Tabik kepada wira BERSIH

Saya masih ingat ketika saya berjalan dari bilik saya menuju bilik mesyuarat dalam sebuah hotel di Port Dickson pada Julai 2005. Kebetulan muka depan akhbar The Star dalam tangan saya memaparkan gambar Hishammuddin Hussein yang sedang menjulang keris dalam Perhimpunan Agong UMNO. “Kebetulan” ini sungguh bermakna. Ia membubuh tanda noktah kepada UMNO-Barisan Nasional sebagai parti yang berada di kedudukan pertengahan, sementara pakatan parti pembangkang tumbuh semula, setelah hampir dicantas dalam PRU11 pada tahun 2004.

Presiden UMNO ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan mesej kepada kontraktor dalam ucapan perasmiannya, bahawa kerajaan tidak terdaya lagi memainkan peranan sebagai “santa claus” untuk mengagihkan projek. Tetapi tumpuan PAU 2005 akhirnya dialihkan kepada agenda Melayu dan Dasar Ekonomi Baru yang diapi-apikan oleh sayap Pemudanya.

Padahal UMNO berada di kedudukan pertengahan dalam politik sejak tahun 1991. Tun Mahathir mengambil iktibar dari PRU tahun 1990, bahawa mustahil UMNO memperolehi lebih 70% undi Melayu, lantaran peningkatan taraf pendidikan, proses urbanisasi, kebangkitan kelas menengah dan sebagainya – lebih-lebih lagi apabila masyarakat Melayu ditawarkan pilihan alternatif (Semangat 46 dan PAS ketika itu). Justeru itu, Wawasan 2020 dicanangkan untuk menarik undi masyarakat bukan Melayu. Hakikat yang mungkin tidak disedari ramai, bahawa kecenderungan pengundian masyarakat Cina sebenarnya ditentukan oleh UMNO dan bukannya MCA. Harapan komuniti Cina terhadap MCA telah terkubur sejak krisis koperasi kewangan yang berlaku pada tahun 1980-an.

Dengan menempatkan diri di kedudukan pertengahan, BN sedar bahawa mustahil regimnya boleh ditumbangkan dengan asakan pembangkang dari kiri dan kanan oleh DAP dan PAS. Namun, aksi menghunus, mengucup dan menjulang Keris Panca Warisan telah menjadi titik pusingan dalam sejarah, apabila UMNO membelok ke kanan untuk mengisi kedudukan sebagai pelampau perkauman. Perkembangan seterusnya menyaksikan bagaimana UMNO tersepit dalam dilema, dengan kehilangan undi bukan Melayu, sementara gagal mengembalikan undi Melayu yang diraihnya sebelum tahun 1990.

“Kebetulan” Pakatan Rakyat bangkit dari situ, juga pada Julai 2005 – pertemuan pertama antara pimpinan utama pembangkang selepas perpecahan Barisan Alternatif pada tahun 2001, dan kekalahan teruk pembangkang dalam PRU11 pada tahun 2004. Mesyuarat tertutup selama tiga hari di Port Dickson mengkaji kemungkinan kerjasama antara tiga parti, dan mengambil iktibar daripada kegagalan BA.

Akhirnya kita mencapai muafakat bahawa ketiga-tiga parti ini dijalin hubungannya melalui platfom “reformasi sistem pilihan raya”. Jawatankuasa BERSIH 1.0 dilancarkan di parlimen pada 23 November 2006, selepas rundingan dan mesyuarat dari minggu ke minggu. Gerakan BERSIH kemudian merangkumi bukan sahaja parti politik, tetapi juga NGO. Cadangan “demonstrasi” dikemukakan di tengah-tengah perjalanan, dan sudah tentu kurang selesa buat DAP. Rasa-rasa masyarakat Cina masih fobia dengan demonstrasi, tetapi terpaksa juga kami akur dengan keputusan itu.

Bermula dari 21 Julai 2007, BERSIH menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan road show – mengerah tenaga massa supaya turun ke jalan raya pada 10 November 2007. Saya mengkagumi usaha yang dicurahkan pimpinan PAS seperti saudara Mohamad Sabu, Hatta Ramli, Dr. Dzulkefly Ahmad dan lain-lain tanpa mengenal penat-lelah sepanjang proses ini. Tidak ramai yang terbayang, betapa sukarnya untuk mengembalikan serpihan sokongan di peringkat akar umbi, terutamanya selepas PRU11, di mana pembangkang hampir dimusnahkan dengan kemenangan lebih 90% kerusi parlimen oleh BN. Malah, kejadian berdarah di Batu Buruk membayangkan betapa besarnya tekanan polis terhadap pemimpin BERSIH ketika itu.

Saya menggilap semula ingatan saya pada 10 November 2013, tarikh menandakan genap enam tahun Perhimpunan BERSIH 1.0 diadakan. Saya antara kumpulan awal yang berjaya sampai di depan Istana Negara pada hari itu. 50 orang polis ditempatkan di situ, sementara 3,000 polis masih terperangkap di Dataran Merdeka dalam hujan – percaturan strategi yang dirahsiakan. Apabila saya memaling dan melihat puluhan ribu manusia di situ, saya gagal menahan sebak. Segala usaha yang kita curahkan selama ini untuk menjayakan BERSIH, akhirnya memadai.

BERSIH 1.0 membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia. Dari segi politik, parti pembangkang menuai hasilnya daripada kesedaran yang disemai di kalangan rakyat. PRU12 menyaksikan prestasi terbaik oleh pembangkang, dengan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen, malah lima kerajaan negeri jatuh ke tangan kita. Barangkali keputusan PRU13 tidak memuaskan semua pihak, namun apa yang pasti, kekuatan yang terbina dan terkumpul sejak tahun 2005, telah membangkitkan kita dari kancah kekalahan pada tahun 2004. Masyarakat politik dengan sokongan 50-50 di antara pemerintah dengan pembangkang telah terbentuk. “PR kehilangan undi Melayu” sekadar propaganda perang saraf UMNO. Jangan kita lupa, PAS Selangor meraih lebih kerusi dalam PRU13 berbanding PRU12!

Penglibatan dalam BERSIH 1.0 adalah pengalaman yang terharu dalam hidup saya. Politik tidak ke mana jikalau hanya tertumpu kepada perebutan kerusi dalam dewan undangan, tanpa desakan di jalan raya melalui demonstrasi. Malah BERSIH 2.0 dan 3.0 seterusnya telah memecahkan fobia masyarakat Cina terhadap demonstrasi. Kini masyarakat Cina bersedia mengorak langkahnya di jalan raya untuk menuntut perubahan bersama saudara-saudari dari pelbagai kaum dan agama.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira-wira BERSIH1.0, yang menjurus kepada perubahan mendadak dalam tempoh 6 tahun ini. Tabik kepada penggerak sejarah pendemokrasian politik Malaysia.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More