Dr. Mahathir ketua pembangkang paling hebat?

Mahathir (edited)

Politik Malaysia tidak pernah membosankan. Sehari selepas Pakatan Rakyat bersepakat menolak Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, bom yang lebih besar daripada kemelut tersebut diletupkan oleh Dr. Mahathir Mohamad – beliau “menarik balik” sokongan terhadap Dato’ Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Kita biasa dengan kata-kata orang bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah “the prime minister we never had” atau perdana menteri yang tak sampai ke tampuk kuasa.

Nampaknya Tun Mahathir pula paling layak digelar ketua pembangkang yang tak rasmi kerana telah menyebabkan kejatuhan hampir semua perdana menteri Malaysia kecuali Tun Abdul Razak dan dirinya sendiri!

Dalam rencana baru bertajuk “Menegur” pada 18hb Ogos 2014, Dr. Mahathir dalam blognya menulis:

“Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.

“Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.

“Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.”

Bagi Dr. Mahathir, agak jelas bahawa pengumuman penarikan balik sokongan terhadap Najib mempunyai kesan yang sama pedih dengan tentangan politiknya terhadap Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Badawi.

Walau apa pun, seperti biasa, Najib membisu seribu bahasa tanpa memberi sebarang komen. Ini tidak baik untuk rakyat dan negara, khususnya tentang ekonomi negara.

Sebagai perdana menteri, mungkin Najib merasakan dia boleh menggunakan sumber-sumber kewangan awam untuk mengekalkan sokongan politik dalaman UMNO. Tetapi beliau juga perlu faham bahawa politik bukan sahaja kuasa kewangan dan kuasa institusi. Persepsi dan legitimasi di mata rakyat adalah lebih penting dan ia sebenarnya penentu yang muktamad.

Dr. Mahathir menumbangkan Tunku dan Tun Abdullah dengan tulisan dan lidah tajam beliau tanpa menggunakan kuasa institusi atau kewangan.

“Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Dr. Mahathir sendiri terpaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden UMNO. Dalam rencana terkini beliau menulis bahawa “Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal ‘Bila lagi orang tua ini akan pergi.’ Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.”

Sebenarnya waktu itu ia bukan bisik-bisik lagi. Sebagai anak muda generasi reformasi pada 1998, saya juga salah seorang daripada ratusan ribu rakyat Malaysia yang melaungkan “undur, undur Mahathir” di jalan raya Kuala Lumpur.

Ada orang kata Dr. Mahathir mahir dalam pentadbiran negera sebagai perdana menteri. Saya tidak semestinya setuju dan saya akan jelaskannya dalam tulisan yang lain kenapa Malaysia masih menanggung beban dasar-dasar Dr. Mahathir.

Namun apa yang pelik ialah keupayaan Dr. Mahathir sebagai kuasa pembangkang yang paling berkesan buat masa ini. Dengan hanya lidah dan tulisan (dan dibantu oleh pengarang-pengarang kanan media massa), beberapa perdana menteri lain “dibantunya” untuk ditumbangkan.

Ramai tidak mengetahui bahawa dengan mencalonkan seorang pencabar kepada Tun Hussein Onn dalam pemilihan UMNO pada 1978, Dr. Mahathir turut menghakis legitimasi bapa Dato Seri Hishammuddin sebagai perdana menteri ke-3, dan akhirnya menyumbang ke persaraan Tun Hussein pada Julai 1981.

Kini Dr. Mahathir sedang menghakis legitimasi Najib dengan kata-kata: “Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.”

Buat kali pertama Dr. Mahathir membandingkan Najib dengan Abdullah, dan memberi satu penilaian yang memaksa semua ahli UMNO (kita semua dah tahulah!) untuk berfikir dua kali: Najib lebih teruk daripada Pak Lah yang mereka kecam sungguh-sungguh mengikut irama Dr. Mahathir beberapa tahun lalu.

Sekali lagi saya nyatakan, bukan semua yang dikatakan oleh Dr. Mahathir kita setuju.

Najib harus diberikan penghargaan kerana menghapuskan ISA (walaupun digantikan dengan akta lain yang membawa kesan yang tidak jauh bezanya) atas teguran “pihak musuh”, sebagaimana yang dituduh oleh Dr. Mahathir.

Tetapi lebih pentingnya, rakyat menyokong agenda pendemokrasian negara. Rakyat mahu Malaysia yang lebih selesa dengan pelbagai suara dan bukan hanya suara UMNO dengan agenda perkauman mereka. Rakyat mahukan suasana politik yang lebih matang. Dari segi ini memang Dr. Mahathir ketinggalan zaman dan masih dalam era kuku besi.

Tetapi teguran Dr. Mahathir juga ada yang kita setuju. Penyelewangan kewangan memang teruk di bawah pentadbiran Dr. Mahathir. Tetapi beliau pula menuduh Pak Lah dan “Fourth Floor Boys” yang teruk rasuah. Apa yang kita semua setuju sekarang ialah penyelewengan kewangan di bawah Najib, terutamanya yang melibatkan 1MDB, adalah yang paling teruk.

Kesan faktor Dr. Mahathir terhadap kerjaya politik Najib belum lagi boleh ditentukan. Tetapi saya tidak akan hairan jika Najib terpaksa meletak jawatan tidak lama lagi.

Apa yang perlu kita semua mengambil iktibar: kita sebagai oposisi nasional mesti menentukan agenda supaya tidak semua agenda pembangkang ditentukan oleh Dr. Mahathir. Walaupun kita mungkin setuju dengan kritikannya terhadap pengurusan kewangan negara, kita tidak setuju dengan pemikiran anti-demokrasi dan perkauman yang beliau sebarkan.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More