
Ekonomi melangkaui batas perkauman
- 6 November 2013
- Uncategorized
Politik pembangkang diselubungi suasana yang sayu selepas PRU11 pada tahun 2004. Penyelewengan pilihan raya, terutamanya di Selangor membakar api kemarahan ketika itu. Saya selaku pengarah kempen untuk calon Bukit Bintang, Fong Kui Lun menerima panggilan kawan dari Selangor, kira-kira jam 4 petang pada hari pengundian.
Beliau bertanyakan sama ada waktu tamat pengundian ditundakan sehingga jam 7 petang? Lantas saya membalas, mustahil! Malangnya, inilah yang berlaku tatkala senarai daftar pemilih mencelarukan keadaan, dan hangat dipertikaikan kemudiannya.
Kekecewaan sedemikian yang mendorong parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan. Pada Julai 2005, pemimpin PAS, PKR dan DAP mengadakan pertemuan di Port Dickson untuk mencari jalan keluar dari kekalahan PRU11. DAP telah menarik diri dari Barisan Alternatif pada 22 September 2001.
Dengan kata lain, tiada hubungan rasmi antara ketiga-tiga parti pembangkang ketika itu. Dengan senario sebegitu, ramai yang tertanya-tanya, apakah politik pembangkang masih menjadi satu kemungkinan di bawah kuasa UMNO-BN yang semakin dominan?
Ketiga-tiga parti pembangkang bersetuju untuk mengetepikan perbezaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada reformasi sistem pilihan raya. Untuk lebih dua tahun kita bertungkus-lumus dan akhirnya “reformasi sistem pilihan raya” menjadi tema untuk mengerah massa ke jalan raya dalam perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007.
Barangkali ia sesuatu di luar jangkaan, memandangkan reformasi sistem pilihan raya pada asalnya bukan isu yang menarik perhatian umum untuk sekian lama. Namun kini ia menjadi tema untuk memobilisasi perhimpunan terbesar dalam sejarah Malaysia. Ringkasnya, dari tahun 2005 sehinggalah pada 5 Mei 2013, tema yang menjalinkan politik pembangkang dan masyarakat sivil melalui BERSIH sebenarnya pendemokrasian politik.
Perhimpunan BERSIH mencetuskan gelombang yang dapat diperlihatkan melalui BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Malah, perhimpunan HINDRAF, perhimpunan anti-ISA, Himpunan Kebangkitan Rakyat 112, siri Himpunan Hijau (anti-Lynas), perhimpunan anti-PPSMI dan sebagainya, memperlihatkan bagaimana rakyat turun ke jalan raya untuk mempertahankan hak mereka, sama ada dari segi pendidikan mahupun keprihatinan terhadap alam.
Tidak dinafikan, BERSIH3.0 pada 28 April 2012 mencapai kemuncak dalam gerakan memobilisasi. Keputusan PRU13 pada 5 Mei 2013 adalah prestasi terbaik yang pernah dicapai pembangkang dalam tuntutannya ke arah pendemokrasian politik. Dan saya berpandangan bahawa kita perlu menerokai gelanggang pendemokrasian ekonomi selepas PRU13.
Cabaran kita, bagaimana kita meyakinkan penyokong bukan Melayu, bahawa ramai lagi Melayu yang masih papa kedana tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan; sementara itu, kita perlu memaklumkan kepada Melayu bahawa bukan kesemua Cina kaya-raya, sebaliknya, kebanyakan mereka masih berhempas-pulas untuk sesuap nasi.
Apa yang kita perlukan adalah solidariti. Kita perlu membebaskan diri dari retorik BN yang mentakrifkan kemiskinan mengikut kaum. Untuk mara ke depan, sudah pasti kita perlu menyuburkan wacana kita di gelanggang “pendemokrasian politik”.
Saya menganggap ia bukan langkah yang bijak untuk terheret dengan politik 3R – Religion (agama), Race (perkauman) dan Royal (raja). Ia sebenarnya perangkap yang dipasang UMNO untuk Pakatan Rakyat. Gelanggang yang harus diterokai dan disuburkan adalah pendemokrasian ekonomi.
Kerajaan BN kini berdepan dengan tekanan kewangan, tetapi ketandusan akal untuk menanganinya. BN masih menyembah mitos bahawa negara kita perlu melahirkan lebih ramai orang kaya untuk diiktiraf sebagai bangsa yang berjaya. Maka cukai pendapatan korporat dikurangkan, ketirisan diabaikan, tetapi pada masa yang sama rakyat jelata diperas dengan GST untuk mengimbangi perbelanjaan dalam bajet.
Justeru itu, adalah tugas kita bersama untuk mengkritik pendekatan ekonomi BN sebegini, dan membuka wacana baru untuk ekonomi kita. Malah, kita perlu bersedia untuk berdepan dengan penyokong tradisional kita, memujuk dan meyakinkan mereka untuk meneliti masalah kemiskinan di luar kerangka perkauman.
Tulisan saya berjudul “GST: Mencukai orang miskin” dalam tiga bahasa, Cina, Melayu dan Inggeris – antaranya menyatakan bahawa golongan miskin lebih terkesan dengan pelaksanaan GST. Saya menerima emel daripada seorang penyokong yang kecewa dengan pendirian saya yang menolak GST. Beliau menganggap GST sebagai “cukai untuk semua”, adalah lebih adil untuk kaum lain kerana Melayu tidak membayar cukai sebelum pelaksanaan GST.
Saya berpendapat bahawa kita perlu membebaskan diri dari minda yang terkongkong dalam kerangka perkauman. Kita perlu memahami hubungan yang saling mengait dalam rangkaian ekonomi yang padahalnya buta warna kulit. Kesemua kita berkongsi nasib yang sama. Seandainya buruh Melayu tertekan dengan kenaikan harga barang sehingga tidak berbelanja, maka pasaran akan rebah sehingga mengundang kemelesetan ekonomi seterusnya. Semua merana tanpa mengira kaum.
Hakikatnya, setiap rakyat Malaysia – sama ada Melayu, Cina, India, kaum asli – kesemuanya berdepan dengan masalah lahir, tua, uzur dan mati, dan kesemuanya terikat dengan keperluan makanan, pakaian, makanan, kediaman dan pengangkutan.
Kesemua kita berdepan dengan bencana alam dan malapetaka manusia. Hanya apabila kita menyedari realiti ini, barulah kita mampu melangkaui retorik BN yang berbau perkauman dalam wacana ekonominya.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.