Operasi Lalang

ops lalang

Presiden MCA Liow Tiong Lai memulakan kempen PRK DUN Kajang dengan isu Operasi Lalang, mempersalahkan Anwar Ibrahim kerana mencetuskan peristiwa ini pada 27 tahun yang lalu, kononnya. Seperti biasa, dan tidak kurang ironinya, MCA yang tidak sabar-sabar untuk memeluk UMNO dalam kabinet – hanya mengutuk pemimpin UMNO yang meninggalkan UMNO, untuk sesuatu kesalahan yang berlaku kerana UMNO.

Peristiwa yang berlaku untuk lebih suku abad lalu ini adalah antara detik yang paling gelap dalam sejarah politik Malaysia. Seramai 106 orang pemimpin politik dan aktivis gerakan sosial ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam “Operasi Lalang”. Tiga media cetak ditarik permitnya dalam operasi itu, termasuk Sin Chew Jit Poh (kini Sin Chew Daily), The Star dan Watan.

Penangkapan secara besar-besaran ini menamatkan satu fasa pemerintahan Tun Dr.Mahathir Mohamad yang berkocak, tetapi secara perbandingannya masih demokratik, antara tahun 1981 dengan 1987.

Sokongan terhadap Mahathir dalam UMNO tidak kukuh ketika beliau mengambil alih tampuk kuasa daripada Tun Hussein Onn. Beliau tidak mempunyai ramai “jeneral” yang boleh dipercayainya di sisinya. Maka secara “demokratik”-nya, Mahathir melepaskan tangan kepada Timbalannya, Musa Hitam untuk bersaing dengan Tengku Razaleigh dalam pemilihan UMNO pada tahun 1981 dan 1984 – sementara dirinya mencuri masa dan ruang untuk bernafas di celah-celah pergelutan ini.

Namun gaya pimpinan Mahathir yang memperlihatkan autokratik, akhirnya menjurus kepada satu situasi di mana pesaingnya bergabung untuk menentangnya. Tengku Razaleigh berganding dengan Musa Hitam sebagai pasukan B dalam pemilihan UMNO pada April 1987 untuk mencabar gandingan Mahathir- Tun Ghafar Baba dalam pasukan A. Mahathir menang tipis dengan majoriti 43 undi, selepas “blackout” berlaku dalam bilik pengiraan undi. Selepas kemenangan itu, Mahathir terus memecat beberapa orang Menteri dalam kerajaan yang menyokong pasukan B ketika itu, termasuklah Abdullah Ahmad Badawi, Shahrir Abd Samad, Rais Yatim dan sebagainya.

Lantaran asas sokongan yang tidak kukuh, ditambah pula gaya pimpinan yang autokratik ketika melaksanakan dasar, Mahathir mencungkil ketidakpuasan dalam fasa pertama pemerintahannya, termasuk kebangkitan gerakan Islam, penentangan bukan Melayu terhadap politik perkauman Melayu, dan juga penglibatan elit bandar dalam politik melalui gerakan NGO.

Kerajaan Mahathir goyah sepanjang pemilihan UMNO antara April hingga Oktober 1987. Sentimen perkauman semakin menebal. Masyarakat diselubungi ketakutan selepas peristiwa Prebet Adam melepaskan tembakan dengan senjata M-16 di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Mahathir menguasai semula kedudukan “proaktif” dalam politik melalui Operasi Lalang. Beliau mengurung musuh politik utamanya ke dalam penjara melalui sentimen perkauman yang dimainkan; pada masa yang sama sebagai amaran keras kepada musuhnya dalam UMNO. Strategi ini diulangi ketika April 2001 apabila reformis seperti Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Mohd Ezam Mohd Nor dan sebagainya ditahan di bawah ISA. Mahathir mahu menguasai semula kedudukan untuk menyerang selepas kuasanya dihakis atau digugat.

Tanpa diduga, Ops Lalang telah “menyatu-padukan” pembangkang dan aktivis NGO dalam kem tahanan buat kali pertama. Tahanan seperti Mohamad Sabu (kini Timbalan Presiden PAS), Lim Guan Eng (kini Setiausaha Agung DAP) dan sebagainya, adalah “orang baru” dalam politik ketika tahun 1987. Tahanan politik ini mendapati bahawa perselisihan kaum dan agama akhirnya akan menguntungkan UMNO-BN. Dengan kata lain, perselisihan kaum dan agama adalah talian hayat untuk memenangkan BN.

Parti pemerintah menguasai media perdana, sumber ekonomi, undang-undang, malah memecah-belahkan pembangkang dan gerakan sosial melalui dasar “pecah dan perintah”. Situasi ini menjurus kepada keadaan di mana kita sama-sama menentang BN, tetapi dengan cara masing-masing. Tiada jalinan hubungan di kalangan kita, meskipun kita mempunyai musuh yang sama.

Di Malaysia, hanya apabila semua parti yang menentang BN bersatu, apabila pengundi Melayu hilang ketakutannya terhadap DAP, dan apabila pengundi bukan muslim memangkah untuk bulan – barulah regim UMNO-BN mampu ditumpaskan.

Mengimbas Operasi Lalang pada 1987, ia bukan sahaja membina asas kepada jalinan hubungan pembangkang pada hari ini, malah mengasah dan mengasuh tekad dan azam mereka untuk perubahan. Ia menjadi sumber inspirasi yang dikongsi bersama di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat pada hari ini untuk menentang UMNO-BN.

Lebih-lebih lagi, pemimpin UMNO seperti Anwar Ibrahim telah meninggalkan politik perkauman UMNO. Ia bermakna sejarah harus bergerak ke depan untuk membebaskan Malaysia dari politik perkauman dan agama sempit. Mereka yang memaling untuk memandang ke arah suku abad yang lalu, adalah mereka yang tidak nampak masa depan untuk suku abad akan datang. Barangkali pengundi Kajang harus memulakan “operasi lalang” baru untuk mencantas lalang politik sedemikian.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More