UMNO=PAP

Seringkali DAP (Parti Tindakan Demokratik) di Malaysia disamakan dengan PAP (Parti Tindakan Rakyat) di Singapura, malah kita tidak asing dengan tuduhan bahawa DAP adalah ajen PAP. Padahalnya, UMNO mempunyai lebih persamaan dengan PAP, jikalau dilihat dari sudut bagaimana kedua-duanya memanipulasikan politik perkauman.

Seandainya satu hari nanti, semua rakyat Malaysia bersetuju bahawa pendekatan politik perkauman UMNO tidak berbeza dengan PAP dari Singapura, sebaliknya DAP mempunyai lebih persamaan dengan PAS dari segi kelas masyarakat, berkongsi agenda pendemokrasian politik dan ekonomi yang sama untuk masa depan, maka UMNO akan hilang asasnya untuk mobilasi perkauman. Tulisan ini hanya menumpu kepada persamaan antara UMNO dengan kerajaan PAP.

Saya ingin memetik pengamatan pengkaji politik Dr. Wong Chin Huat, bahawa perpisahan Singapura dengan Malaysia pada tahun 1965 telah menjurus kepada situasi di mana dua parti yang asalnya bersaing dalam kerangka sistem pilihan raya demokrasi – UMNO dan PAP – telah terpisah. UMNO dan PAP menjadi satu parti dominan yang sukar dicabar dan disaingi dalam sistem pilihan raya di negara masing-masing.

Seandainya kita mengimbas sejarah, UMNO dan PAP telah menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk menahan mereka yang berbeza pandangan dengan kerajaan, termasuk pembangkang, malah dari parti pemerintah sendiri, misalnya pemimpin utama PAP Lim Chin Siong, dan Menteri Pertanian dan Koperasi dari UMNO, Abdul Aziz bin Ishak. Sebagaimana yang kita sedia maklum, media dan akademik di kedua-dua negara ini dicengkam dan disekat kebebasannya.

Kedua-dua UMNO dan PAP memanipulasi sistem pilihan raya di negara masing-masing. Atas alasan untuk memastikan kemenangan kaum minoriti di Singapura pada tahun 1980-an, Singapura telah memperkenalkan “Group Representation Constituency” (Sistem Perwakilan Berkumpulan), sekaligus menghakis kemungkinan kemenangan pembangkang. Di Malaysia pula, tidak asing untuk kita bagaimana UMNO-BN melalui persempadanan kawasan pengundian telah menghalang kemenangan pembangkang, misalnya PRU13 menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat yang memperolehi 51% undi cuma memenangi 40% kerusi parlimen.

Bukan sahaja UMNO dan PAP menjadi parti dominan yang tunggal di negara masing-masing, malah saling menyasarkan pihak lain sebagai “musuh” ketika bermain dengan politik perkauman – sebagai alasan untuk menghalalkan autoritariannya.

PAP Singapura mengugut rakyatnya bahawa negara pulau ini adalah “Little Red Dot” di Asia Tenggara, terdedah kepada ancaman negara Islam/Melayu di sekelilingnya. UMNO pula mengugut masyarakat Melayu, bahawa seandainya mereka tidak menyokong UMNO, maka DAP akan menghapuskan hak keistimewaan mereka, sebagaimana yang dilakukan PAP (malah Parti Komunis Malaya). Namun tuduhan ini jelas tidak berasas. Kebanyakan orang Melayu tidak menikmati hak keistimewaan, sebaliknya merasai keperitan dalam kemiskinan. UMNO membolot kekayaan atas nama kepentingan Melayu.

Pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, PAP melalui dasar awamnya telah menawarkan perumahan, peluang pekerjaan dan lonjakan kelas sosial kepada golongan menengah dan bawahan kaum Cina di Singapura. Pada tempoh yang sama, UMNO telah menarik pelaburan asing untuk memangkinkan pertumbuhan ekonomi, dan langkah ini telah menjurus kepada urbanisasi anak muda Melayu, peningkatan taraf pendidikan dan martabat ekonomi mereka, malah merapatkan jurang kaya-miskin.

Selepas tahun 1990-an, meskipun gejala rasuah tidak berleluasa di kalangan elit politik Singapura, tetapi penawaran gaji tertinggi di dunia untuk pengamal politik pemerintah telah menyaksikan bagaimana golongan ini terpisah dari rakyat akar umbi. Hubungan antara politik dengan ekonomi sungguhpun berbeza pendekatannya dengan Malaysia, tetapi tidak kurang juga ketaranya masalah ini. Dominasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bidang ekonomi menyaksikan perebutan kepentingan dengan rakyat, malah membebankan golongan menengah. Selepas tahun 2000, Singapura membenarkan kemasukan pekerja asing secara besar-besaran, sehingga satu pertiga tenaga kerjanya sekarang terdiri daripada pendatang asing, sekali lagi menekan pendapatan warga Singapura.

Pasca 1990-an, khususnya selepas tahun 2000, kronisme dalam UMNO semakin berleluasa, dan merebut rezeki Melayu bawahan atas nama “membela kedudukan Melayu”. Kroni UMNO telah membuka pintu untuk kemasukan buruh asing dengan permit kerajaan. Lambakan pendatang asing telah menekan gaji dalam pasaran buruh. Bukan sahaja pendapatan rakyat Malaysia berkurang, malah langkah ini menghalang ekonomi Malaysia menuju ke arah pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh, dan menutup kemungkinan ekonomi Malaysia menuju ke arah peningkatan teknologi. Daripada 12 juta orang buruh Malaysia yang sedia ada, 2 juta daripadanya adalah buruh asing berdaftar, dan kita tidak tahu apakah buruh asing yang tidak berdaftar mungkin mencecah angka 3 juta?

Kerajaan PAP Lee Kuan Yew dalam fikrahnya menggariskan populasi Cina pada paras 75%. Mereka akan berusaha untuk memastikan populasi Cina sentiasa melebihi paras 75%, termasuk menjadikan warga Malaysia atau warga China di Singapura sebagai sebahagian daripada 75% itu.

Begitu juga dengan UMNO. Matlamat di sebalik dasar populasi 70 juta yang diketengahkan Mahathir pada tahun 1980-an adalah untuk menambah populasi Melayu/Muslim. Untuk matlamat ini, kerajaan Mahathir menjadikan buruh asing muslim (dari Indonesia, Bangladesh, Selatan Filipina) sebagai cara tidak rasmi untuk menambah populasi ini, malah kita tidak tahu berapa di antaranya adalah pengundi (terutamanya di Sabah).

Politik perkauman di sebalik dasar populasi dan buruh ini akhirnya menyebabkan taraf hidup golongan Cina bawahan di Singapura semakin merudum, dan di Malaysia kita menyaksikan pendapatan buruh Melayu yang tidak melonjak ke mana.

Melayu bandar Malaysia telah menolak UMNO dalam PRU13 pada tahun 2013, dan PAP Singapura juga berdepan dengan bantahan pengundi Cina yang mengombak dalam pilihan raya pada tahun 2011. Ia memperlihatkan penolakan pengundi terhadap parti politik tunggal yang mendominasi sistem pilihan raya. Malaysia dan Singapura akan menerokai kemungkinan yang berbeza pada masa depan, hanya apabila rakyat kedua-dua negara ini cukup matang untuk membebaskan diri dari politik perkauman.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More