Najib: Masalah atau jawapan UMNO?

najib-PAU 2014

Keresahan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikesan dalam satu temubualnya bersama Utusan Malaysia, yang disiarkan pada 22 November 2014.

“Katakanlah esok ada pilihan raya umum, saya nak tanya menang ke kalah. Bila isu di Selangor, hal Azmin (Ali) dan Khalid (Ibrahim), ada pihak kata elok dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya buat pilihan raya baharu, mudah-mudahan boleh menang. Saya tanya balik kepada orang (UMNO) Selangor, kalau esok dibubarkan DUN, ada pilihan raya, UMNO boleh menang? Seorang pun tak kata ya…”

Demikianlah kata-katanya, dan saya rasa inilah satu-satunya kata sepakat yang tercapai dalam UMNO. UMNO boleh tumbang jikalau terpaksa berdepan dengan pilihan raya umum pada hari esok. Cuma, persoalan yang tidak disepakati adalah apakah yang harus dilakukan seterusnya untuk menyelamatkan UMNO daripada tumbang? Siapa pula yang harus laksanakannya?

Bukan sahaja tiada kata sepakat, malah wujud percanggahan yang jelas antara dua garis politik – iaitu terus menjuarai isu perkauman dan agama, atau memikat hati seluruh rakyat Malaysia. Dilema UMNO, masalah hilang halatuju, malah tidak pasti siapa pengemudi seterusnya ini boleh disimpulkan dengan tiga persoalan berikut:

Pertama, Najib semakin keseorangan, tetapi beliau masih mempunyai nilai yang tersendiri;

Kedua, Ada cubaan Mahathir untuk melakukan sesuatu, tetapi kebangkitan sayap kanan UMNO padahal tidak menguntungkan UMNO untuk meraih sokongan seluruh rakyat Malaysia;

Ketiga, Faktor luaran, ancaman Pakatan Rakyat masih mampu menggugat UMNO, dan kemelut ekonomi yang menunggu masanya untuk meledak. Persoalan ini telah disentuh dalam tulisan saya pada minggu lalu.

Maka saya tumpukan perbincangan untuk persoalan pertama dan kedua. Pertama, Najib Razak sebagai masalah atau jawapan UMNO? Najib bersama Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hari keesokan, selepas pertukaran kerajaan tidak berlaku pada 16 September 2008. Dengan bantuan tekanan yang diasakkan oleh Tun Mahathir Mohamad, Pak Lah akhirnya tunduk dengan menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib.

Gandingan Najib dan Muhyiddin mengasak selangkah lagi pada 25 September 2008, selepas cubaan pertama mereka berjaya. Pak Lah akhirnya akur dengan bersetuju untuk berundur pada tahun 2009. Najib dilihat sebagai jawapan untuk menyelamatkan UMNO pada ketika itu.

Cuma sekarang, Mahathir menganggap prestasi Najib lebih teruk daripada Abdullah. Apakah ia sekadar soal “bila” untuk mengasak agar Najib berundur?

Bezanya Najib dengan Abdullah adalah sikap mereka ketika mengendalikan pengagihan sumber, dan rangkaian akar umbi mereka dalam parti. Mungkin Abdullah tidak begitu fasih dengan formula membeli sokongan dengan peruntukan sumber, atau, garis dasar moralnya lebih tinggi daripada Najib.

Najib mula berkecimpung dalam politik mulai tahun 1976, menggantikan ayahandanya Almarhum Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Abdullah pula bertanding dalam PRU hanya pada tahun 1978. Najib menguasai sumber sepanjang kerjaya politik beliau dalam UMNO, dan ramai pemimpin yang segenerasi dengan beliau, disuapkan sumber daripadanya. Dengan kata lain, mereka terhutang budi dengan Najib.

Pak Lah enggan mengambil pendekatan yang terlalu keras ketika mengendalikan masalah perkauman. Najib pula berbeza, beliau boleh memberi laluan untuk pemimpin sayap kanan menghangatkan isu perkauman dan agama dengan pendekatan yang agresif, sungguhpun pada masa yang sama beliau mendahagakan undi bukan Melayu.

Masalah yang merunsingkan strategis UMNO sekarang adalah, apapun rungutan yang dilontarkan terhadap Najib, popularitinya tetap lebih tinggi berbanding UMNO. Populariti Muhyiddin mungkin tidak jauh berbeza dengan Najib di kalangan masyarakat Melayu, tetapi ketinggalan jauh jikalau dirangkumkan pandangan masyarakat bukan Melayu.

Ramai menteri UMNO yang merungut bahawa Najib tidak mempunyai lebih masa untuk perbincangan peribadi dalam isu-isu tertentu. Lantaran daripada itu, mereka tidak dipandu dengan halatuju yang jelas. Justeru itu, masing-masing mengikut naluri sendiri ketika membahaskan soal dasar. Ramai yang semakin hilang kesabarannya ketika berdepan dengan situasi sedemikian. Cuma, apakah wujud pengganti yang lebih baik daripada Najib, seandainya beliau digulingkan?

Keduanya, sayap kanan dalam UMNO semakin bermaharajalela selepas PRU12 pada tahun 2008. Puak ini sebenarnya memainkan peranan untuk mengukuhkan kubu UMNO. Serangan propaganda bahawa “PAS tunduk kepada DAP”, ada kesannya untuk menyelamatkan UMNO.

Cuma persoalannya, garis politik sayap kanan ini mungkin memberi kesan sebaliknya untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak seterusnya. Dalam tempoh sedekad yang lalu, UMNO telah kehilangan keabsahan politiknya di kalangan Cina dan India, disusuli dengan Melayu dalam bandar. Apakah UMNO mampu bertahan jikalau penganut kristian di Sabah dan Sarawak juga hilang percaya terhadap BN?

UMNO mungkin menganggap bahawa mereka masih boleh terus memerintah tanpa sokongan “lain-lain”, barangkali dengan penyempadanan semula kawasan yang memihak kepadanya. Cuma, seandainya UMNO juga hilang sokongan di kalangan Melayu, maka ia bakal mengulangi nasib MIC. Proses urbanisasi dan kemunculan pengundi muda antara perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu. Apakah UMNO mampu tidur lena dengan perubahan sedemikian?

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More