ETP: Perubahan sebenar untuk rakyat atau untung besar korporat?

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pelaburan besar kerajaan Malaysia untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilihat tidak begitu menguntungkan rakyat berbanding para pengarah PEMANDU dan syarikat-syarikat korporat yang selesa dan untung di dalamnya.

Berdasarkan angka-angka yang dikemukakan oleh PEMANDU sendiri, hanya 21 peratus daripada keluaran yang dijana akan pergi kepada gaji pekerja manakala 74 peratus lagi ke dalam poket syarikat-syarikat korporat.

Media pula melaporkan bahawa sejumlah RM66 juta telah dibayar kepada beberapa perunding untuk menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) yang dikepalai oleh Senator Datuk Idris Jala sebagai CEO.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong, kos operasi agensi ini juga tidak murah jika dilihatkan pada purata RM30,000 gaji bulanan yang dibayar kepada setiap seorang daripada lapan pengarah PEMANDU dan RM23,000 sebulan yang dibayar kepada seorang pengarah bersekutu.

“Dengan jumlah besar wang rakyat yang dibelanjakan, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui hasil daripada ETP secara konkrit,” ujarnya.

ETP bermatlamat untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan PEMANDU telah menetapkan matlamat yang amat tinggi, iaitu untuk mencapai RM48,000 Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita, 3.3 juta peluang kerja baru, RM1.4 trilion pelaburan baru dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6% setahun, bermula dari sekarang sehingga tahun 2020.

“Walau bagaimana pun, apabila ETP diperiksa dengan lebih terperinci, seperti yang dilakukan dalam siri ‘Kritikan terhadap ETP’ terbitan Research for Social Advancement (REFSA), kami mendapati ETP tidak seindah yang dikhabarkan.

“Sebagai contoh, kita tetap mampu mencapai RM48,000 PNK per kapita sama ada dengan atau tanpa ETP,” kata beliau.

Beliau juga turut mempersoalkan sejauh mana ETP benar-benar mempengaruhi perubahan memandangkan banyak Projek Permulaan (EPP) yang diumumkan di bawah ETP sebenarnya telah pun dirancang sejak sebelum kewujudan ETP lagi.

“Sejauh mana transformatifnya ETP apabila banyak yang dilakukannya hanyalah mengumumkan penyiapan atau komitmen terhadap projek-projek yang telah wujud sebelum itu, seperti Johor Premium Outlet atau St Regis Hotel?” tanya Chin Tong.

Menurut beliau apa yang lebih membimbangkan ialah sektor korporat seolah-olah mengambil kesempatan daripada ETP untuk mengaut lebih banyak dana awam.

“Satu contoh ialah eco-resort di Sabah, di bawah kumpulan Karambunai yang melonjak daripada anggaran awal berjumlah RM3 bilion dalam belanjawan 2010 kepada RM6.7 bilion dalam laporan Hala Tuju ETP dan seterusnya kepada RM9.6 bilion apabila ia diumumkan sebagai EPP pada tahun 2011.”

Menurut Chin Tong, banyak lagi perkara dalam Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan yang membimbangkan Pakatan Rakyat dan perkara-perkara yang disebutkan di atas tadi hanyalah sebahagian kecil daripadanya. – Roketkini.com

*Forum awam bertajuk: PEMANDU and the ETP: Truly Transformative or Business as Usual? akan berlangsung di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, KL pada jam 8 malam esok (Rabu, 7 Mac).

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More