The year of living dangerously

Year-of-Living-Dangerously

Sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, soalan yang ingin saya lontarkan kepada semua rakyat Malaysia adalah, benarkah Malaysia kini berada di ambang The Year of Living Dangerously?

Persoalan ini saya bangkitkan kerana kita sedar bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lagi dapat mempertahankan populariti beliau di dalam parti serta di kalangan rakyat, terutamanya orang Malayu, manakala pencabar utama Barisan Nasional, iaitu Pakatan Rakyat dilihat seolah-olah kehilangan hala tuju.

Saya sengaja memilih tajuk Bahasa Inggeris ini untuk mengaitkan keadaan di Indonesia dengan politik Malaysia masa kini. Biar saya jelaskan di sini.

Pertamanya, tentang sebuah buku, iaitu karya Adam Schwarz’s “A nation in waiting” yang diterbitkan pertama kali pada awal tahun 1990-an. Walaupun ditulis sewaktu Presiden Suharto berkuasa mutlak, karya itu mendedahkan tentang kontradiksi politik yang serius. Indonesia pada masa itu semacam bom yang menanti untuk meletup.

Sedekad sebelum Pak Suharto ditumbangkan melalui gerakan reformasi pada 21 Mei 1998, Indonesia gagal dimajukan dari segi pendemokrasian dan pertumbuhan ekonomi. Ini adalah kerana kerangka kepimpinan regim Suharto sudah tidak lagi relevan tetapi kuasa yang dipegangnya menghalang penerokaan idea-idea baru untuk membaikpulih Indonesia.

Keduanya, sebuah filem yang bertajuk The Year of Living Dangerously terbitan tahun 1982 yang dibintangi oleh Mel Gibson yang berasaskan novel dengan tajuk yang sama oleh Christopher Koch. Novel tersebut mengunakan sejarah kejatuhan Presiden Sukarno dari tampuk kuasa pada tahun 1965 sebagai latar belakang.

Tajuk The Year of Living Dangerously dipetik dari ayat bahasa Itali yang digunakan oleh Sukarno “vivere pericoloso”, yang bermakna hidup dalam bahaya, yang menjadi tajuk ucapan Hari Kebangasaan Indonesia pada 1964. Pada tahun itu Indonesia sudah setahun melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia kerana membantah apa yang didakwa sebagai komplot neo-kolonialisme Barat untuk menghancurkan Indonesia.

Kita di Malaysia perlu bertanya pada diri sendiri: Adakah setahun dari sekarang kita akan mengimbas balik dan berkata bahawa tahun ini tahun yang paling berbahaya kerana gagal mengendalikan kontradiksi yang menyebabkan kita terpaksa berdepan dengan kesannya sekarang?

Kenapa Khalid Samad, N. Surenden, Rafizi Ramli, RSN Rayer dan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat lain didakwa di mahkamah atas Akta Hasutan yang sebelum ini Najib pernah memberi jaminan ia akan dihapuskan?

Sehingga Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan bahawa sewaktu pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikatakan lebih zalim, hanya Lim Guan Eng sahaja seorang Ahli Parlimen yang didakwa di bawah Akta Hasutan dan dijatuhkan hukuman. Kit Siang menggelar apa yang berlaku sekarang sebagai “era kuku besi baru Najib”.

Apa yang sedang berlaku sekarang mengingatkan kita kepada Ops Lalang pada 27 Oktober 1987 di mana ramai ahli politik pembangkang ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ops Lalang berlaku selepas Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO hampir kalah dalam pemilihan parti pada April 1987 kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi sahaja. Walaupun Dr. Mahathir menang, beliau hilang legitimasi. Beliau dianggap tidak kuat dan boleh dilontarkan pelbagai kritikan.

Kini kita berada di situasi yang sama. Najib agak lemah. Najib lebih lemah selepas “penarikan sokongan” oleh Dr. Mahathir. Sekarang, sesiapa pun dalam UMNO boleh lontarkan kritikan terhadap Najib. Lebih parah kalau kritikan dilontarkan terhadap isteri beliau.

Untuk menghalang sesiapa dalam UMNO melemahkan Najib, maka pentadbiran beliau kini mahu mengajar mereka yang berani. Maksudnya ada harga yang perlu dibayar jika berani mengkritik dirinya atau kepimpinannya. Sesiapa yang membuat kritikan boleh diheret ke mahkamah atas dakwaan menghasut.

Dengan mendakwa para pemimpin Pakatan di mahkamah, Najib menghantar mesej kepada UMNO bahawa beliau seorang yang tegas dan bukan pemimpin lemah seperti apa yang didakwa oleh Dr. Mahathir.

Malangnya, dalam usaha untuk menunjukkan “kejantanan” beliau, Najib bukan sahaja menghapuskan apa sahaja ruang demokrasi yang sedia ada untuk pihak pembangkang tetapi juga membohongi rakyat yang dijanjikannya Malaysia yang lebih demokratik dan adil.

Najib telah mencari jalan yang sempit supaya untuk mengekal di tampuk kuasa. Beliau tidak bersedia menghadapi cabaran-cabaran dan kontradiksi yang sekian lama diabai, apa lagi mengubahnya. Beliau memilih jalan singkat untuk terus bergayut dengan kuasa.

Pihak Pakatan Rakyat pula mesti sedar bahawa walaupun UMNO masih di tampuk kuasa, parti itu sebenarnya sudah lemah, malah parah di dalamnya. Janganlah kita pula yang memberi nafas baru kepada UMNO. Kita dalam Pakatan Rakyat mesti faham UMNOlah musuh kita bersama.

Kalau kita tidak tahu siapanya musuh kita, maka kita semua akan dimusnahkan oleh kezaliman, kekejaman dan kuku besi. Ingatlah, 27 tahun yang lalu pada 1987, ahli-ahli pembangkang dan aktivis sosial tidak ada agenda bersama, hanya pengalaman yang sama dalam Kamunting.

Hampir 30 tahun selepas itu, kita mesti mangambil ikhtibar bahawa kita perlu mempunyai agenda bersama untuk membawa negara kita mara ke arah kebaikan supaya ia lebih demokratik, lebih adil untuk semua.

Kita memang berada dalam The Year of Living Dangerously yang memerlukan kebijaksanaan semua, dan bukan dikalahkan oleh UMNO dengan kezaliman dan kekejaman walaupun ia semakin lemah hati budinya.

Saya tetap berpegang kepada kata-kata bersatu teguh bercerai roboh. Inilah harapan kita semua rakyat Malaysia.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles