Melangkaui PRK Teluk Intan

Melangkaui PRK Teluk Intan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan PAS dan aktivis-aktivis yang berkempen di PRK Teluk Intan. Kesungguhan yang dicurahkan seolah-olah PAS yang bertanding di PRK Teluk Intan. Kehadiran Tuan Guru Hadi Awang di Teluk Intan terutamanya, telah meyakinkan petugas-petugas PAS dan penduduk tempatan. Saya mendoakan beliau sembuh secepat mungkin.

Sememangnya kita kecewa atas kekalahan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti yang tipis, iaitu 238 undi. Tetapi kekalahan membawa pengajaran. Juga, fenomena baru yang disaksikan sepanjang PRK Teluk Intan akan membantu kita untuk memahami keperluan politik semasa Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa DAP bukan sahaja tidak dapat mengerah pengundi luar untuk balik kampung mengundi secara beramai-ramai, malah tahap sokongan pengundi Cina dan India tempatan terhadap DAP juga merosot.

Kita boleh mencari penjelasannya, antaranya termasuklah tawaran Perdana Menteri untuk melantik calon BN Mah Siew Keong sebagai Menteri, Gerakan menggunakan slogan “Cina undi Cina” untuk memperdayakan kumpulan pengundi warga tua, taburan pelbagai “gula” oleh BN, janji dan habuan kepada penduduk bukan Melayu tempatan.

Tetapi, saya ingin lebih berterus-terang, bahawa “bulan madu” antara parti-parti pembangkang dengan pengundi bukan Melayu sejak pilihanraya tahun 2008 telah berakhir.

Sejak Perhimpunan Agung UMNO pada Julai 2005, di mana Ketua Pemuda UMNO menghunus keris dan sejak perhimpunan Hindraf pada November 2007, pengundi Cina dan India bangkit menentang UMNO, dasar-dasar rasis mereka dan memberikan sokongan kuat kepada parti-parti pembangkang termasuk PAS. Tsunami politik 2008 boleh dikatakan berasas sebagai gerakan menentang UMNO. Kerusi parlimen PAS melonjak dari 6 pada 2004 kepada 23 pada 2008.

Selain menentang UMNO dan parti-parti bersama UMNO pada 2008, ramai pengudi tanpa mengira kaum juga menganggap prestasi kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat memuaskan berbanding dengan pentadbiran di pusat dan negeri-negeri lain, dan idea kita memerlukan pembangkang untuk semak-imbang, dan idea yang dikongsikan ramai – bahawa Malaysia sudah dewasa dan bukan sahaja Barisan Nasional yang mampu mentadbir, Pakatan Rakyat juga berkelayakan menubuh kerajaan pusat.

Ketidakmampuan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan pusat dalam PRU13 telah mengecewakan sekumpulan pengundi, berita-berita negatif terutamanya perbezaan dasar-dasar (policy differences) di antara parti-parti Pakatan Rakyat sejak PRU 13 juga tidak membantu untuk meyakinkan rakyat.

Semua parti dalam Pakatan Rakyat haruslah menerima bahawa bulan madu dan keghairahan Pakatan Rakyat dengan peralihan undi pengundi bukan Melayu telah berakhir. Ini tidak bermakna Pakatan Rakyat sudah hilang “base” kita. DAP dengan calonnya Dyana Sofya masih dapat sokongan yang kuat dan hanya kalah dengan majoriti yang tipis.

Tetapi harus juga kita sedar bahawa PAS dan DAP selalunya mempunyai “base” masing-masing sejak awal lagi. Kalau tidak ada sokongan “pengalihan undi” maka kita akan kalah kerana hanya dengan “base” yang kukuh tidak akan bawa kita ke kemenangan. Dan kalau hanya menang di kerusi/negeri kubu kuat kita, PAS dan DAP tidak akan berpeluang memerintah di peringkat pusat selama-lamanya.

Pencalonan Dyana Sofya, seorang Melayu, anak muda, wanita, adalah salah satu langkah DAP memperluaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Saya faham, di kalangan penyokong DAP, memang ada yang berharap DAP menjadi MCA 2.0 dan hanya meletakkan calon bukan Melayu. Tenggok apa yang terjadi kepada Gerakan yang bermula sebagai parti pelbagai kaum dan parti beridealisma, kini merayu undi dengan “Cina undi Cina”.

Saya juga faham bahawa di kalangan penyokong PAS, ada yang tertanya-tanya kenapa DAP mencalonkan seorang Melayu? Ini kerana mereka berpandangan, bukankah PAS parti Melayu untuk Pakatan Rakyat yang akan mengganti UMNO?

Pengakhiran bulan madu pengundi bukan Melayu terhadap DAP bermakna PAS juga perlu berusaha lebih banyak untuk meneruskan sokongan bukan Melayu terhadap calon-calon PAS di kerusi-kerusi pelbagai kaum. Cara “outsourcing” BN di mana calon UMNO memancing undi Melayu untuk MCA dan MCA merayu undi Cina untuk UMNO tidak berkesan untuk BN sendiri. Formula ini memang tidak akan berkesan untuk Pakatan Rakyat kerana kerusi-kerusi pelbagai kaum yang dimenangi oleh PAS kebanyakannya adalah kerusi bandar.

PAS haruslah mengubah strategi untuk menawan hati bukan Melayu.

Dalam konteks yang sama, adalah lebih baik untuk PAS kalau DAP diterima oleh Melayu dan dapat juga mewakili hasrat dan impian rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu. Apa yang dikesan dalam PRK Teluk Intan adalah UMNO yang selalunya memomokkan DAP sebagai parti Cina tidak dapat mengendalikan keadaan di mana calon DAP lebih “Melayu” daripada calon BN.

Fenomena Dyana sebagai faktor baru dalam politik Melayu tidak berhenti dengan kekalahan di Teluk Intan mungkin kerana sentimen anti-establishment di kalangan anak muda dan wanita Melayu memang kuat walaupun tersirat sepanjang masa.

Diharapkan kerangka politik baru melahirkan politik berasaskan pembahasan dasar-dasar yang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat jelata dan bukan hanya politik identiti atau politik perkauman. Hanya dengan kerangka baru maka kita membuang kerangka UMNO ke dalam muzium.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More