Pembangkang boleh tentukan dasar kerajaan

buku jingga Pakatan Rakyat (edit)

Memasuki gelanggang persaingan idea, pembangkang memainkan peranan utama dalam menentukan agenda untuk “dicuri” kerajaan. Tetapi kita tidak seharusnya berhenti di situ. Kita perlu meneruskan desakan, dengan idea baru yang lebih baik, dipandu dengan kerangka falsafah yang kita dukungi.

Sejak Ketua Pemuda UMNO Hishammuddin Hussein (kini Naib Presiden UMNO) menghunus kerisnya pada Julai 2005, pembangkang telah dimanfaatkan dengan “bulan madu” yang agak panjang dari pengundi bukan Melayu. Penurunan mendadak sokongan Cina dalam PRK Teluk Intan barangkali sebagai petanda bahawa keghairahan “anti-UMNO” selama sembilan tahun ini telah menyurut.

Mungkin setakat itulah yang boleh dibawa sentimen “Kami bukan UMNO”. Apabila keghairahan ABU (Asal Bukan UMNO) menyurut, maka pembangkang perlu mencapai kemenangan dengan menawarkan idea yang lebih baik di peringkat nasional, dan mentadbir dengan idea yang lebih baik di peringkat negeri.

Ramai di kalangan pembangkang berpegang kepada idea bahawa tidak usah kita mengajar Barisan Nasional untuk menjadi “celik” dengan menawarkan polisi kita untuk ditirunya. Dengan kata lain, kita tidak perlu bekerja keras untuk mencanangkan idea. Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian. Mengapa?

Padahalnya, pembangkang di Malaysia tidak berpeluang untuk terlibat dalam penggubalan dasar – tapi ini bukan bermakna bahawa wakil BN memiliki peluang tersebut.

Jika dahulunya pegawai kakitangan awam kanan yang memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar, kini tugas “pemikir” telah di-“outsource” kepada badan swasta. Vendor, kontraktor dan perentir yang memaklumkan kerajaan apa yang harus dilakukan. “Alat mainan” pertahanan dibeli oleh kerajaan dengan mengingkari nasihat dari angkatan tentera. Bandar dibina atas nasihat pemaju. Lebuhraya dibina untuk memenuhi keperluan pemegang konsesi. Rangkaian LRT dan terowong saluran air dibina kerana tokoh kroni telah membeli sebuah jentera membina terowong pintar – yang bertujuan untuk meredakan situasi kebanjiran tetapi tidak begitu pintar ketika berfungsi.

Maka tugas pertama pembangkang Malaysia adalah untuk menuntut kembali ruang awam daripada badan swasta berkepentingan dan BN. Kita perlu mencurahkan kesungguhan yang setara untuk membincangkan soal pendemokrasian dan keadilan ekonomi, sebagaimana kesungguhan kita berperang dengan UMNO dan kumpulan yang sewaktu dengannya seperti ISMA dan PERKASA dalam dasar identiti (kaum, agama dan raja).

Pendemokrasian dan keadilan ekonomi adalah gelanggang yang mana lebih persamaan dikongsi bersama antara komponen Pakatan Rakyat. Barangkali ini juga bidang di mana BN boleh “mencuri” dasar kita, tetapi sekadar bentuk luaran tanpa menghayati jiwa dan roh di dalamnya.

Contohnya BR1M. Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat telah mengadakan mesyuarat mingguan antara Julai dengan September 2011 untuk merangka bajet alternatif. Ini antara usaha kita, setelah berjaya merangka satu dasar bersama pada Disember 2009.

Kami mengumumkan pada Julai 2011 bahawa Pakatan akan menumpukan fokus untuk meningkatkan mutu kehidupan 60% warga Malaysia terbawah dari segi pendapatan. Kami menekankan betapa pentingnya untuk menghapuskan monopoli, rasuah dan aktiviti merentir (rent-seeking) – agar pendapatan boleh guna bagi golongan 60% dari bawah ini boleh ditingkatkan.

Kita menganjurkan bahawa kerajaan perlu menawarkan kesihatan awam, pengangkutan awam dan perumahan awam yang lebih baik. Kita juga menekankan dasar gaji minima, mengurangkan kebanjiran pendatang asing yang tidak berkemahiran, disusuli dengan usaha membantu usahawan kecil dan sederhana untuk menaiktaraf industri mereka dengan teknologi yang lebih tinggi dan produktiviti yang lebih tinggi – lantas menawarkan lebih peluang pekerjaan berkemahiran yang pendapatannya lebih tinggi secara perbandingan.

Sejurus selepas pengumuman kami, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan BN akan bersaing dengan Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kehidupan golongan 60% terbawah. Keesokannya, seorang kawan dari kerajaan memberitahu saya bahawa pasukannya diminta untuk berusaha ke arah itu tanpa mengubah kerangka ekonomi yang memanfaatkan kroni. Hasil produknya bernama BR1M.

Kami boleh mendakwa bahawa itu kredit kami untuk memaksa kerajaan menumpu perhatiannya kepada 60% terbawah, tetapi kita perlu terus menerokai dasar yang pelbagai untuk memperbaiki kehidupan 60% dari bawah – bukannya dasar bersifat sementara semata-mata sebagaimana kita hulurkan candu dengan wang tunai sekaligus.

Begitu juga dengan royalti 20%. Kami yang menjuarai isu itu dan akhirnya ia menjadi sesuatu yang diperkatakan semua orang. Mungkin pada satu hari nanti, seseorang dari kerajaan yang mahu dirinya kekal relevan dan popular akan menyahut untuk bertindak, atau sekurang-kurangnya menawarkan perkhidmatan bibirnya untuk isu ini.

Jadi pembangkang tidak seharusnya berhenti sekadar menjana isu. Kita perlu mendalami asas ekonomi yang sebenar kerana adalah penting untuk kita menentukan agenda. Seandainya kita gagal menentukan agenda, maka UMNO dengan NGO yang berkepala kerasnya dan propagandis Biro Tata Negara tajaan kerajaan akan terus menjadikan perkauman, agama dan raja sebagai isu yang mencuri perhatian, tatkala kroni terus merompak khazanah negara tanpa dipantau sesiapa.

Akhirnya kita mahu menggegar kroni-kapitalisme UMNO-BN untuk menunjukkan kepada semua warga Malaysia bahawa satu paradigma pembangunan yang berbeza adalah mungkin. Kita boleh meruntuhkannya sistem kroni ini seandainya kita menggali dengan cukup dalam. Alternatif yang kita dokong bakal membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih dinamik ekonominya, dan pembangunan lestari untuk jangka panjang.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More