UMNO beralih ke haluan kanan perkauman

7 FEBRUARI – Apabila saya keluar dari bilik hotel untuk menghadiri satu mesyuarat tertutup di Port Dickson pada Julai 2005, saya masih ingat yang saya memegang senaskah akhbar yang memaparkan gambar Hishammuddin Hussein menghunus keris di dada akhbar tersebut. Pada saat itu, saya tahu UMNO telah mengucapkan selamat jalan kepada penyokong-penyokong kerajaan dari kalangan masyarakat bukan Melayu.

Sesungguhnya, apabila difikirkan kembali, ia adalah detik penting pada dekad itu: politik UMNO telah bertukar arah ke haluan kanan perkauman manakala Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi sudah hilang kawalan ke atas agenda reformasinya sendiri. Detik berakhirnya kepimpinan Abdullah, sebagai peluang terakhir untuk UMNO meformasi diri, bermula pada Julai 2005.

Hari ini, kecuali jika Perdana Menteri Najib Razak berani berdepan dengan haluan kanan partinya, sebagaimana berkesannya kompromi besar Wawasan 2020 Dr Mahathir Mohamad, dan mampu mengembalikan tujuh tahun yang silap kepada jalan tengah, maka peristiwa-peristiwa Julai 2005 yang terkumpul sehingga sekarang akan membawa kepada kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional.

Sebagai peringatan kepada Najib, pemimpin agungnya Mahathir dengan pedih hati telah sedar dalam pilihan raya 1990 bahawa andaian tahun-tahun 1970-an yang mana UMNO boleh mendapat sokongan 70 peratus undi Melayu sudah tidak lagi berlaku. Orang Melayu secara amnya telah menerima pendidikan yang lebih baik dan pendedahan yang lebih meluas, menjadikan pendirian politik mereka lebih canggih.

Peningkatan kadar kehadiran Melayu di bandar juga menghakis sokongan kepada UMNO – satu-satunya parti dengan jentera sokongan luar bandar yang paling hebat.

Saingan sebagai alternatif kepimpinan Melayu timbul dalam bentuk kerjasama PAS dan Semangat 46 pada 1990-an, dan diikuti dengan fenomena Anwar Ibrahim yang telah dipecat dan dipenjarakan oleh Mahathir pada 1998, terus menghakis kubu Melayu untuk UMNO.

Yang dimenangi hati mereka oleh Mahathir melalui kompromi besar Wawasan 2020 adalah golongan kelas menengah bukan Melayu yang membantu mengekalkan kuasa UMNO dan BN sepanjang Februari 1991 hingga Julai 2005.

Tetapi mengapa UMNO begitu kurang cerdik menukar haluan ke arah kanan dengan politik perkauman dalam perhimpunan agungnya pada Julai 2005?

Sebab-sebab mengapa

Selepas berada di tampuk kuasa selama 21 bulan sejak 31 Oktober 2003, faktor-faktor kelebihan kepimpinan Abdullah, dengan janji-janji reformasinya, semakin lenyap dan kelemahan pentadbirannya semakin terserlah.

Sikap Abdullah yang cakap-tak-serupa-bikin tidak banyak membantu keadaan. Lebih teruk lagi, dari sudut pandangan para pecacai UMNO yang pandai menagih projek, adalah perkara-perkara yang mereka tidak sukai telah dibangkitkan oleh Abdullah.

Dalam pendiriannya tentang dasar kerajaan, Abdullah mula lepas cakap dalam ucapan “infrastuktur dunia pertama, mentaliti dunia ketiga” di majlis Oxbridge Society pada Mac 2003 di mana pada masa itu beliau menjadi pemangku Perdana Menteri apabila Mahathir bercuti dua bulam.

Ucapan Abdullah memperlekehkan keutamaan-keutamaan Mahathir, antaranya, mahu memansuhkan projek-projek pembinaan besar oleh kerajaan, mengurangkan defisit belanjawan negara dan memulakan usaha menentang rasuah.

Apabila menjadi Perdana Menteri, Abdullah membatalkan beberapa projek kesayangan Mahathir dan mengkaji semula komitmen perbelanjaan kerajaan. Peluang-peluang kroni UMNO untuk “buat duit” tiba-tiba terhenti. Menambah luka di hati golongan itu, beberapa projek itu dikatakan ada campur tangan “Tingkat Empat” – pejabat para penasihat muda Abdullah di Putrajaya.

“Perkara yang paling sukar saya terpaksa lakukan sebagai Perdana Menteri setakat ini adalah untuk mengurangkan defisit belanjawan negara,” katanya sempena setahun menjadi Perdana Menteri.

Abdullah memberitahu hadirin di Harvard Club pada 5 Mei 2005 bahawa “ekonomi negara telah biasa dengan pump priming kerajaan (kerajaan memperuntukkan kontrak dan projek) sejak 1998 dan keputusan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara, telah dianggap sebagai usaha menarik balik sumber pendapatan selesa kepada banyak pihak”.

Beliau sedar bahawa, bagi kelas yang hanya mengharapkan projek kerajaan itu, telah wujud “rasa bahawa ada sesuatu yang sudah tidak lagi bergerak pantas seperti sebelumnya” dan bagi mereka yang mahu melihat reformasi tulen, “semakin tidak sabar untuk melihat pelbagai perubahan berlaku”.

Abdullah meminta semua pihak bersabar. “Saya komited untuk memastikan kejayaan dasar, strategi dan janji-janji saya. Saya bukan sahaja seorang insan yang berniat baik, saya juga seorang manusia yang mahu melihat kejayaan pelaksanaan. Saya bukannya jenis orang yang suka menunjuk-nunjuk, bergaya atau menggunakan kata-kata kesat, jadi mungkin saya tidak banyak memberi sebarang isyarat. Tetapi itu adalah soal gaya, dan bukan isinya”.

Serangan Mahathir

Salah seorang pemimpin yang hilang sabar dengan Abdullah adalah Mahathir. Khabar-khabar angin tentang Mahathir meluahkan kekecewaannya di belakang tabir telah meluas sejak pertengahan 2004, khususnya selepas pembebasan Anwar Ibrahim dari penjara pada 2 September 2004.

Mahathir hanya melancarkan serangannya secara terbuka terhadap pentadbiran Abdullah pada akhir Mei 2005 dengan mengecam bekas penyokong setianya Rafidah Aziz dalam isu permit AP kereta import. Isu itu menjadi buah mulut umum untuk beberapa bulan lamanya.

Mahathir menjadi tumpuan suara penentangan dalam UMNO, khususnya daripada kelas yang amat mengharapkan projek kerajaan, manakala lambang reformasi Abdullah semakin tercalar. Kedudukannya seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Setahun kemudian, Mahathir meningkatkan serangannya dengan kecaman peribadi terhadap Abdullah.

Pada masa yang sama, heboh pula tentang Rancangan Malaysia Kesembilan yang akan diumumkan pada tahun berikutnya. Abdullah menggunakan RMK9 sebagai alasan untuk menunda keputusan-keputusan tentang pelbagai projek.

Kelas yang mengharapkan projek kerajaan serta mengumpul pendapatan melalui projek tersebut semakin ghairah mahu merebut peluang, dan tentunya mahu mengambil kesempatan menggunakan perhimpunan agung UMNO untuk meluahkan rasa hati mereka.

Ucapan dasar presiden UMNO pada Khamis 21 Julai 2005 meneruskan corak pemikiran Abdullah sejak 2003, iaitu “kerajaan tidak akan dapat selama-lamanya berperanan sebagai ‘Santa Claus’, menganugerahkan pemberian sepanjang musim. Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu mempersiapkan diri beralih ke sektor lain”.

Menurut Abdullah, “Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor ‘kelas F’.

“Hampir kesemua kontraktor ini mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih 63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350); sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000 penduduk (1:10,000).”

Tetapi segala-galanya sudah terlambat. Tidak ada sesiapa pun dalam UMNO yang berminat untuk mendengar amanatnya. Mereka yang di luar parti pula sudah hilang keyakinan dengan agenda reformasi Abdullah.

Hishammuddin dan kerisnya

Sehari sebelum itu dalam perhimpunan Pemuda UMNO, Hishammuddin Hussein secara kurang bijak telah menjadikan dirinya tumpuan ramai dengan keris yang dihunusnya. Sebagai elit politik yang berpendidikan Barat, Hisham sentiasa tertekan untuk membuktikan keMelayuannya. Dan panggilan pondan oleh rakan sejawatannya dari PAS mungkin memaksa beliau menggunakan kata-kata ugutan dan keganasan untuk membuktikan kepimpinan Melayunya.

Perbuatan Hisham menghunus keris dipakejkan dengan “Agenda Melayu” dan suara mahu menghidupkan kembali Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), di mana Mahathir telah melembutkan nadanya dengan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan kemudiannya Dasar Wawasan Negara (2001 dan seterusnya).

Pada saat itu, suara Abdullah sudah tenggelam. Semua perwakilan di perhimpunan agung Julai 2005 menyanyikan lagu perkauman yang sama seolah-olah UMNO kembali ke zaman gemilangnya pada dekad 1970-an. Ia menjadi detik permulaan kejatuhan merudum bagi Abdullah, agenda beliau dan kawalannya terhadap parti.

Mengimbas kembali, mesyuarat tertutup yang saya hadiri di Port Dickson itu telah menjadi satu pertemuan yang amat penting yang akan saya jelaskan dalam bahagian terakhir rencana ini minggu depan.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More