Dari sini ke mana?

PAS (edited)

Minggu lalu saya memulakan tulisan saya dengan “Krisis Selangor telah berkembang jauh sebagai krisis Selangor semata-mata.” Persoalan ini mendesak kita untuk berfikir, sejauh manakah krisis Menteri Besar Selangor ini menjadi penentu pilihan raya umum yang akan datang?

Suara-suara dalam UMNO mula kedengaran. Misalnya Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan, menyebut bahawa krisis Selangor memberi peluang kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk mengadakan PRU 14 seawal mungkin supaya Barisan Nasional memperolehi mandat majoriti dua pertiga.

Di setiap ceramah yang saya hadir sepanjang tempoh kempen PRU 13, saya mengulangi hipotesis berikut, bahawa jikalau PAS diterima melangkaui batasan, tanpa keraguan oleh bukan Melayu dan DAP diterima oleh Melayu sepenuhnya, maka kita mampu menumbangkan Barisan Nasional bersama.

Kawan dalam Parti Keadilan Rakyat bertanya selepas ceramah, mana tempat parti mereka pula? Jawapan saya mudah, kalau PAS menang di kawasan campuran kaum dengan sokongan kuat bukan Melayu dan DAP menang di kawasan campuran dengan sokongan Melayu, maka gelombang tersebut juga akan membawa PKR ke arah kemenangan yang sama.

Logik di sebalik pemikiran ini adalah UMNO-Barisan Nasional hanya kekal memegang tampuk kuasa kerana menguasai media massa, seperti Utusan Malaysia dan TV3, dan pelbagai agensi propaganda seperti Biro Tatanegara, JASA dan KEMAS, untuk memecah-belahkan masyarakat dengan sentimen perkauman. Semua perbincangan politik dibicarakan dalam kacamata 3R (Race, Religion, Royalty) – perkauman, agama dan institusi raja.

Sebaliknya, garis panduan persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 1993 dan 2003 adalah untuk mewujudkan kerusi parlimen pelbagai kaum kerana perhitungan ketika itu mengandaikan pembangkang hanya memperolehi sokongan terbatas dengan DAP menang di kawasan majoriti Cina dan PAS menang di kawasan majoriti Melayu. Dalam perhitungan tersebut, DAP tidak akan dapat sokongan Melayu dan PAS tidak akan dapat sokongan bukan Melayu.

Dalam PRU 13, Pakatan Rakyat menang hampir semua kerusi di bandar-bandar utama dengan sokongan semua kaum termasuk pengundi Melayu. Kes Selangor adalah contoh terbaik. Kerusi DUN PAS di Selangor berlipat ganda atas sokongan yang melangkaui batasan kaum.

Sekurang-kurangnya, formula UMNO-Barisan Nasional untuk memainkan sentimen perkauman telah digagalkan Pakatan Rakyat di Selangor, di atas gelanggang kerusi pelbagai kaum.

Kawasan-kawasan penentu yang Pakatan tidak menang tetapi kalah tipis adalah hampir 20 kerusi parlimen separa bandar di mana akses maklumat tidak sebaik berbanding dengan kawasan bandar, Lebih-lebih lagi dalam keadaan jentera kita pun kurang memuaskan.

Perlu kita sedar bahawa penyokong Pakatan Rakyat berbeza dengan penyokong UMNO-Barisan Nasional. Penyokong kita menyokong Pakatan atas pencerahan melalui maklumat dan penjelasan. Barisan Nasional meraih undi dengan habuan.

Jarak kita dari Putrajaya nampaknya tidak jauh kalau tujuan kita adalah untuk menumbangkan UMNO/Barisan Nasional dan memulakan satu era keemasan baru untuk tanah air kita. Formulanya adalah mengulangi kejayaan pilihanraya PAS di Selangor pada PRU ke-13 di seluruh negara.

Soalan yang timbul sekarang adalah kalau PAS menang besar bersama Pakatan Rakyat tetapi tidak berkompromi dalam isu-isu pokok, misalnya calon Perdana Menteri, bolehkah semua pengundi diyakinkan untuk memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk menuju ke Putrajaya?

Dalam pertemuan saya dengan ramai para diplomat atau penyelidik asing, seringkali saya ditanya adakah politik pembangkang mempunyai masa depan?

Jawapan saya hampir sama, dengan perbezaan sedikit dengan ucapan ceramah saya, bahawa kalau DAP dan PAS mengambil jalan tengah dan menjadi parti-parti mainstream (arus perdana), maka kita akan bersama dalam kerajaan dan bukan pembangkang.

Sebagai penyelidik politik PAS, saya sentiasa mengingati saranan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor kepada PAS selepas gelombang reformasi melipatgandakan keahlian PAS – PAS mesti menjadi sebuah parti mainstream supaya bukan sahaja mendapat sokongan hardcore tetapi semua golongan Melayu-Islam dan semua kaum.

Hanya politik jalan tengah (middle ground) dapat kita melangkaui batasan-batasan yang ditentukan oleh parti lawan kita. Dan hanya dengan visi menjadi parti mainstream, kita dapat sokongan semua untuk memerintah Malaysia.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More