Hari Malaysia

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat di dalam mesyuaratnya pada 15hb. September, 2011 telah memutus dan mengambil ketetapan bahawa:

a) Langkah kerajaan BN untuk mengiktiraf 16hb Sept sebagai Hari Malaysia esok ( itupun hanya selepas 48 tahun ianya berlaku!) adalah kerana tekanan bertalu-talu dari berbagai kalangan rakyat Malaysia sendiri sesudah Pilihanraya 2008.

Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak berbelah-bagi untuk menghormati serta mengangkat martabat Negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia melalui Desentralisasi Fiskal seperti yang terkandung di dalam Buku Jingga (sebagai contohnya pada halaman 31: menjamin royalty sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.)

b) Sebagai memperingati hari ulangtahun Dato Seri Najib Tun Razak mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan dari Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun tahun lalu. Untuk makluman awam, pada 17hb September 2008, Dato Seri Najib telah menemui PM ketika itu untuk memberi tekanan lanjut kepada Dato Seri Abdullah untuk menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan tersebut kepadanya.

Pakatan Rakyat ingin memperingati peristiwa tersebut kerana sepanjang 3 tahun kebelakangan ini semenjak Dato Seri Najib mengambil-alih jawatan tersebut:

Kementerian Kewangan di bawah pimpinan beliau telah tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Malaysia dari perangkap negara berpendapatan pertengahan iaitu Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk penandaan sekuriti minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk caj telefon prabayar.

Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.

Pakatan Rakyat juga turut maklum bahawa DS Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga UMNO.

Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal dimana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik .

Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Dato Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada DS Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh ataupun beliau juga akan turut menerima kunjungan yang tidak diundang.

DIKELUARKAN BAGI PIHAK SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT Oleh wakil-wakil parti:

YB DR. DZULKEFLY AHMAD, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Islam SeMalaysia
YB LIEW CHIN TONG, Setiausaha, Hal-ehwal Antarabangsa Democratic Action Party
YB R. SIVARASA, Parti Keadilan Rakyat

15hb September 2011

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More