
Pihak polis harus segera menyiasat kes penderaan Taufik Goh Abdullah yang berada dalam keadaan koma.
- 16 January 2014
- Uncategorized
Kenyataan media bersama Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin pada 15 Januari 2014 di Kluang, Johor.
Pihak polis harus segera menyiasat kes penderaan Taufik Goh Abdullah yang berada dalam keadaan koma.
Semalam pejabat kami telah menerima aduan daripada Lyiana Farhanah binti Mohammad Rusdi (25 tahun), isteri keempat kepada seorang peniaga di Kluang bernama Taufik Goh Abdullah (38 tahun), yang mendakwa suaminya telah dibelasah ketika dalam tahanan di penjara reman Johor Bahru.
Lyiana berkata, Taufik menerima panggilan dari Balai Polis Kluang pada 1 Januari 2014. Pihak polis meminta Taufik untuk membantu siasatan berkenaan dakwaan isteri kedua beliau bahawa Taufik telah cuba menikamnya.
Menurut Lyiana, isteri kedua Taufik itu sedang dalam proses memohon perceraian daripada Taufik.
Pada 2 Januari, Taufik melaporkan diri di Balai Polis Kluang seorang diri lalu terus ditahan serta didakwa di Mahkamah Majistret Kluang.
Menurut Lyiana, Taufik didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan (Sengaja menyebabkan cedera parah) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah). Majistret membenarkan suaminya diikat jamin sebanyak RM7000.
Pada hari yang sama, Lyiana berjaya mengumpul wang jaminan dan menyelesaikan prosedur jaminan pada pukul 3 petang. Tetapi Taufik tidak dilepaskan segera malah terus ditahan di Penjara Reman Johor Bahru, Jalan Ayer Molek.
Pada 7 Januari, Taufik dilepaskan dari penjara dan dihantar pulang ke rumah oleh pihak polis. Semasa tiba di depan pintu rumah, Lyiana berkata Taufik kelihatan pucat mukanya dan mengadu sakit perut. Taufik juga mendakwa bahawa empat orang warden penjara telah memukulnya kerana “enggan mengakui kesalahan yang dilakunya”.
Oleh kerana enggan mendapatkan rawatan, Taufik berehat dan tidak bekerja sehingga 11 Januari, apabila Taufik akhirnya berjumpa doktor. Namun doktor hanya memberitahu bahawa Taufik hanya menghidapi demam biasa.
Disebabkan tidak boleh bertahan dengan kesakitan perut, Taufik mendapat rawatan di Hospital Kluang dan dimaklumkan bahawa dua buah pinggang beliau mengalami kerosakan dipercayai akibat jangkitan kuman.
Dalam proses rawatan, doktor telah memasukkan tiub ke tubuh Taufik dan menyerap keluar ketulan darah beku. Ini antara lain menunjukkan bahawa badan Taufik mendapat kesan dalaman akibat daripada pukulan yang didakwanya. Taufik kini berada dalam koma setelah dikejarkan ke wad ICU sejak pagi semalam (15 Januari).
Menurut Lyiana, Taufik berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum direman.
Oleh yang demikian, Lyiana mengesyaki dan mendakwa penderaan warden penjara adalah antara penyebab suaminya kini terlantar di hospital.
Lyiana kesal dengan tindakan penderaan warden penjara dan telah membuat laporan polis pada 14 Januari. Mangsa adalah dalam keadaan sedarkan diri semasa lawatan ke rumah beliau pada petang 13 Januari, sebagaimana yang disaksikan oleh ADUN Mengkibol Tan Hong Pin.
Oleh itu, kami menyeru pihak polis untuk menyiasat kes penderaan tersebut dengan kadar segera dan memberi jawapan kepada orang awam. Kami juga berharap agar hak asasi tahanan dipelihara dan kes penderaan dalam tahanan tidak berulang lagi. Tahanan patut diberi layanan yang adil sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.