
Teluk Intan game changer politik?
- 27 May 2014
- Uncategorized
Adakah PRK Teluk Intan game changer politik tanahair Malaysia?
Dengan ikhlasnya saya memohon sokongan ahli dan penyokong PAS untuk menjayakan calon DAP-Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud, dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang berlangsung sekarang, dengan hari pengundiannya pada 31 Mei 2014. Diharapkan kemunculan calon kejutan PR-DAP, Dyana Sofya Mohd Daud – seorang wanita, seorang anak muda, dan seorang Melayu, dapat mencetus politik baru untuk Malaysia baru.
Pilihanraya kecil Teluk Intan juga berkemungkinan menjadi penentu hala tuju negara: kemenangan Pakatan Rakyat-DAP dengan tambahan sokongan pengundi Melayu muda akan memberi kejutan kepada BN bahawa ia boleh ditumbangkan di kawasan separa bandar yang lain, dan dengan kehilangan kawasan separa bandar BN bakal kehilangan Semenanjung.
Kemenangan di kawasan separa bandar yang paling terkesan dengan impak inflasi selepas PRU ke-13 juga akan jadi medan referendum terhadap GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
Pilihanraya kecil Teluk Intan adalah salah satu PRK yang paling sukar dalam sejarah DAP sehingga Sdr Lim Kit Siang perlu berada di Teluk Intan setiap hari sepanjang tempoh kempen. Ada pilihanraya kecil yang kita bertanding supaya tidak memberi laluan percuma kepada BN dengan kefahaman bahawa kemenangan hanya akan datang jikalau berlakunya keajaiban luar biasa, seperti PRK Machap (Melaka) pada April 2007 (tugasan pertama saya sebagai Penasihat Strategi Pilihanraya kepada Setiausaha Agong DAP Sdr Lim Guan Eng). Ada juganya pilihanraya kecil di kerusi BN yang kita rasa berkemungkinan melakukan kejutan, seperti PRK Parlimen Sibu pada Mei 2010.
Dalam kes Teluk Intan, DAP bertanding untuk mempertahankan salah satu “marginal seat” yang dimenangi dalam PRU12 pada tahun 2008 dan PRU13 dengan majoriti yang tidak begitu besar. Calon BN Datuk Mah Siew Keong, yang juga selaku Presiden Parti Gerakan, telah menang dua kali (PRU10 pada tahun 1999 dan PRU11 pada tahun 2004) di kerusi yang sama. Sdr M. Kulasegaran (ahli parlimen Ipoh Barat sejak 2004) dari DAP pula menang dalam PRK tahun 1997 secara kejutan.
Profil etnik Teluk Intan ialah 42% berketurunan Cina, 38% Melayu dengan 19% India. Sebenarnya, ini bukan kerusi majoriti Cina dan sama sekali bukan kerusi Melayu. Profil ini tidak jauh beza dengan profil kerusi parlimen saya, Kluang, yang mempunyai 49% pengundi Cina, 39% Melayu dan 10% India.
Tsunami pilihraya 2013 bukan tsunami Cina semata-matanya. Saya sifatkan PRU13 tsunami bandar di mana Pakatan Rakyat dapat sokongan majoriti di kalangan semua kaum yang bermastautin di bandar, tetapi kalah di kawasan separa bandar, terutamanya di kalangan pengundi Melayu separa bandar.
Terdapatnya tiga bidang persaingan dasar di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Satu, Pakatan Rakyat dan masyarakat sivil memperjuangkan hak asasi manusia dan pendemokrasian. Agenda BERSIH adalah contoh terbaik bidang ini. Kedua, Pakatan Rakyat memperjuangkan keadilan ekonomi. Ekonomi Malaysia di bawah UMNO-BN berpihak kepada kroni-kroni dan mengakibatkan kesengsaraan kehidupan harian untuk rakyat jelata. Pakatan Rakyat memperjuangkan satu sistem ekonomi yang berpihak kepada rakyat.
Dalam kedua-dua bidang – pendemokrasian dan keadilan ekonomi – parti-parti Pakatan Rakyat berkongsi agenda hampir 100%. Bidang dasar ketiga yang saya panggil 3R – perkauman, agama dan institusi raja (race, religion dan royalty) adalah bidang di mana parti-parti Pakatan Rakyat tidak semestinya sehaluan sepenuhnya. Sejak selepasnya pilihanraya 2008, UMNO telah menumpukan usaha mereka untuk memecah-belahkan gabungan politik pembangkang baru, Pakatan Rakyat.
Salah satu strategi UMNO adalah membangkitkan kebencian pengundi Melayu terhadap DAP supaya PAS ditekan untuk berpisah dari gabungan politik bersama DAP. Strategi yang sama diguna di kalangan bukan Melayu supaya DAP tertekan dan meninggalkan PAS.
Dengan harapan untuk membawa game changer kepada politik tanah air, pimpinan DAP mengambil risiko besar untuk mencalonkan Sdri. Dyana Sofya Mohd Daud untuk mempertahankan kerusi parlimen Teluk Intan.
Game changer yang kami harap berlaku adalah:
1. UMNO tidak dapat main politik lama dengan memburukkan nama DAP sebagai parti bukan Melayu untuk memberi tekanan terhadap PAS di kalangan pengundi Melayu;
2. Dengan bantuan PAS dan PKR, Pakatan Rakyat dapat menguasai kerusi Teluk Intan semula dengan tambahan pengundi anak muda Melayu, kita memberi semangat kepada penyokong dan kejutan kepada UMNO di kawasan separa bandar di Selatan Kedah, Selatan Perak-Utara Selangor (Bagan Datoh, Tanjong Malim [Perak], Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor [Selangor]) dan juga di Utara Johor.
3. Dengan kehilangan sokongan di kerusi separa bandar, UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak terpaksa menilai semula dasar Barang Naik Barisan Nasional sejak selepasnya PRU13.
Dengan itu, game changer ini dapat membawa politik baru, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga kepada DAP dan Pakatan dalam soal yang membabitkan suara muda ke arah pendemokrasian.
Politik baru yang Dyana bawakan melalui DAP dan Pakatan akan membawa suara muda Malaysia, terutamanya anak muda Melayu, bersama dengan arus perubahan politik negara.
Share this article
Related Articles


- 12 May 2023·
A new era of ‘Look East’ would boost both Japan and Malaysia

- 1 May 2023·
Critical Shifts Needed in Malaysia’s Economic Thinking
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.