
Bagi pihak generasi Reformasi
- 3 September 2013
- Uncategorized
Satu dekad lalu, pada tarikh ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Dari kamar kekuasaan -seperti yang disebut Anwar dalam surat-surat awalnya dari penjara- beliau diheret ke penjara.
Dari puing-puing dan saki baki runtuhan hayat politik Anwar itu, langsung bangkit sebuah generasi Reformasi. Sepanjang satu dekad yang panjang itu, di samping dipenjara enam tahun pada awalnya dan kemudian menghabiskan begitu banyak masa di luar negara selepas dua tahun dibebaskan, Anwar berjaya membangkitkan sokongan dan kesetiaan dari ramai pihak, sesetengahnya dari rasa simpati manakala yang lainnya merasakan sosok Anwar inilah yang menjadi simbol perlawanan ke arah perubahan dan kematangan.
Namun apa yang indahnya tentang jalan yang begitu panjang ini ialah Reformasi bukanlah semata-mata tentang Anwar; malah sebenarnya tentang kita semua.
Seperti mana yang disebut orang tentang peristiwa pembunuhan JFK, kita semua masih ingat apa yang kita lakukan sewaktu menerima berita pemecatan Anwar.
Saham politik Anwar jatuh merudum pasca Perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998, ketika proksinya Datuk Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam serangan terhadap Dr Mahathir. Menjelang penghujung Julai, di kala Anwar jenuh berusaha untuk menyelamatkan temannya Datuk S. Nallakaruppan dari ditahan polis, ada beberapa penganalisa telah memutuskan bahawa hanya masa yang menjadi penentu bila, tika dan waktunya untuk Anwar beransur-ansur dinyahkan dari lapangan politik.
Sebelum rakyat Malaysia memulakan hujung minggu Hari Kebangsaan tahun itu, pada Jumaat 28 Ogos 1998, sekutu Anwar iaitu Gabenor Bank Negara, Ahmad Don dan timbalannya, Fong Weng Phak telah meletakkan jawatan. Sambutan Hari Merdeka itulah waktu aman sebelum datangnya ribut.
Ada pihak yang menjangkakan Anwar akan bertindak seperti Musa Hitam. Secara naif, kita menjangkakan bahawa jalan keluar yang ada untuk Anwar adalah dengan meletakkan jawatan; memandangkan pemecatan tidak wujud dalam kamus politik negara.
1 September 1998, Mahathir melakukan tambatan wang kepada ringgit. Pada pagi 2 September, kadar tukaran wang RM3.80 kepada 1 dolar Amerika diumumkan.
Kerajaan seringkali memperlihatkan kawalan matawang sebagai penyelesaian kepada krisis ekonomi 1997/98. Tetapi seperti yang disebut Profesor Jomo KS, krisis itu timbul selepas 14 bulan sejak serangan pertama ke atas ringgit. Mungkin cerita yang sebenarnya ialah langkah tersebut dilakukan secara sewenangnya bagi mengelakkan nilai ringgit tambah menyusut disebabkan tindakan Mahathir memecat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangannya yang begitu popular itu.
Jam 5.30 petang, 2 September, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan pihak media dalam satu kenyataan ringkas bahawa Anwar telah dipecat daripada semua jawatan kerajaan.
Dari pejabatnya di Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur, Anwar pulang ke kediaman rasminya yang sudah dipotong bekalan air dan api. Beliau muncul lebih 20 jam kemudian dalam satu sidang media di kediaman peribadinya pada 3 September di Damansara Heights.
Anwar barangkali berada dalam suatu keadaan tahanan rumah di saat-saat awal memandangkan pihak polis tidak tahu apa yang patut dibuat dengannya. Saya tidak terkejut kalau betul pihak polis berkira-kira mahu memberkasnya pada waktu itu juga.
Barangkali satu-satunya sebab Anwar tidak ditangkap dengan segera adalah kerana Sukan Komanwel yang bakal berlangsung pada 11 hingga 21 September.
Anwar kemudiannya dipecat daripada Umno berikutan mesyuarat tergempar majlis tertinggi parti itu yang berakhir sekitar tengah malam 4 September 1998.
Seluruh negara bungkam. Bukan sahaja kerana tindakan mendadak Dr Mahathir tetapi kerana usaha-usaha jahat untuk memburukkan reputasi Anwar melalui beberapa siri afidavit yang dimainkan oleh media arus perdana.
Bersama teman-teman dari New Era College, di mana saya sedang mempelajari sastera Cina, saya menghadiri ceramah spontan yang berlangsung di rumah Anwar pada 6 September. Seperti juga rakan-rakan yang lain, itulah kali pertama saya menghadiri ceramah. Ironi sekali apabila saya terkenang bahawa penceramah pertama pada hari itu ialah Dr Chandra Muzaffar, yang ketika itu adalah pembela Anwar nombor wahid.
Tidak sampai pun seminggu selepas kami menghadiri vigil untuk Lim Guan Eng, yang telah disumbat ke penjara pada 25 Ogos 1998; di luar bangunan Sultan Abdul Samad. Malam-malam itu amat hambar dan menyedihkan.
Di rumah Anwar, khalayak kerap kali melaungkan ‘Reformasi’ dan ‘Allahu Akbar’; sambil Anwar berjanji untuk terus melawan, biar apa pun terjadi. Bagi seorang anak mahasiswa, tidak dapat dinafikan saya amat teruja di tengah-tengah keadaan di mana orang nombor dua dalam negara memilih untuk menentang sistem.
Sambil Sukan Komanwel mula berlangsung, Anwar meninggalkan kediaman peribadinya untuk kali pertama pada 11 September untuk menunaikan solat Jumaat dan seterusnya menjelajah ke seluruh negara sehingga saat beliau ditangkap pada 20 September. Saya melihatnya beberapa kali selepas itu di sebuah pejabat DAP di Kajang, menyatakan solidariti bersama Guan Eng, di mana Anwar mengaitkan nasibnya yang dilihat sama seperti Guan Eng.
‘Grand finale’ siri jelajah Anwar dijadualkan di Dataran Merdeka, pukul 4 petang pada hari Ahad, 20 September. Ratu Elizabeth II menziarahi sebuah gereja tidak jauh dari situ. Puluhan ribu manusia membanjiri Masjid Negara. Bagi saya, pastilah ini kali pertama menjejak kaki ke masjid. Dengan ‘pengakuan’ Dr Munawar Anees dan Sukma Darmawan, sudah kian jelas bahawa Anwar dakan ditangkap tidak lama lagi.
Kumpulan manusia berarak ke Dataran Merdeka, Anwar berlalu pergi sekitar jam 6 petang. Saya dan teman-teman terus bersama satu kumpulan lain seramai 10 ribu orang barangkali berarak menuju kediaman Perdana Menteri.
Sebagai sebuah generasi yang membesar tanpa mengenali Perdana Menteri lain selain Dr Mahathir, kami berarak terus ke Sri Perdana, melaungkan ‘Undur, undur Mahathir’. Ia satu pengalaman yang amat memerdekakan.
Kami sampai di sana sekitar jam 10 malam. Itu kali pertama kami merasai gas pemedih mata dan meriam air. Mereka yang berada di baris hadapan dibelasah teruk oleh FRU.
Saya pulang ke rumah dengan bayangan beberapa wanita Melayu menjerit ‘zalim!’ sambil kami berlari bersama-sama menuju Taman Tasik. Dengan sekelip mata, saya begitu pasti bahawa; seperti juga saya, wanita-wanita Melayu ini yang telah menerima tembakan gas pemedih mata dan meriam air sambil menyaksikan teman-teman lelaki mereka dibelasah FRU; sama sekali tidak akan menyokong UMNO atau Barisan Nasional sepanjang hayat mereka kecuali wujud sebarang perubahan ke arah kebaikan.
Kata orang, pergerakan nasionalis dan kemerdekaan di negara jajahan bermula dengan penghijrahan pelajar dan pekerja ke bandar-bandar sehingga kota raya menjadi sesak. Keakraban yang terbina atas kesulitan selalunya meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Anwar ditangkap pada malam itu; dan selebihnya kini melakar sejarah. Liku-liku Kuala Lumpur pada 1998 penuh tragis, namun menjadi pengalaman yang menaikkan semangat bagi mereka yang melaluinya.
Meski saya berminat dengan politik pada usia yang sangat muda, saya pastinya tidak akan menjadi peserta aktif seawal itu dalam hayat saya jika tidak kerana September 1998. Saya kemudiannya berkempen untuk DAP dalam pilihanraya umum 1999 dan bekerja untuk Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok selepas itu, sebelum melanjutkan pelajaran di luar negara dalam bidang politik dan berjaya mendapat ijazah sarjana muda dengan sebuah tesis tentang PAS.
Beberapa teman yang saya temui melalui aktivisme sejak 1998 kini menjadi pemimpin politik dalam PAS, DAP dan juga KEADILAN. Penghijrahan demi keadilan yang didepani penindasan dan salahlaku kerajaan adalah ikatan yang paling mendalam di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat.
Sepuluh tahun selepas Reformasi telah mengubah haluan hidup ramai orang. Mungkin kini masanya untuk mengubah hala tuju negara dengan roh Reformasi.
Liew Chin Tong, Ahli Parlimen DAP Kluang, berusia 21 tahun ketika beliau menyaksikan hari-hari akhir kebebasan Anwar pada September 1998.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.