Konteks politik kes Anwar Ibrahim

9 JANUARI – Tiga tahun setengah selepas Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polisnya yang pertama pada 28 Jun 2008, kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berakhir hari ini. Mahkamah Tinggi mendapati Anwar tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful.

Adalah penting untuk kita melewati konteks politik kes ini, khususnya peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara April dan Julai 2008.

Kita tidak boleh lupa bahawa pada 8 Mac 2008, para pengundi Malaysia telah mencipta tsunami politik dengan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dan menghadiahkan Pembangkang dengan lima negeri untuk diperintah.

Pergolakan dalaman UMNO

Mengimbas kembali, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri pada masa itu perlu dipuji atas kesanggupan beliau untuk menerima dengan hati terbuka keputusan pilihan raya umum pada awal pagi 9 Mac 2008, seperti mana yang disiarkan dalam TV yang menjadi tontonan rakyat Malaysia.

Tetapi tidak semua pemimpin UMNO bersetuju dengan beliau. Bukan sahaja mereka menyalahkan Abdullah kerana keputusan pilihan raya yang memalukan BN itu, ramai juga yang memikirkan bahawa UMNO boleh melakukan “sesuatu” untuk mengubah keputusan tersebut.

Dua kem yang bertentangan membawakan dua strategi berbeza. Di satu pihak, kumpulan sederhana menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara dua parti dan Pembangkang adalah lawan sah yang perlu dihormati dan bukannya musuh negara yang perlu dihancurkan. Di pihak yang lain, puak pelampau mengemukakan pandangan yang bertentangan.

Kumpulan pelampau menyangka mereka boleh menghancurkan Pembangkang dengan strategi tiga serampang: Menghapuskan Anwar dari senario politik negara, memujuk PAS menyertai BN dan memomokkan DAP sebagai parti cauvinis Cina untuk menakutkan pengundi Melayu.

Pada 14 April 2008, dalam satu perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman sempena kembalinya beliau ke arena politik aktif, Anwar telah menambah satu elemen mengejutkan dalam suasana politik yang sudah pun mengelirukan pada masa itu. Beliau mendakwa bahawa Pakatan Rakyat boleh membentuk kerajaan pusat dengan mudah.

“Kita katakan buat kali pertama bahawa kita bersedia (untuk memerintah). Tetapi kita hanya akan berbuat demikian apabila mendapat majoriti yang selesa,” katanya. Untuk beberapa bulan selepas itu, Anwar mengulangi dakwaan itu yang sepatutnya menjadi kenyataan pada 16 September, 2008.

Pada 19 Mei 2008, satu lagi kejutan meledak. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO, dengan menyalahkan Abdullah sebagai punca prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum.

Abdullah ditarik dari kiri dan kanan. Anwar sibuk memujuk kumpulan moderat dalam kerajaan untuk meninggalkan BN manakala kumpulan pelampau, yang mengelilingi Dr Mahathir, berkomplot untuk menjatuhkan Abdullah.

Datuk Seri Najib Razak, yang biasanya berhati-hati, tidak mungkin membuat sebarang keputusan untuk berada di pihak mana pada masa itu.

Bagaimana saya bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, bagaimana kita mula dengar tentang Saiful

Saya berjumpa Najib di forum 7th IISS Shangri-La Dialogue di Singapura pada 1 Jun 2008 dan berbual selama 10 minit dengannya sebelum beliau naik ke pentas untuk memberi ucapan di persidangan tersebut.

Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak ada kena-mengena dengan kes Altantuya, beliau bukan seorang rasis, dan dalam suasana pasca-PRU12, ia adalah masa untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri-negeri “Pembangkang”.

Apabila saya berkongsi pengalaman ini dengan kawan-kawan yang biasa dengan Najib dan elit pemerintah, mereka semua terkejut kerana perkara pertama yang Najib ceritakan kepada “orang luar” seperti saya adalah kes Altantuya. Barangkali kes itu sentiasa dalam fikirannya pada masa itu.

Pada 4 Jun 2008, dalam satu sidang akhbar yang panjang lebar, Abdullah mengumumkan bahawa harga petrol akan naik 78 sen, iaitu kenaikan 40.6 peratus daripada RM1.92 seliter kepada RM2.70 seliter, manakala harga diesel naik RM1.

Negara dikejutkan dengan pengumuman itu. Kepada rakyat, mengubah kerajaan menjadi satu pilihan, lebih baik jika berubah cepat. Sokongan kepada BN merudum lebih teruk berbanding sewaktu PRU Mac 2008.

Pada 18 Jun 2008, Parti Maju Sabah (SAPP), yang mempunyai dua kerusi Parlimen, mengumumkan keluar BN.

Gabungan parti pemerintah kelihatan seperti kapal yang sedang tenggelam.

Pada 23 Jun 2008 apabila Parlimen bersidang untuk sesi keduanya, satu usul tentang kenaikan harga minyak telah dibentangkan oleh kerajaan untuk dibahas dan diundi. Daripada perbualan peribadi saya dengan Ahli-Ahli Parlimen BN, jelas mereka marah dan kecewa dengan kenaikan harga minyak. Sehingga ada yang membayangkan bahawa melompat parti bukan sesuatu yang buruk.

Justeru, idea untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru menjadi sesuatu yang tidak mustahil lagi pada masa itu.

Tiba-tiba pada Sabtu 28 Jun 2008, muncul seorang lelaki bernama Saiful Bukhari. Semua orang tahu apa yang terjadi selepas itu.

Detik-detik tegang

Pada 15 Julai 2008, Anwar sebagai Perdana Menteri alternatif berdebat dengan Shabery Cheek yang menjadi Menteri Penerangan pada masa itu tentang kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen TV. Ia adalah kemenangan mudah untuk pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Sesungguhnya, ia adalah kemunculan Anwar yang positif di kaca TV dalam satu dekad sejak beliau disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.

Pada tengah hari keesokannya, sepuluh kereta polis, separuh daripadanya tidak bertanda, dengan dua puluh komando beropeng, telah menyerbu kereta yang membawa Anwar dekat rumahnya untuk menangkapnya. Beliau telah menjadi musuh negara nombor satu.

Maka bermulalah tiga tahun setengah yang getir buat Anwar kerana BN, mulanya di bawah Abdullah dan kini Najib, cuba mengganggu tumpuan Anwar untuk mengambil alih kuasa kerajaan, dengan kes yang lekeh dan leceh atas tuduhan liwat buat kali kedua sejak 1998.

Dengan keputusan Mahkamah pada hari ini, para pemimpin BN seharusnya sedar bahawa isu itu tidak perlu berlaku sama sekali. Masa yang BN pinjam daripada ruang pembuangan sisa dalam usus Saiful telah pun tamat.

Mengenang kembali, saya yakin bahawa BN memang telah berjaya menggunakan kes Saiful untuk mematahkan percubaan mengubah kerajaan, yakni 16 September 2008, dan mematikan hasrat Ahli-Ahli Parlimen BN untuk melompat parti.

Tetapi tidak lama lagi, Najib dan BN perlu membayar harga konspirasi politik mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More