Hudud di Malaysia: Strategi atau perangkap?

Political Islam

Politik Islam sejak era Nabi Muhammad dipenuhi dengan pemikiran strategi untuk matlamat yang besar, iaitu menegakkan keadilan tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan kelas ekonomi. Dengan itu, perbincangan tentang strategi gerakan Islam di seluruh dunia bukan sahaja tidak salah, malah harus digalakkan supaya matlamat yang besar itu benar-benar difahami oleh semua.

Ia bertujuan supaya pejuang-pejuang Islam tidak berjuang untuk memartabatkan simbol-simbol yang melambangkan Islam sahaja tetapi matlamat Islam itu sendiri. Jika berjuang demi simbol, kemungkinan besar tidak akan tercapai matlamat sebenar yang dikehendaki Islam.

Sebelum saya teruskan penulisan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Pengarang Harakah saudara Ahmad Lutfi Othman yang memberikan saya ruang ini untuk berkongsi pandangan, yang tidak semestinya disetujui oleh semua rakan-rakan dalam PAS.

Saya sebagai Pengerusi The Rocket terbitan DAP sedar dan faham bahawa memang tidak mudah untuk saudara Lutfi dan Harakah untuk menyiarkan tulisan saya kerana pendirian saya yang tidak menyokong pelaksanaan hudud atas dasar prinsip dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Isnin lalu (5 Mei) iaitu hari genapnya setahun PRU13, walaupun dalam keadaan uzur, saudara Lutfi sudi meluangkan masa untuk hadir di pelancaran buku sahabat beliau, Lim Hong Siang yang berjudul “Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?”. Kehadiran Lutfi itu mencerminkan semangat dan idealisme beliau sebagai seorang ahli media yang berani bersuara. Malah keberanian beliau menerbitkan pandangan yang berbeza patut disanjungi dan dihormati.

Bagi saya, perbahasan hangat di kalangan masyarakat tentang enakmen jenayah Islam atau hudud di negeri Kelantan menunjukkan bahawa isu hudud tidak harus dikendalikan sebagai isu melibatkan Kelantan sahaja. Untuk yang menyokong dan yang tidak sokong, implikasi nyata di peringkat kebangsaan. Yang menyokong berharap undang-undang hudud diperluaskan ke seluruh negara, dan yang tidak menyokong merasa takut ia disebar ke negeri-negeri lain.

Bukan sahaja implikasi kebangsaan, malah tindakan gerakan Islam politik (political Islam) di Malaysia sedang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Sama ada disedari atau tidak, gerakan Islam politik di Malaysia tidak perlu bergantung kepada badan-badan luar seperti Ikhwanul Muslimin untuk mempelajari tindak-tanduk politik. Sepatutnya PAS sebagai satu gerakan Islam politik Malaysia boleh menentukan agenda untuk politik Islam sedunia bagi abad ke-21 ini.
Pada masa ini, banyak gerakan Islam termasuk PAS lebih mengambil teladan daripada Ikhwan. Malah parti AK di Turki yang menguasai kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan juga menjadi teladan.

Namun, perlu diingati bahawa sejarah Ikhwan sebenarnya sejarah menentang kezaliman regim-regim tentera di Mesir. Bagi saya, sejarah Ikhwan adalah kisah sedih. Kezaliman regim-regim memaksa Ihkwan mengambil pendirian yang esklusif, yang lazimnya melibatkan balas dendam dan menggunakan kekerasan.

Sedangkan PAS telah mengambil bahagian dalam pilihanraya sejak tahun 1955. Pada masa itu, PAS hanya menang satu kerusi dalam pilihanraya anjuran penguasa British. Semua kerusi lain disapu oleh UMNO dan rakan-rakannya iaitu MCA dan MIC. Pada pilihanraya 1959, iaitu yang pertama selepas kemerdekaan, PAS membuat kejutan dengan memenangi dua negeri – Kelantan dan Terengganu.

Bandingkan pula keadaan 1959 di dunia umat Islam masa itu. Hanya di Pakistan ada kerajaan yang turut disertai oleh kumpulan Islamis. Di Mesir dan beberapa negara Arab, lebih ramai tokoh-tokoh Islam mereka berada di dalam penjara berbanding yang bebas di luarnya.

Bukanlah ini bererti pemimpin PAS tidak dizalimi oleh UMNO. Memang benar UMNO menggunakan tipu helah untuk menumbangkan kerajaan negeri Terengganu pada 1961 dan kemudian menggunakan ISA terhadap Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy. Malah ramai aktivis PAS yang dizalimi oleh UMNO.

Namun, melalui platform PAS, ia masih membuka ruang untuk orang Islam di Malaysia memperjuangkan idealisme Islam yang berasaskan matlamat yang besar yang saya nyatakan pada awal tadi. Oleh kerana itu, penting untuk kita memahami perbezaan sejarah Ikhwan dan sejarah PAS, iaitu agenda Ikhwan tidak semestinya sesuai untuk tanah air kita.

Satu lagi faktor yang jarang dibicarakan dalam wacana politik Malaysia adalah isu sejarah kolonial.

Syariah Islam adalah pemikiran undang-undang dan falsafah yang menyeluruh, yang memberi perhatian terhadap kitab (teks) dan keadaan (konteks), dan mengandungi cukup banyak perbincangan tentang pengurusan kerajaan, keadilan sosial, hak asasi, ekonomi dan sebagainya.

Saya melihat undang-undang syariah sedia ada di Malaysia lebih mengutamakan hal-hal peribadi dan tidak menumpukan kepada isu-isu pentadbiran bersih, pembasmian rasuah, menegakkan keadilan sosial dan peluang saksama serta hak-hak ekonomi. Bukan tidak boleh tetapi ia tidak cukup meluas.
Fokus terhadap undang-undang peribadi adalah legasi penjajahan British, iaitu digubal selepas pemberontakan atau Dahagi India pada 1857. Sebelum itu, penganut-penganut Hindu dan Islam hidup dalam keadaan tertindas oleh Syarikat Hindia Timur yang diberi hak oleh kerajaan British untuk mentadbir India. Dengan berlakunya pemberontakan itu, kerajaan British mengambil alih pentadbiran India dan seturusnya memberi ruang untuk penganut-penganut Hindu dan Islam untuk mengamal agama masing-masing.

Ini bererti dasar pecah dan perintah dilaksanakan, iaitu penjajah British memberi ruang untuk orang Hindu dan Muslim mengamalkan undang-undang peribadi masing-masing. Secara tidak langsung, isu-isu besar seperti keadilan sosial, hak asasi dan peluang ekonomi tidak menjadi asas undang-undang agama, melainkan soal-soal peribadi seperti perkahwinan, makan minum dan hal-hal peribadi lain.

Menurut M.B. Hooker, seorang tokoh akademik di UK yang kini bersara di Canberra, Australia, undang-undang syariah di Malaysia adalah undang-undang Islam pasca Dahagi India, termasuk enakmen di Kelantan yang ditulis dengan pendekatan dan tradisi undang-undang penjajah British. M.B. Hooker adalah pakar undang-undang adat dan agama di Asia Tengara dan pernah menjadi guru kepada almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah.

Memang saya akui Islam lebih mendahului lahirnya negara bangsa (nation state) dan lebih awal tamadunnya daripada era penjajahan. Tetapi kita tidak boleh mengetepikan legasi penjajahan terhadap sistem pentadbiran negara kita.

Jika saya menjadi penggerak Islam politik, saya akan lebih tumpukan pemikiran syariah terhadap keadilan, tatakelola baik kerajaan (good governance) dan subjek-subjek inklusif, dan bukan bergerak dalam tradisi pemikiran undang-undang kehakiman syariah ciptaan British pasca Dahagi India 1857.

Satu lagi faktor sejarah yang perlu diambil kira ialah tentang hudud di Malaysia. Ramai kawan saya dalam PAS dan di luar PAS yang menganggap agenda hudud lahir bersama PAS (pada tahun 1951). Dalam kajian saya terhadap PAS, sebenarnya penekanan terhadap hudud dan Negara Islam hanya bermula selapas tahun 1982.

Dr. Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri pada Julai 1981 dan pilihanraya umum diadakan pada April 1982 dengan penglibatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu seorang aktivis gerakan Islam yang terkenal. Untuk mengikis tekanan kebangkitan Islam global pada masa itu, dasar penerapan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran kerajaan telah dilaksanakan. UMNO dan Dr. Mahathir telah menentukan agenda Islam di mana PAS pula telah menari mengikut rentak gendang UMNO.

PAS telah menawarkan dasar-dasar Islam yang dikatakannya sebagai lebih “tulen” daripada UMNO untuk membezakan “Islam” PAS daripada “Islam UMNO”. Dengan pendekatan tersebut, UMNO terbukti lebih Berjaya. UMNO dapat sokongan Melayu pada pilihan raya umum 1986 manakala PAS kehilangan sokongan Melayu, DAN kehilangan sokongan pengundi bukan Islam kerana PAS dianggap tidak sederhana dan boleh mengancam kedudukan mereka.

Saya harap semua ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memikirkan masa depan negara dan juga pemikiran gerakan Islam di Malaysia. Di samping itu, kita perlu mengelak untuk jatuh ke dalam lubang yang sama yang disediakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More