Menggempur kubu politik Johor

johor fortress (BM)

Hadiah paling besar untuk Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum 2013 lalu ialah hakikat bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kubu mahupun kawasan deposit tetap. Tembusnya Pakatan Rakyat di ‘kubu’ Johor itu adalah petanda bermulanya hari-hari akhir bagi model politik dan ekonomi BN.

Sekiranya Pakatan berjaya menawan Johor, kemungkinan mengambil alih kuasa di peringkat pusat adalah lebih tinggi. Demi menukarkan model BN di Johor, kita haruslah mengemukakan wacana baru yang lebih berwibawa tentang pendekatan Pakatan Rakyat terhadap politik dan ekonomi.

Johor adalah contoh terbaik model BN. Sejak Merdeka, model Perikatan telah melahirkan kelas penguasa daripada kalangan semua kaum. Pasca 1970an, survival model BN ini bergantung kepada kebolehan UMNO mendapatkan 60% undi orang Melayu, dan – sebelum 2008 – kebolehan BN untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40% undi masyarakat Cina.

Selepas persempadanan semula dalam tahun 2003, kebanyakan kerusi Parlimen di Johor kini menjadi kerusi campuran. Daripada 26 kerusi Parlimen, 18 darinya mempunyai kurang 60% pengundi Melayu atau lebih 40% pengundi bukan Melayu.

BN telah mengambil pelajaran daripada senario pilihanraya tahun 1999 di mana UMNO kehilangan sokongan orang Melayu tetapi BN meraih sokongan masyarakat Cina. Bagi melindungi pertaruhan mereka, lebih banyak kawasan dengan komposisi kaum yang pelbagai diwujudkan. Ironinya pada tahun 2008 kekalahan yang dialami BN di kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia kesemuanya adalah di kerusi campuran.

Awal 2013, saya kemukakan teori reaksi berantai atau kesan domino. Saya tunjukkan lubuk-lubuk BN di Johor – 18 kawasan kerusi campuran yang menjadi sasaran utama untuk tumpas; 13 daripadanya memperlihatkan peluang cerah untuk Pakatan Rakyat.

Dalam PRU13, kita hanya berjaya menang di 5 kerusi Parlimen, namun ia adalah satu kemajuan berbanding hanya satu kerusi yang dimenangi dalam tahun 2008. Malah sebenarnya, lapan kerusi dimenangi tipis oleh BN: Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai.

BN tertekan dalam keadaan yang sangat genting, mendapat kurang daripada 60% undi Melayu, kurang 20% undi Cina dan kurang separuh undi India.

Pendekatan UMNO sekarang ini yang menggabungkan politik berasaskan perkauman dan logik politik melampau tidak mungkin akan memenangi kembali banyak undi bukan Melayu. Cabaran terbesar UMNO ialah memenangi sokongan Melayu bukan-elit dan golongan pekerja. Namun parti itu nampaknya kian dilihat sebagai kelompok syok sendiri untuk golongan elit politik dan kumpulan kroni. Ia dilihat begitu terasing sekali daripada kelangsungan hidup warga kolar biru, malah menekan semangat berdikari rakyat.

Kita boleh meramalkan dua trend dalam komposisi pengundi di masa akan datang.

Pertama sekali, seramai 6 juta pengundi baru akan memasuki daftar pemilih dalam pilihanraya akan datang. Menurut perangkaan, pengundi Malaysia melangkaui jumlah 10 juta pada tahun 2008. Menjelang 2013, kita memiliki 16 juta waganegara berusia lebih 21 tahun, dengan sejumlah lebih 13 juta pengundi. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 500,000 orang mencapai usia majoriti. Ini ditambah kepada jumlah mereka yang layak tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi, jumlah besarnya boleh melepasi angka 6 juta.

Kedua, orang Melayu membentuk dua pertiga daripada pengundi baru. Lebih ramai pengundi Melayu adalah suatu masalah kepada UMNO dan BN. Lebih besar populasi Melayu bukan-elit, lebih banyak peluang pekerjaan
dan mekanisme sosial diperlukan, dan lebih banyak suara membangkang akan kedengaran.

Cabaran untuk Pakatan Rakyat ialah untuk melayari gelombang pembangkangan di saat kemarahan terhadap kerajaan itu sedang memuncak, demi meyakinkan orang Melayu kebanyakan bahawa dasar-dasar Pakatan akan menjaga kebajikan mereka. Kita mesti mencari jalan untuk membantu industri perburuhan separa-bandar yang didominasi orang Melayu tanpa mengabaikan industri kecil dan sederhana yang ramainya bukan orang
Melayu.

Dalam lanskap ekonomi baru, kita harus mendepani harapan dan aspirasi warga Malaysia yang bekerja di Singapura, terutamanya majoriti kelompok kelahiran Johor.

Mari kita lihat lima sektor utama di Johor:

Pertama sekali, jika 2008 itu tsunami bukan Melayu manakala 2013 itu tsunami bandar, bolehkah pilihanraya akan datang dianggap tsunami separa-bandar? Ada yang percaya bahawa dalam tahun 2013 Pakatan kalah kerana ia tidak mendapat undi kawasan pedalaman. Saya tidak bersetuju.

Kawasan pedalaman memang merupakan kawasan pertembungan UMNO-PAS sejak sekian lama. Kerusi di mana Pakatan tewas dengan majoriti tipis kebanyakannya kerusi Parlimen separa-bandar, ini dapat dilihat jelas di Johor.

Kedua, dalam pilihanraya tahun 2013, Pakatan beroleh kemajuan di kerusi-kerusi bandar di selatan Johor berikutan kemenangan ‘Pertarungan Gelang Patah’. Dalam pilihanraya akan datang, pertarungan sebenar di Johor akan mengambil tempat di kawasan tengah dan utara negeri. Jika Pakatan boleh mengatur wawasan untuk pekan-pekan dan kampung-kampung satelit, dan kalau hubungan antara bandar diperbaiki melalui penambahbaikan jalan keretapi dan khidmat pengangkutan awam, ini akan menentukan masa depan Pakatan di kawasan separa bandar.

Ketiga, Kerajaan Persekutuan dan Kerjaaan Negeri Johor hanya memberi tumpuan kepada wilayah Pembangunan Iskandar dan sektor hartanah. Kawasan tengah dan utara negeri Johor langsung tercicir dari aspek ini. Peningkatan nilai hartanah bakal memerangkap diri dalam ekonomi buih. Ini bererti, walaupun tumpuan pesat diberikan kepada pembangunan hartanah, ramai orang Johor yang tidak mampu memiliki rumah meski ia tumbuh bagai cendawan di depan mata mereka.

Keempat, bidang pertanian dan perkebunan akan terus kekal dalam negeri Johor yang memiliki tanah yang luas. Pakatan harus juga memikirkan usaha untuk mempertingkatkan industri pertanian dan perkebunan ini. Harga minyak sawit memberi kesan kepada pengusaha kecil, ia hampir pasti akan menjunam dalam masa dua tahun ini. Memang malang bagi BN kerana harga minyak sawit adalah petanda naik turun politiknya.

Kelima, pada 2013 kebanyakan warga kelas pertengahan dari segenap lapisan kaum memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, namun masih terdapat ruang untuk membina sokongan Melayu dari kalangan kelas pertengahan dan kelas pekerja, terutamanya di kawasan separa bandar.

Pakatan mesti berusaha untuk memahami dan mencari penyelesaian ekonomi bagi golongan pertengahan dan kelas pekerja.

Hala tuju lebih besar untuk jangka masa panjang ialah untuk membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana yang didominasi golongan bukan Melayu untuk berubah dan berkembang, mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing, menyediakan latihan kemahiran untuk pasaran kerja tempatan, dan berusaha untuk mewujudkan sebuah kitaran ‘kemahiran tinggi – produktiviti tinggi – gaji tinggi’ dalam tenaga kerja.

Politik pasca PRU13 menuntut pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap wacana ekonomi kita, dan kita harus melihat melangkaui tahap sekarang untuk menjangka cabaran dan peluang baru. Johor kini berada di saf hadapan sebuah pertempuran politik yang tidak pernah terjadi dalam sejarah.

Demi menempuhinya, kita harus befikir semula dan menyusun strategi secara menyeluruh, mencakupi semua sudut pandang.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles