
DAP mahu mengubah Malaysia melalui idea
- 29 June 2014
- Uncategorized
Senario setahun selepas PRU13, khususnya selepas PRK Teluk Intan menjadi detik saat terburuk untuk politik Malaysia. Tetapi ia mungkin juga menjadi detik saat terbaik. Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Pemuda Sosialis DAP, dan Ahli Jawatankuasa Wanita, bersama wakil rakyat – ahli parlimen mahupun ADUN – telah mengadakan mesyuarat pada 13 hingga 15 Jun di Kuala Lumpur. Mesyuarat sebegini bukan kali pertama diadakan, padahal ia pernah diadakan pada tahun 2013 selepas PRU13. Namun pemimpin DAP hanya bermesyuarat untuk sehari pada kali pertama ianya diadakan. Dengan masa yang lebih panjang, mesyuarat kali ini memberi ruang untuk perbincangan yang lebih terperinci.
PRK Teluk Intan memberi isyarat bahawa “bulan madu” antara pembangkang dengan masyarakat bukan Melayu telah berakhir. Bulan madu bermula apabila Hishamuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2005 menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO, dan apabila UMNO menunjukkan kecenderungan ke arah politik yang konservatif dan pelampau.
Bagaimanapun, undi Melayu, terutamanya golongan anak muda mula memperlihatkan “kelonggaran”. Populariti Najib dalam soal selidik yang terbaru gagal melepasi 50%, untuk kali kedua. Malah UMNO yang kononnya parti mewakili Melayu, hanya mendapat sokongan sedikit lebih 50%, di kalangan Melayu. Dengan kata lain, hampir 50% Melayu tidak percaya kepada UMNO.
DAP mahu mengukuhkan kubunya, malah perlu menerokai kemungkinan baru dalam senario politik Malaysia yang sedang berubah. DAP tidak boleh lagi melihat dirinya sebagai “parti yang mewakili bukan Melayu”, tetapi juga mewakili bumiputera bukan muslim dari Sabah dan Sarawak, malah bumiputera muslim. Bukan itu sahaja, DAP perlu menjadi wakil kepada pengundi Melayu.
Dua sesi diperuntukkan untuk perbincangan isu Hukum Hudud dalam mesyuarat kali ini. Perbincangan diperincikan bahawa masyarakat kita sebenarnya berlapis-lapis. Hukum Hudud bukan sekadar isu setuju atau tidak, tetapi juga apakah Malaysia bersedia untuk pelaksanaannya pada masa sekarang. DAP bukan sahaja perlu menampilkan pendirian yang diiktiraf bukan muslim, tetapi hujahnya juga perlu meyakinkan masyarakat muslim.
Kita mahu mengetengahkan dasar seluruh rakyat, iaitu tatkala menerokai sumber undi, kita perlu menjadikan rakyat Malaysia sebagai asas ketika memikirkan penggubalan dasar. Contohnya, belia kaum India berdepan dengan masalah yang agak ketara ketika mencari peluang pekerjaan. Begitu juga, belia Melayu, malah belia Cina kelas menengah bawah juga berdepan dengan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi, atau gaji yang rendah. Penyelesaian masalahnya adalah memenuhi keperluan ekonomi setiap kaum. Semua kaum harus difahamkan bahawa masalahnya bukan kaum, tetapi kroni dan kapitalisme yang menceroboh peluang ekonomi rakyat jelata dan menjejaskan keadilan ekonomi.
Peserta mesyuarat kali ini juga terbahagi kepada empat kumpulan untuk meneliti dasar pembangunan jangka panjang dalam isu pentadbiran bandar, separa bandar, impian Malaysia (bukan penyokong tradisional) serta wanita dan belia.
Sungguhpun DAP agak selesa dengan pengundi bandar, tetapi permintaan pengundi bandar semakin hari semakin tinggi. Dasar kita di negeri Pakatan Rakyat, dan idea kita untuk membangunkan bandar yang lain, perlu selari dengan permintaan pengundi terhadap pentadbiran bandar.
Kawasan separa bandar adalah tempat yang agak sukar untuk DAP pada masa lalu. Tetapi dalam dua pilihan raya umum yang lalu, terutamanya PRU13, DAP telah memperolehi kemenangan di banyak tempat separa bandar. Kebanyakan kawasan ini tidak terpisah dari aktiviti pertanian, perikanan dan tanaman, dan hubungan antara pengundi juga tidak sama dengan bandar. Kita perlu mencurahkan lebih tenaga untuk mengusahakan kawasan-kawasan sebegini.
Penyokong bukan tradisional juga merupakan golongan yang harus diterokai DAP yang kini dalam proses transformasi. Untuk golongan wanita dan belia pula, DAP berharap boleh menjadi parti politik yang diutamakan anak muda semua kaum, dan kita juga berusaha untuk menjadi parti politik yang mampu mengetengahkan dasar wanita yang progresif.
Dasar hijau juga sesuatu yang harus kita fikirkan secara mendalam. Dari gerakan anti Lynas oleh Himpunan Hijau, Malaysia memiliki penyokong penjagaan alam yang amat besar bilangannya. Tetapi kita belum mempunyai parti hijau yang menjadikan penjagaan alam sebagai agenda utama. Seandainya DAP boleh berfikir secara menyeluruh dari segi dasar nasional, mungkin kita juga boleh menyasarkan golongan ini – supaya DAP menjadi pilihan utama pencinta alam.
Pada masa yang sama, jikalau dahulu DAP hanya sebuah kedai runcit yang kecil, kini pengundi menaruh harapan agar DAP menjadi “Hypermarket”. Transformasi organisasi adalah antara tugas yang penting selepas ini.
Kami memutuskan untuk mengadakan mesyuarat seperti ini pada 16 -18 Januari 2015, dan mendalami isu yang dibincang dalam tempoh setengah tahun akan datang. Kami menaruh harapan agar DAP boleh menjadi parti idea, dan mengubah Malaysia melalui idea.
Share this article
Related Articles


- 7 Nov 2023·
Thinking Strategically for Malaysia’s Semiconductor Industry

- 6 Nov 2023·
Bringing Malaysians back to the cities
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.