Politik Baru, Wilayah Baru

Ringkasan Ucapan Pengerusi Negeri DAP Johor Liew Chin Tong pada Konvensyen DAP Negeri Johor 2014 pada 12hb Oktober 2014

Tema yang dipilih oleh Jawatankuasa Negeri DAP Johor untuk Konvensyen DAP Johor 2014 – Politik Baru, Wilayah Baru – mengambarkan hasrat dan aspirasi kita untuk membuka lembaran baru untuk politik Malaysia yang bermula dari Johor.

Penghormatan

Marilah kita memberi penghormatan kepada Sdr. Karpal Singh yang mana pemergian mendiang pada 17hb April 2014 telah menjadi satu kehilangan besar yang sangat menyedihkan kepada kita semua. Legasi Karpal akan terus menjadi asas perjuangan DAP.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Agung Sdr. Lim Guan Eng atas kehadiran beliau di Konvensyen ini, dan merakamkan sokongan DAP Johor terhadap kepimpinan beliau yang telah membawa transformasi besar kepada parti kita, iaitu daripada “parti pembangkang tetap” kepada sebuah parti dalam kedudukan yang mantap dan hebat pada hari ini.

Saya juga ingin merakamkan rasa kagum atas peranan penting Ketua Parlimen DAP Sdr. Lim Kit Siang, sebagai Ahli Parlimen dari Johor, yang kini menjadi negeri dan wilayah baru untuk DAP dan Pakatan Rakyat.

Dan sudah tentu saya mahu merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada ahli-ahli DAP, khususnya para veteran yang telah bersama dengan parti sejak dahulu lagi. Saya difahamkan bahawa Kelab Veteran DAP cawangan Johor akan ditubuhkan pada 25hb Oktober 2014 dan saya dengan ini menyatakan iltizam DAP Johor untuk menyokong inisiatif baru ini. DAP Johor juga telah menubuhkan Jawatankuasa “DAP@50” Peringkat Negeri yang diketuai oleh Sdri. Gan Peck Cheng bagi membuat persiapan untuk perayaan ulang tahun ke-50 DAP pada tahun 2016 yang akan turut menampilkan sejarah sumbangan dan pengorbanan para veteran DAP.

Pimpinan DAP Johor

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjuran Konvensyen yang dipengerusikan oleh Sdri Gan Peck Cheng dan dianggotai oleh Sdr. Tan Chen Choon dan Sdr. Lim Eng Guan kerana menjayakan Konvensyen ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas khidmat ahli-ahli Jawatankuasa Negeri yang dipilih oleh perwakilan pada 12hb Januari 2014, sembilan bulan yang lalu. Dalam 9 bulan sejak Jawatankuasa Negeri ini dibentuk, Jawatankuasa telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali dan bersama dengan pimpinan negeri, kami telah melawat ke hampir semua kawasan Parlimen dan menjalankan program-program mendekati rakyat sambil mendengar suara mereka, seperti siri Forum Kedai Kopi dan lawatan tapak untuk memahami isu dasar.

Semasa saya diamanahkan jawatan pengerusi DAP Johor, saya telah menggariskan strategi-strategi pimpinan DAP Johor seperti berikut:

Ahli-ahli DAP

Pertamanya, bersama dengan ahli-ahli DAP atas dasar “Penyertaan, Tanggungjawab dan Bangga Bersama DAP”; ia bererti kita mahu ahli-ahli kita menyertai usaha transformasi DAP, bertanggungjawab untuk meluaskan daya tarikan DAP kepada semua peringkat masyarakat daripada kedai kepada arena politik nasional, dan bangga menjadi sebahagian daripada keluarga DAP.
Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Negeri

Kedua, untuk memastikan semua wakil rakyat kita berusaha lebih gigih dan bukan sekadar menjaga kawasan masing-masing. Kita mahu melihat wakil rakyat kita sebagai pemimpin DAP yang membina parti bukan sahaja di kawasan mereka sendiri tetapi juga menjadi pemimpin untuk seluruh negeri yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada ahli; kita juga mahu wakil rakyat kita menjadi juara kepada dasar atau polisi di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri. Semua wakil rakyat kita mesti mengambil sikap bahawa DAP bersama Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan yang sedang menanti untuk mengambil alih pentadbiran negeri. Dengan izin, kita adalah government-in-waiting yang mempunyai dasar atau polisi alternatif yang lebih baik daripada kerajaan yang ada sekarang; kita mahu menunjukkan bukti bahawa DAP sedang membina masyarakat, dan bukan hanya mengumpul sokongan politik. Pusat-pusat komuniti kita bukan hanya mampu menyelesaikan aduan rakyat tempatan tetapi juga menjadi ruang untuk masyarakat meluahkan aspirasi mereka, khususnya di kalangan generasi muda.

Pakatan Rakyat

Ketiga, kita ingin melihat hubungan yang lebih baik antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Di peringkat nasional, Pakatan Rakyat yang kini menghadapi krisis politik yang paling buruk sejak penubuhannya pada 2008 dilihat akan terjejas sokongan daripada rakyat di peringkat negeri termasuk di Johor. Dengan itu, kita amat mengharapkan pucuk pimpunan semua parti dapat menunjukkan secara jelas arah tuju Pakatan di peringkat nasional. Bagaimanapun perlu saya jelaskan di sini bahawa hubungan kepimpinan negeri DAP, PAS dan PKR adalah amat baik sekali.

Membina sokongan di seluruh pelusuk Johor

Keempat, DAP Johor bukan sahaja akan memberi tumpuan untuk membina sokongan pengundi di kawasan-kawasan yang telah kita menangi dalam PRU yang lalu. Kita juga sedang membina sokongan politik untuk DAP dan Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan yang belum kita menangi. Kita percaya bahawa hanya dengan kehadiran DAP dan Pakatan Rakyat di seluruh pelusuk negeri Johor, kita akan dapat membantu DAP dan Pakatan Rakyat menang di peringkat negeri dan nasional dalam PRU yang akan datang.

Kawasan separa bandar dan persepsi Melayu

Kelima, DAP sedar bahawa untuk memenangi Putrajaya, pihak pembangkang mesti meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan separa bandar, bahawa kita adalah parti yang boleh mereka percaya dan yakini. Dengan adanya tekanan ekonomi yang semakin berat di kawasan-kawasan separa bandar akibat dasar-dasar Najib seperti pemotongan subsidi minyak dan memperkenalkan GST serta kejatuhan harga komoditi, kita perlu mendekati kawasan-kawasan separa bandar ini yang mana DAP tidak berpeluang untuk berbuat demikian pada masa-masa yang lalu.

Di Johor, beberapa kerusi di utara negeri adalah kawasan-kawasan separa bandar yang memerlukan hanya 5 hingga 8 peratus peralihan undi atau dengan izin, 5 to 8 percent swing votes, untuk mengubah lanskap politik Johor. Dan apabila kita memikirkan tentang wilayah baru, Johor adalah negeri di mana PAS hanya boleh menang sekiranya ia mendapat undi daripada pengundi bukan Melayu manakala DAP pula akan hanya dapat meningkatkan sokongannya di kalangan orang Melayu jika berlaku perubahan persepsi di kalangan orang Melayu terhadap DAP. Dan hanya apabila Pakatan Rakyat mampu menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu ke jalan tengah barulah kita dapat melihat perubahan positif yang sebenar.

Sdr dan sdri, cabaran di hadapan kita bukanlah sesuatu yang mudah untuk diatasi. Tetapi DAP tidak pernah memilih jalan yang mudah. Kita adalah pejuang yang tidak pernah mengaku kalah, yang terus bertahan dan yang mampu mencapai kemenangan walaupun dalam keadaan yang pedih dan menderitakan. Saya ingin mengajak semua rakan seperjuangan saya untuk terus menjadikan DAP sebagai pilihan utama bagi semua warga Johor dan seluruh rakyat Malaysia.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More