Politik Baru, Wilayah Baru

(Mukadimah dan Ucapan Pengerusi DAP Johor di Laporan DAP Johor 2014 yang diterbitkan pada Januari 2015)

Sepanjang tahun 2014, DAP Johor dan juga Pakatan Rakyat menghadapi liku-liku politik yang mencabar dalam lanskap politik negara. Menjelang tahun 2015, tema tahunan “Politik Baru, Wilayah Baru” dipilih untuk mengambarkan hasrat dan aspirasi kita untuk membuka lembaran baru untuk politik Malaysia yang bakal bermula dari Johor.

Sekalung budi

Selain meneruskan legasi mendiang Sdr. Karpal Singh yang meninggalkan kita tahun lepas, DAP Johor juga merakamkan sokongan kepada pimpinan Setiausaha Agung Sdr. Lim Guan Eng yang telah membawa transformasi besar kepada parti kita. Di bawah pimpinan beliau, DAP telah mengubah posisi dari “parti pembangkang tetap” kepada sebuah parti dalam kedudukan yang semakin mantap dan menjadi pilihan semua rakyat Malaysia.

Saya juga ingin merakamkan rasa kagum atas peranan penting Ketua Parlimen DAP Sdr. Lim Kit Siang, sebagai Ahli Parlimen dari Johor. Kepimpinan tokoh kanan yang berpengalaman amat penting kerana Johor kini menjadi negeri dan wilayah baru untuk DAP dan Pakatan Rakyat.

Saya juga mahu merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada ahli-ahli DAP, khususnya para veteran yang telah bersama dengan parti sejak dahulu lagi. Kelab Veteran DAP cawangan Johor telah ditubuhkan pada 25hb Oktober 2014 dan DAP Johor menyokong inisiatif baru ini.

DAP Johor juga telah menubuhkan Jawatankuasa “DAP@50” Peringkat Negeri yang diketuai oleh Sdri. Gan Peck Cheng bagi membuat persiapan untuk perayaan ulang tahun ke-50 DAP pada tahun 2016 yang akan turut menampilkan sejarah sumbangan dan pengorbanan para veteran DAP.

Pimpinan DAP Johor

Saya amat berbangga dan menghargai khidmat ahli-ahli Jawatankuasa Negeri yang dipilih oleh perwakilan pada 12hb Januari 2014, hampir setahun yang lalu.

Dalam setahun sejak Jawatankuasa Negeri ini dibentuk, Jawatankuasa telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali dan bersama dengan pimpinan negeri, kami telah melawat ke hampir semua kawasan Parlimen dan menjalankan program-program mendekati rakyat sambil mendengar suara mereka, seperti siri Forum Kedai Kopi dan lawatan tapak untuk memahami isu dasar.

Semasa saya diamanahkan jawatan pengerusi DAP Johor, saya telah menggariskan strategi-strategi pimpinan DAP Johor seperti berikut:

Ahli-ahli DAP

Pertamanya, kita ingin menyemai sikap “Penyertaan, Tanggungjawab dan Bangga Bersama DAP” di kalangan semua ahli. Kita mahu ahli-ahli kita menyertai usaha transformasi DAP, bertanggungjawab untuk meluaskan daya tarikan DAP kepada semua peringkat masyarakat dari kedai kopi ke arena politik nasional. Pokoknya, kita mahu setiap ahli berasa bangga menjadi sebahagian daripada keluarga DAP.

Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Negeri

Kedua, kita akan memastikan semua wakil rakyat berusaha lebih gigih dan bukan sekadar menjaga kawasan masing-masing. Kita mahu melihat wakil rakyat sebagai pemimpin DAP yang membina parti bukan sahaja di kawasan mereka sendiri tetapi juga menjadi pemimpin untuk seluruh negeri yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada ahli; kita juga mahu wakil rakyat kita menjadi juara kepada dasar atau polisi di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri.

Semua wakil rakyat kita mesti mengambil sikap bahawa DAP bersama Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan yang sedang menanti untuk mengambil alih pentadbiran negeri. Kita memainkan peranan sebagai “government-in-waiting” yang mempunyai dasar atau polisi alternatif yang lebih baik daripada kerajaan yang ada sekarang.

Kita mahu membuktikan bahawa DAP sedang membina masyarakat, dan bukan hanya mengumpul sokongan politik. Pusat-pusat komuniti kita bukan hanya mampu menyelesaikan aduan rakyat tempatan tetapi juga menjadi ruang untuk masyarakat meluahkan aspirasi mereka, khususnya di kalangan generasi muda.

Pakatan Rakyat

Ketiga, kita ingin melihat hubungan yang lebih baik antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Di peringkat nasional, Pakatan Rakyat yang kini menghadapi krisis politik yang paling teruk sejak penubuhannya pada 2008 dilihat akan terjejas sokongan daripada rakyat di peringkat negeri termasuk di Johor.

Dengan itu, kita amat mengharapkan pucuk pimpunan semua parti dapat menunjukkan secara jelas arah tuju Pakatan di peringkat nasional. Bagaimanapun perlu saya jelaskan di sini bahawa hubungan kepimpinan negeri DAP, PAS dan PKR adalah amat baik sekali.

Membina sokongan di seluruh pelusuk Johor

Keempat, DAP Johor bukan sahaja akan memberi tumpuan untuk membina sokongan pengundi di kawasan-kawasan yang telah kita menangi dalam PRU yang lalu. Kita juga sedang membina sokongan politik untuk DAP dan Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan yang belum kita menangi. Kita percaya bahawa hanya dengan kehadiran DAP dan Pakatan Rakyat di seluruh pelusuk negeri Johor, kita akan dapat membantu DAP dan Pakatan Rakyat menang di peringkat negeri dan nasional dalam PRU yang akan datang.

Kawasan separa bandar dan persepsi Melayu

Kelima, DAP sedar bahawa untuk memenangi Putrajaya, pihak pembangkang mesti meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan separa bandar, bahawa kita adalah parti yang boleh mereka percaya dan yakini.

Dengan adanya tekanan ekonomi yang semakin berat di kawasan-kawasan separa bandar akibat dasar-dasar Najib seperti memperkenalkan GST serta kejatuhan harga komoditi, kita perlu mendekati kawasan-kawasan separa bandar ini yang mana DAP tidak berpeluang untuk berbuat demikian pada masa-masa yang lalu.

Di Johor, beberapa kerusi di utara negeri adalah kawasan-kawasan separa bandar yang memerlukan hanya 5 hingga 8 peratus peralihan undi (5 to 8 percent swing votes), untuk mengubah lanskap politik Johor. Dan apabila kita memikirkan tentang wilayah baru, Johor adalah negeri di mana PAS hanya boleh menang sekiranya ia mendapat undi daripada pengundi bukan Melayu manakala DAP pula akan hanya dapat meningkatkan sokongannya di kalangan orang Melayu jika berlaku perubahan persepsi di kalangan orang Melayu terhadap DAP.

Apabila Pakatan Rakyat mampu menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu ke jalan tengah barulah kita dapat melihat perubahan positif yang sebenar.

Cabaran di hadapan kita bukanlah sesuatu yang mudah untuk diatasi. Tetapi DAP tidak pernah memilih jalan yang mudah. Kita adalah pejuang yang tidak pernah mengaku kalah, yang terus bertahan dan yang mampu mencapai kemenangan walaupun dalam keadaan yang pedih dan menderitakan.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More