Tarikh hari lahir sebenar Mahathir

Oleh Liew Chin Tong

Sejak zaman kanak-kanak saya meminati sejarah dan tokoh-tokohnya melalui pembacaan. Tarikh berlakunya peristiwa bersejarah sering terpahat dalam ingatan saya, dan saya agak bangga dengan kemampuan diri untuk mengingatinya.

Namun, dua kesilapan telah menyedarkan saya agar lebih rendah diri. Pertamanya, bilangan ahli Parlimen PAS selepas PRU tahun 1982; keduanya, tarikh hari lahir Mahathir Mohamad.

Pernah bekas Ahli Parlimen Kuching, Sim Kwang Yang menulis dalam ruang pojoknya di Malaysiakini, mengisahkan pengalaman kali pertamanya beliau masuk ke Parlimen pada tahun 1982, dengan “Nik Aziz, satu-satunya Ahli Dewan dari PAS” duduk bersebelahan dengannya. Saya mengandaikan bahawa agak mustahil Sim Kwang Yang tersilap dalam hal ini kerana ia merupakan pengalamannya.

Namun, sesiapa yang merujuk kepada maklumat semestinya sedar bahawa PAS memang hanya tinggal satu kerusi selepas PRU pada tahun 1986. Tetapi pada PRU 1982, PAS sebenarnya menang lima kerusi Parlimen. Oleh itu, apakah mungkin Nik Aziz menjadi “satu-satunya Ahli Parlimen PAS” pada ketika itu?

Kemusykilan saya terjawab pada satu lewat malam, ketika saya berhempas pulas untuk menyiapkan tesis saya. Saya terbaca sejarah bagaimana golongan muda menewaskan golongan veteran yang diketuai Presiden ketika itu, Datuk Asri Muda, pada tahun 1982.

Tiga daripada lima orang Ahli Parlimen PAS telah dibekukan keahlian mereka pada Januari 1983, menyusul langkah Asri untuk menubuhkan parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Seorang lagi pengikut setia Asri, iaitu Abu Bakar Umar, Ahli Parlimen Kota Setar, juga keluar parti selepas itu.

Hari lahir Mahathir pula lebih misteri. Saya masih ingat Ahli Parlimen Barisan Nasional meraikan hari lahir Mahathir di Parlimen ketika bersidang pada Julai 2000. Saya agak pelik kerana dengan jelas tertera dalam catatan sejarah mahupun biografi bahawa hari lahir Mahathir adalah 20 Disember 1925.

Mengapa disambut pula pada Julai? Pada mulanya saya ingat apa yang dirai oleh Ahli Parlimen BN kemungkinan besar adalah sambutan sempena ulangtahun Mahathir menerajui tampuk kuasa pada 16 Julai 1981.

Semasa melanjutkan pengajian di Australia, saya terbaca satu kertas akademik yang dibentangkan pensyarah saya, John Funston pada tahun 1997 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertemakan persoalan warisan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar. Untuk kali pertama saya terbaca bahawa rupa-rupanya hari lahir Mahathir bukan jatuh pada Disember.

Menurut John Funston, bapa Mahathir, iaitu Mohamad yang juga seorang pengetua sekolah, menundakan pendaftaran hari lahir Mahathir untuk memudahkan perancangan waktu Mahathir masuk ke sekolah. Sehingga hari ini saya tidak jelas apakah motif Mohamad, apatah lagi kertas akademik John Funston juga tidak mencatatkan tarikh sebenar hari lahir Mahathir.

Mahathir Mohamad berundur pada akhir Oktober 2003. Dalam satu wawancara bersama The Star, isterinya Siti Hasmah menyatakan bahawa hari lahir Mahathir yang sebenar adalah 10 Julai 1925. Namun Siti Hasmah turut menambah bahawa, anggaplah 20 Disember sebagai “hari lahir rasmi” Mahathir.

(Dr. Mahathir mengesahkan perkara ini kepada Barry Wain dalam bukunya Malaysian Maverick.)

“Hari Lahir Rasmi” biasanya hanya sesuai digunakan untuk Ratu, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan. Misalnya, tarikh keputeraan Sultan Selangor adalah 24 Disember, tetapi tarikh yang ditetapkan secara rasmi adalah Sabtu ketiga pada bulan Disember.

Apa yang menarik dalam buku Mahathir of Malaysia tulisan Robin Adshead, dicatatkan bahawa idola Mahathir ketika zaman mudanya ialah Tsar Peter the Great dari Russia dan Maharaja Meiji dari Jepun. Kedua-duanya mengubah nasib negara mereka yang “mundur” berslogankan “progresif”.

Ia menjadi tajuk akademik yang menarik untuk mengkaji hubungan antara watak individu Mahathir dengan dasar yang digubalnya. Pernah saya memetik hujah Adshead ketika menulis kertas pengaruh Mahathir terhadap Putrajaya, bahawa Mahathir sebenarnya tidak yakin dengan demokrasi, sebaliknya melihat dirinya sebagai “Raja Modenisasi” di Malaysia. Penggunaan istilah “Hari Lahir Rasmi” oleh Siti Hasmah secara kebetulan selari dengan perspektif ini.

Semoga tidak ada lagi jabatan mahupun mana-mana unit kerajaan keliru dengan tarikh sebenar hari lahir Mahathir, malah mengulangi kesilapan Kementerian Penerangan pada tahun 2004 untuk meraihkannya pada Disember.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More