarham dan pasukan media yang bertugas mengiringi lawatan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI tersebut amat disanjungi kerana keberanian mengharungi cabaran atas amanat sebagai anggota media. Namun, DAP ingin menegaskan bahawa pihak penganjur misi ke zon merbahaya seperti Somalia perlu mengambil serius segala protokol keselamatan terhadap anggota rombongan. DAP juga menggesa agar satu siasatan dijalankan ke atas kejadian ini termasuk mengenalpasti jika wujud jurang dalam perlaksanaan aspek keselamatan.
Liew Chin Tong
Setiausaha Antarabangsa
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.