
GST: Siapa mangsanya?
- 21 April 2014
- Uncategorized
Tujuan kerajaan Barisan Nasional melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah untuk menambah pendapatan dan mengurangkan defisit. Namun mencukaikan orang miskin akan menjurus kepada kemerosotan keperluan domestik. Seandainya tiada peningkatan keperluan eksport berbanding tahun lalu, maka ia akan berakhir dengan kemelesetan ekonomi.
Rang Undang-Undang GST terbuka untuk perbahasan hanya dalam tempoh dua hari, dan diluluskan pada 7 April 2014 (Isnin). Akta GST yang bakal dilaksanakan mulai 1 April 2015 ini memperuntukkan kuasa yang terlalu besar kepada pegawai, malah agak keras untuk golongan peniaga kecil.
Padahal, kerajaan Barisan Nasional telah cuba untuk melaksanakan GST pada 10 tahun yang lalu, malah Kementerian Kewangan dan jabatan cukai yang berkenaan pernah menjalankan simulasi pelaksanaannya. Dalam sidang parlimen penggal ke-12 (2008-2013), usul RUU GST kerap diletakkan di atas meja ahli dewan. Namun BN tidak berani meluluskannya secara paksaan kerana sedar bahawa ia tidak popular. Akhirnya ia berjaya diluluskan selepas PRU13 melabuh tirai.
GST tidak terkandung dalam manifesto BN pada PRU13. Dari sudut demokrasi, seandainya sistem pencukaian mahu dirombak, ia seharusnya diketengahkan dalam pilihan raya. Pada masa yang sama, RUU ini harus diserah kepada Jawatankuasa Khas untuk dibincangkan sama ada GST diperlukan, langkah lain untuk menyelesaikan masalah defisit (penjimatan perbelanjaan kerajaan, pembasmian rasuah dsb), atau diganti dengan cara pencukaian lain (misalnya mengenakan cukai terhadap jutawan, menambah cukai modal dsb).
Jika GST tetap mahu dilaksanakan sekalipun, Jawatankuasa Parlimen boleh mengkaji secara teliti pelaksanaannya, ketidakadilan yang mungkin berlaku dan ketirisan pentadbiran. Konsep ini dikemukakan pada tahun 2005, dan mula masuk ke dalam dewan pada tahun 2009. Dengan kata lain, kita mempunyai ruang yang cukup sepanjang tempoh ini untuk menelitinya. Bagaimanapun, apa yang menyesalkan, demokrasi, kedaulatan parlimen langsung tidak wujud dalam fikrah kerajaan BN.
Menteri dan ahli Dewan Rakyat BN berkali-kali menegaskan bahawa GST bukan cukai baru, sebaliknya pengganti cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang lama. Namun, GST pada hakikatnya pemerasan ke atas rakyat jelata yang belum pernah membayar cukai, dan bukannya penstrukturan semula sistem pencukaian.
Sebagai contoh, ketika Margaret Thatcher mengambil alih tampuk kuasa pada tahun 1979 di United Kingdom, beliau telah menurunkan kadar pencukaian maksima dari 83% ke 60%, dan kadar pencukaian minima dari 33% ke 30%, menyediakan ke arah peralihan pencukaian langsung (cukai pendapatan) kepada pencukaian tidak langsung. Apabila kerajaan UK melaksanakan cukai nilai tambahan (Value Added Tax, gelaran lain untuk GST) pada tahun 1989, pencukaian maksima cukai pendapatan diturunkan lagi kepada 40%. Pembayar cukai dari golongan kaya dan menengah mempunyai baki wang yang lebih melalui peralihan sistem pencukaian sedemikian. Jikalau baki wang yang dijimatkan dari cukai itu dibelanjakan dalam negara, maka ia benar mampu merangsang ekonomi UK dalam jangka pendek.
Pakar ekonomi sayap kanan juga menganggap sistem pencukaian sedemikian menggalakkan kelas menengah untuk menghambat kekayaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Namun demikian, situasi Malaysia amat berbeza dengannya. Kita tidak mempunyai golongan menengah yang besar, dan kadar pencukaian yang sedia ada tidaklah tinggi, lantas tiada ruang lagi untuk dikurangkan cukai.
Pengagihan BR1M menyaksikan kerajaan BN sendiri mengakui bahawa lebih 60% populasi memerlukan bantuan ekonomi. Pada masa yang sama, GST memeras golongan ini untuk pendapatan baru kerajaan. Tidak sukar untuk diramal kesudahannya – pendapatan boleh guna telah kering diperas, maka keperluan domestik akan dikurangkan dan kemudian menjurus kepada kemelesetan.
Satu lagi hujah kerajaan BN, bahawa golongan miskin boleh membeli barangan kadar sifar GST, maka tidak menerima kesan daripada GST. Hujah sedemikian memang meleset. Orang miskin membeli barangan untuk orang miskin, orang yang tidak miskin membeli barangan untuk golongan yang tidak miskin. GST akan melebarkan jurang kaya-miskin dalam masyarakat. Barangan kadar sifar GST kebanyakannya adalah makanan asas, tetapi golongan miskin tetap perlu menggunting rambut, anak orang miskin masih perlu meminum susu, orang miskin juga perlu membeli shampoo, dan orang miskin juga mungkin membeli alat dapur. Kesemua ini tidak dikategorikan sebagai barangan kadar sifar GST.
Siapakah sebenarnya isi keluarga miskin di Malaysia? 60% populasi memerlukan BR1M, maknanya kebanyakannya isi keluarga menghampiri garis kemiskinan kalau bukan isi keluarga miskin. Sekiranya kita mempunyai isi keluarga miskin dalam jumlah yang besar, dan mereka hanya membeli barangan kadar sifar GST, maka GST tidak dapat mencapai matlamat untuk menambah pendapatan kerajaan.
Saya mengeluh setelah membaca RUU GST. GST membebankan peniaga untuk menyediakan perakauanan, lantas menambah kos perniagaan. Di bawah sistem GST, peniaga terpaksa menjadi agen kerajaan untuk memungut cukai. Korporat besar tidak menghadapi masalah yang rumit kerana telah lengkap sistem perakaunannya. Peniaga kecil yang bermasalah kerana perlu membayar harga yang tinggi.
Malah, kerajaan ini telah biasa dengan pendekatannya yang keras. Menurut perkara 82 dan 83, pegawai kanan boleh masuk ke premis pernigaan tanpa waran untuk penyiasatan. Sememangnya terdapat akta yang membenarkan polis untuk membuat pemerikasaan tanpa waran, misalnya undang-undang yang membabitkan bahan dadah, tetapi ia tidak seharusnya menjadi kebiasaan. Untuk perkara 102, ia jelas melanggar “natural law and justice”. Dalam sistem perundangan British, pendakwa perlu membuktikan kesalahan tertuduh, barulah tertuduh membela diri. Tetapi menurut Akta GST, tertuduh pula memikul beban tanggungjawab untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Maka, siapa mangsa GST? Apabila kerajaan BN semakin terpesong dan menjauhi rakyat jelatanya, golongan berpendapatan rendah menjadi golongan mangsa terbesar.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.